Ketahui waktu subur anda dengan kaedah ‘cervical mucus’
Terdapat beberapa cara untuk seseorang wanita mengetahui waktu suburnya dengan menggunakan perubahan-perubahan badannya yang semulajadi. Selain dari kaedah BBT, menggunakan pertukaran lendiran yang keluar dari pangkal rahim (‘cervix’) juga boleh digunakan untuk menentukan waktu subur anda. Ini dikenali sebagai kaedah ‘cervical mucus’ ataupun Billing’s ovulation method
Perubahan semulajadi yang berlaku
Berbanding dengan kaedah BBT, penggunaan kaedah ‘cervical mucus’ ini anda boleh mengetahui waktu ovulasi anda sebelum ianya berlaku dan merancang waktu untuk bersama dengan pasangan anda waktu paling subur bagi meningkatkan peluang anda untuk hamil!
Ramai mungkin tertanya bagaimana untuk mengetahui sama ada lendiran tersebut adalah normal ataupun tidak. Secara umumnya, ‘cervical mucus’ yang normal berwarna jernih, tidak berbau dan tidak gatal. Manakala sekiranya terdapat jangkitan pada faraj lendiran yang keluar adalah berwarna kuning atau hijau, berbau dan kadang-kala gatal. Sekiranya tidak pasti, berjumpalah dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. Dr Tasha juga tidak galakkan penggunaan pembersihan faraj dalaman untuk wanita untuk membersihkan lendiran faraj ini kerana menyangkakan ianya ‘kotor’. Perbuatan ini kadang-kala dikenali sebagai ‘douching’ kerana ianya mungkin boleh menukarkan persekitaran faraj terutamanya pH faraj dan membuang bakteria-bakteria baik di dalam faraj kita.
Fungsi ‘cervical mucus’
Pengeluaran lendir dari faraj anda adalah satu perkara yang normal dan semulajadi. Apabila seseorang wanita akan ovulasi, terdapat perubahan hormon di dalam badannya. Hormon estrogen akan merangsangkan pangkal rahimnya (cervix) untuk mengeluarkan lendir (cervical mucus)
Apabila hubungan seks dilakukan, sperma akan dilepaskan di dalam faraj wanita tersebut. Sperma tersebut perlu berenang dari faraj, memasuki pangkal rahim (‘cervix’), melalui rahim dan seterusnya ke arah saluran peranakan wanita untuk mempersenyawakan telur. Perjalanan yang akan dilalui oleh sperma itu adalah rumit dan hanya sperma yang paling kuat serta sihat akan sampai ke destinasi akhirnya. Oleh itu, sperma itu memerlukan persekitaran yang elok untuk membantunya sampai kepada telur. ‘Cervical mucus’ yang dirembeskan semasa waktu subur pasangan wanitanya dapat membekalkan persekitaran baik ini dengan melancarkan perjalanan sperma, melindunginya dari persekitaran dan memberikan nutrisi kepadanya. Cervical mucus ini akan dirembeskan lebih kurang 5 hari sebelum hari ovulasi / subur anda.
Pertukaran ‘Cervical mucus’ yang akan berlaku sepanjang kitaran haid anda:
Cervical mucus Kitaran Haid Tahap Kesuburan
Kering atau melekit Selepas haid Sangat Rendah
Berkrim seperti lotion Beberapa hari selepas haid habis Rendah
Licin dan berair Ovulasi hampir Tinggi
Telur putih Ovulasi sangat-sangat hampir Sangat Tinggi
Kering Selepas Ovulasi Rendah
Hari puncak adalah hari TERAKHIR ‘cervical mucus’ yang sangat berair, byk dan ‘stretchy’. Hari ini boleh berlaku pada hari ovulasi tetapi untuk kebanyakan wanita ovulasi akan berlaku dalam masa 1 hari (85% wanita) atau 2 hari (10% wanita)
Cara untuk memeriksa ‘cervical mucus’ anda
Anda boleh mula melakukan pemeriksaan ‘cervical mucus’ sejurus selepas haid anda kering. Langkah-langkah:
1. Basuh tangan anda
2. Masukkan jari telunjuk anda perlahan-lahan ke dalam faraj. Kalau boleh masukkan sampai ke pangkal rahim. Sekiranya takut, masukkan sedalam yang mungkin. Anda boleh melakukan ini sama ada dalam posisi duduk di atas tempat duduk tandas ataupun berdiri dan meletakkan salah satu kaki anda di atas tempat letak duduk tandas.
3. Pusingkan jari telunjuk anda di dalam faraj untuk mendapat ‘cervical mucus’.
4. Keluarkan jari telunjuk anda dari faraj dan perhatikan konsistensi ‘cervical mucus’ anda dengan menggosokkan lendiran tersebut dengan ibu jari anda.
5. Sekiranya lendiran ‘cervical mucus’ anda banyak, anda boleh melakukan ‘finger test’ iaitu cuba untuk melihat sama ada lendiran tersebut boleh diregangkan (‘stretchable’) seperti yang dilihat di dalam gambar di atas.
6. Anda boleh melakukan pemeriksaan ini setiap kali sewaktu anda pergi ke tandas / ataupun selepas mandi. Jangan lakukan ujian ini selepas melakukan hubungan seks kerana air mani di dalam faraj akan mengelirukan pemeriksaan anda.
Anda boleh menggabungkan kaedah ini dengan kaedah calendar dan juga BBT.
Untuk melihat dengan lebih lanjut bagaimana cervical mucus ini kelihatan:
http://www.babycentre.co.uk/l1047500/what-cervical-mucus-looks-like#/0
Posted on July 22, 2014, in Uncategorized and tagged hari ovulasi, ingin hamil, IVF Malaysia, rawatan kesuburan, tingkatkan kesuburan. Bookmark the permalink. 2 Comments.
Sara berusia 14tahun Dan first time period…lepastu x dtg selamav2 buLAN.
Salam Adik Sara,
Usahlah terlalu risau. Kadang-kala apabila baru sahaja datang haid, kitarannya memang adalah tidak teratur. In Sha Allah, the next few months ianya akan perlahan-lahan menjadi teratur.