Adakah saya calon sesuai untuk rawatan IVF?

Pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan kadang-kala tertanya-tanya sama ada mereka adalah calon yang sesuai untuk rawatan IVF. Terdapat persepsi umum yang negatif di kalangan segelintir masyarakat kita terhadap rawatan IVF. Tanggapan sedemikian mungkin kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan atau kurang mendapat pendedahan kepada rawatan IVF dan membuat andaian mereka tersendiri ataupun terpengaruh dengan pendapat orang sekeliling yang juga tidak arif. Oleh itu, adalah diharapkan post blog kali ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat kita.

Semenjak diperkenalkan dalam tahun 1978 dengan kelahiran bayi tabung uji yang pertama iaitu Louis Brown di United Kingdom, lebih dari 5 juta bayi seluruh dunia telah berjaya dilahirkan melalui rawatan IVF. Dengan teknologi yang terbaru dari segi makmal dan teknik pembekuan embrio, kejayaan IVF juga telah meningkat pada beberapa tahun kebelakangan ini. Ini memberikan harapan baru dan peluang tinggi kepada pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan untuk membina keluarga dari baka mereka sendiri.

Siapakah yang merupakan calon untuk rawatan IVF:

  • Wanita yang mempunyai kedua-dua belah saluran peranakannya yang tersumbat
  • Wanita yang berumur lebih dari 35 tahun dan sudah mengalami masalah kemandulan lebih dari 5 tahun
  • Pasangan yang menghidapi masalah ‘unexplained infertility’
  • Lelaki yang menghidapi masalah sperma yang teruk sama ada dari segi bilangan, pergerakan atau kualitinya
  • Wanita yang menghidapi masalah endometriosis yang teruk
  • Pasangan yang telah menjalani rawatan IUI beberapa kali tetapi masih gagal untuk hamil

Apakah tanggapan-tanggapan negatif terhadap rawatan IVF

1. Rawatan IVF adalah mahal

Kos rawatan IVF berbeza antara pusat fertiliti. Ianya adalah dalam linkungan RM5,000 – RM20,000. Kos IVF juga terpulang kepada berapa banyak ubat rangsangan yang diperlukan oleh pesakit tersebut, prosedur tambahan seperti ICSI atau PESA/TESA dan sekiranya terdapat embrio berlebihan yang perlu dibekukan. Sekira dilihat secara keseluruhan kos perubatan dan sara hidup telah meningkat. Kos untuk membiayai anak-anak juga telah meningkat.

Oleh itu, pasangan perlu berbincang dan merancang perbelanjaan untuk pembiayaan kos rawatan IVF. Mereka perlu bijak merancang perbelanjaan keluarga dan berjimat-cermat. In sha Allah, jikalau berbuat demikian, rawatan IVF mampu dibiayai. Sekiranya rawatan IVF akan memberikan kejayaan yang jauh lebih baik dan usahlah menangguhkannya sehingga umur pasangan wanita meningkat terlalu lanjut.

Kenapakah kos IVF mahal?

Ke arah mencapai regimen IVF yang lebih ‘patient friendly’ , praktikal dan pada kos berpatutan

logo-ivfku

2. Kadar kejayaan IVF adalah rendah

Untuk pasangan yang mempunyai masalah kesuburan disebabkan pelbagai faktor seperti tersebut di atas, IVF mungkin merupakan solusi yang terbaik. Kadar kejayaan IVF berbeza-beza di antara pusat-pusat fertiliti. Ianya juga bergantung berat kepada umur pasangan wanita dan faktor ketidaksuburan. Rata-rata kejayaannya adalah dalam linkungan 35 -50% dan kadang-kala mencecah sehingga 70%. Kadar kejayaan ini adalah bagus berbanding terutamanya untuk mereka yang sudah sekian lama menanti zuriat.

Pasangan yang menghadapi masalah fertiliti perlu juga membuat persiapan bagi membuat rawatan IVF. Untuk adalah untuk memastikan kejayaan mereka tinggi. Ramai pasangan yang membuat andaian yang rawatan IVF ialah ‘the magic bullet’ dan tidak membuat persiapan mereka tersendiri. Berat badan berlebihan, melengah-lengahkan rawatan sehingga umur sudah meningkat dan pasangan lelaki masih merokok semuanya akan memberi impak negatif pada kejayaan IVF.

3. Kalau saluran peranakan rosak, pergilah membuat operasi untuk membetulkan saluran peranakan yang rosak

Saluran peranakan boleh rosak disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya penyakit endometriosis dan penyakit radang pelvik (‘Sexually transmitted disease’) dan ‘Pelvic inflammatory disease’ (PID). PID berpunca dari gejala sosial yang tidak sihat seperti seks rambang dan kerap bertukar pasangan seks. Ianya juga boleh berjangkit dari lelaki kepada wanita dan sebaliknya. Majoriti pengidapnya tidak mempunyai sebarang simptom-simptom.

Saluran peranakan adalah suatu organ yang sensitif dan halus. Jadi apabila ianya sudah rosak memang agak sukar untuk memperbetulkannya melalui pembedahan. Rata-rata pembedahan untuk membaiki saluran peranakan tersumbat tidak mempunyai kejayaan yang memberansangkan bagi individu tersebut hamil dengan sendirinya pada masa hadapan. Risiko kandungan luar rahim juga adalah lebih tinggi bagi individu tersebut.

Sekiranya pasangan wanita tersebut sudahpun menjalani rawatan untuk memperbaiki saluran peranakan yang rosak dan masih jua tidak hamil bermakna pembedahan tersebut tidak berjaya. Oleh itu, hendaklah membuat perbincangan seterusnya untuk membuat rawatan kesuburan. Rawatan IVF dapat memberikan kadar kejayaan untuk kehamilan yang lebih baik bagi pasangan tersebut.

4. Berkemungkinan mendapat anak yang cacat

Terdapat juga persepsi yang menyatakan bayi yang dilahirkan melalui kaedah rawatan IVF mempunyai risiko untuk kecacatan. Pelbagai kajian yang sudah dijalankan untuk menentukan kesahihan kenyataaan ini. Pada keseluruhannya, kadar bayi abnormal yang dilahirkan adalah sama, sama ada bayi yang terhasil dari persenyawaan normal ataupun IVF. Walau demikian kajian-kajian berterusan masih sedang berjalan untuk memastikan kesihatan bayi yang terhasil dari IVF.

Kesimpulan

Dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini, individu berlainan akan diuji dengan dugaan yang berbeza-beza. Bagi pasangan yang mengalami masalah kesuburan, diharapkan akan cekal dan meneruskan perjuangan. Janganlah pasrah seandainya rawatan-rawatan kesuburan tidak berjaya pada mulanya. Teruskan mencuba dan tidak berputus asa serta berbincanglah dengan doktor yang merawati. Keazaman kadang-kala mengatasi segalanya sekiranya diizinkanNya.

Tidak disangkal, kehidupan pada zaman serba moden ini mempunyai liku-likunya yang tersendiri. Innovasi teknologi sains yang moden ini juga memberikan peluang bagi pasangan-pasangan zaman kini untuk mengatasi masalah kesuburan dengan IVF. Kita perlu mengambil peluang keemasan yang ada ini untuk ’embrace’ teknologi tersebut. Janganlah mensia-siakan rawatan yang sedia ada ini semata-mata kerana kejahilan diri sendiri.

“Allah tidak akan mengubah nasib seseorang kaum itu melainkan dia mengubah nasibnya sendiri.”

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Posted on July 4, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: