Kit Peramal Ovulasi (Ovulation predictor kit) untuk menentukan hari subur anda
1. Apakah Luteinising Hormon (LH)?
LH adalah salah satu hormon yang terlibat di dalam proses ovulasi di dalam seseorang wanita pada setiap bulan. Sebelum proses ovulasi berlaku, paras hormon LH ini akan meningkat dengan secara mendadak. Ini dikenali sebagai ‘LH Surge’. LH surge ini akan merangsang folikel matang yang berada di dalam kilang telur seseorang wanita untuk pecah. Hormon LH akan dapat dikesan di dalam air kencing 12 jam selepas LH surge. Ovulasi akan beraku lebih kurang 24 jam selepas hormon LH dikesan dalam air kencing.
2. Apakah ovulation predictor kit (OPK)?
OPK adalah sejenis alat yang boleh dibeli di mana-mana kedai farmasi yang boleh digunakan untuk mengesan ‘LH surge’ dengan hanya menggunakan specimen air kencing sahaja. Oleh itu, ujian mudah ini boleh dilakukan di rumah atau pejabat.
3. Bilakah saya patut memulai menggunakah alat ovulation predictor kit (OPK) untuk menentukan hari subur saya?
Ini terpulang kepada kitaran haid anda.
Kira kitaran haid anda yang lepas selama 3-6 bulan. Ambil kitaran haid yang terpendek dan tolakkan 17 hari.
Contohnya:
Kitaran haid yang terpendek ialah 27 hari.
Mula membuat ujian OPK -> 27 – 17 hari = 10. Hari untuk memulakan ujian OPK ialah pada hari ke-10 haid.
4. Bagaimanakah caranya menggunakan alat OPK tersebut?
- Gunakan brand Clearblue sebab brand ini adalah lebih sensitif dan tepat.
- Terdapat juga dalam pasaran Clearblue digital yang akan memberikan keputusan terus untuk anda. Jadi tidak perlulah menggaru kepala untuk cuba ‘interpret’ keputusan sekiranya menggunakan Clearblue urine strips itu.
- Gunakan sampel air kencing dari pukul 10am – 8pm. Jangan gunakan sampel air kencing yang pertama. Juga pastikan mengurangkan meminum air 2 jam sebelum membuat ujian air kencing tersebut agar air kencing tidak menjadi terlalu cair.
- Buat ujian tersebut pada waktu yang sama setiap hari.
- Ambil sampel air kencing.
- Rendamkan strip ujian ke dalam air kencing.
- Bacakan keputusan selepas 5 minit.
- Untuk keputusan positif, T line (Test line) hendaklah sama terang dengan C line (Control line). (Sekiranya susah untuk membaca keputusan tersebut, belilah digital ovulation testing)
- Kadangkala terdapat setengah-tengah pesakit di mana keputusannya menunjukkan garisan T line yang samar-samar. (‘faint positive’). Sekiranya terdapat keraguan hendaklah mendapat kepastian dari doktor yang merawati terutamanya jika anda sedang menjalani rawatan kesuburan seperti IUI atau untuk prosedur Frozen embryo transfer.
5. Selepas mendapat ujian positif atas OPK, bilakah saya perlu melakukan hubungan seks?
Lakukan hubungan seks bila pada hari pertama mendapat ujian positif OPK dan kemudian lakukan hubungan seks pada keesokan harinya juga.
6. Bagaimana kalau saya mempunyai haid yang tidak teratur?
Seelok-eloknya hendaklah berjumpa dengan doktor dan pastikan apakah punca haid tidak teratur.
Di dalam pasaran terdapat juga fertility monitor di mana pengguna akan membuat ujian air kencing pada strip pada setiap pagi dan meletakkan di dalam alat tersebut. Monitor ini yang akan menganalisa hormon LH dan estrogen di dalam air kencing dan memberitahu sama ada kesuburan anda anda adalah rendah, tinggi atau ‘paling subur’ (peak). Akan tetapi, harga fertiliti monitor ini adalah agak mahal.
Selamat mencuba! Sekiranya sudah mencuba 3-6 bulan sendiri mungkin ada eloknya untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan bantuan.
Satu lagi pesanan Dr Tasha, janganlah terlalu taksub dengan alat OPK ini kerana ia mungkin boleh menimbulkan rasa stress di antara kedua-dua pasangan kerana terpaksa merancang waktu melakukan hubungan intim semasa ‘waktu subur’. Salah satu kaedah yang lebih ‘kurang stress’ ialah dengan melakukan hubungan seks 2-3 kali seminggu. Sekiranya anda sudah boleh mengagak waktu subur, anda bolehlah melakukannya dengan lebih kerap dalam tempoh tersebut.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Posted on May 7, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.
Leave a comment
Comments 0