Pilih jantina bakal anak. Teknologi Sains atau takdir?
Anak lelaki atau perempuan? Persoalan ini telahpun menjadi isu perbincangan hangat semenjak berkurun-kurun lamanya di mana setengah-tengah masyarakat memberikan penekanan yang lebih untuk mendapatkan bayi lelaki. Kepercayaan ini boleh dilihat terutamanya di kalangan kaum Cina. Ini ialah kerana hanya bayi lelaki sahaja yang dapat membawa nama keluarga tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kaum wanita diberikan tekanan untuk mengandung dan melahirkan bayi lelaki sebagai mewarisi dan penyambung kepada nama keluarga mereka untuk generasi akan datang. Keadaan ini lebih dirumitkan dimana terdapat polisi ‘anak satu’ di negara China yang membawa kepada gejala pembunuhan dengan sengaja bayi-bayi perempuan yang telah dilahirkan.
Sebab ingin memilih jantina bakal anak yang dilahirkan
Terdapat beberapa alasan kenapa setengah-tengah pasangan ingin memilih jantina untuk bakal anak mereka. Antaranya ialah kerana kepercayaan masyarakat atau kaum masing-masing, lebih gemarkan sesuatu jantina atau sudah mempunyai anak-anak yang mempunyai satu jantina sahaja. Tidak dinafikan ada setengah-tengah alasan adalah munasabah kerana terdapat masalah genetik yang dibawa pada setengah-tengah jantina sahaja. Bayi yang mempunyai jantina tersebut akan mewarisi penyakit genetik yang boleh mencacatkan atau memberi maut kepadanya.

Menggunakan kaedah Sains untuk pemilihan jantina anak dengan 100% tepat
Sebenarnya memang terdapat kaedah Sains yang dapat menentukan jantina bakal anak sebelum ianya diletakkan ke dalam rahim. Akan tetapi ianya memerlukan pasangan tersebut melakukan rawatan IVF. Prosedur ini dinamakan ‘Preimplantation Genetic Diagnosis’. (PGD) Selepas proses persenyawaan telah berlaku, satu sel dari embrio yang terbentuk akan diambil dan ujian akan dilakukan untuk menentukan sama ada ianya bakal menjadi bayi lelaki atau pun perempuan. Oleh itu, sekiranya pasangan tersebut mengingini bayi lelaki ataupun perempuan, embrio dengan jantina yang ‘betul’ sahaja akan dipindahkan semula ke dalam rahim wanita pasangan tersebut.

Dari segi Islam
Apakah hukumnya memilih jantina anak ini? Tidak salah rasanya sekiranya suatu pasangan itu menginginkan sesuatu jantina untuk bayinya disebabkan musabab tersendiri. Bolehlah mengamalkan ayat-ayat Al-Quran sebagai ikhtiar atau usaha agar Tuhan memakbulkan kehendak tersebut. Akan tetapi, untuk ‘campur tangan’ sehingga sanggup menggunakan teknologi sains yang terkini bagi mereka memilih jantina ‘betul’ yang diingini untuk bakal anak mereka kerana alasan tekanan ‘sosial’ atau ‘kehendak masyarakat’ mungkin agak keterlaluan. Ini ialah kerana apabila teknologi PGD digunakan selalunya embrio berlebihan akan dihasilkan. Oleh itu, apakah yang akan terjadi dengan embrio yang ‘salah’ jantina? Adakah ianya sekarang akan dibuang atau apakah nasib yang akan menimpanya?
Kesimpulannya, kita sebagai manusia boleh berusaha dan beriktiar agar mendapatkan keturunan. Anak lelaki mahupun perempuan pada asasnya adalah sama sahaja kerana mereka adalah pemberian dan amanat yang paling berharga dariNya.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Posted on August 6, 2014, in Uncategorized and tagged ingin baby girl or boy, ingin hamil, IVF, IVF Malaysia, rawatan kesuburan. Bookmark the permalink. Leave a comment.
Leave a comment
Comments 0