Blog Archives

Apa yang perlu anda tahu mengenai kandungan luar rahim


sperm1. Apakah kandungan luar rahim?

Kandungan luar rahim juga dikenali sebagai kandungan ektopik. Ini ialah apabila seorang wanita disahkan hamil tetapi kandungannya berapa di luar rahim. 90% kandungan luar rahim berada di dalam saluran peranakan (‘Fallopian tube’). Jarang-jarang kandungan ektopic boleh berlaku di kilang telur, dalam ‘abdomen’ dan juga pada pangkal rahim.

2. Bagaimanakah kandungan luar rahim boleh berlaku?

Pada kebiasaannya, apabila seseorang wanita akan mengalami ovulasi pada waktu suburnya. Telur ini akan memasuki saluran peranakannya, bertemu dengan sperma pasangannya dan persenyawaan akan terjadi. Embrio yang terbentuk seterusnya akan turun ke dalam rahim dan implantasi akan berlaku. Akan tetapi, kandungan luar rahim berlaku sekiranya embrio yang terbentuk tidak turun ke dalam rahim, tetapi implantasi terjadi di dinding saluran peranakan pula. Saluran peranakan adalah nipis berbanding dengan dinding rahim, jadi implantasi embrio akan menyebabkan dinding saluran peranakan pecah dan pendarahan dalaman boleh berlaku.

3. Bolehkah kandungan luar rahim dimasukkan semula ke dalam rahim?

Buat masa ini, kita tidak mempunyai teknologi untuk berbuat demikian. Oleh itu, apabila kandungan ektopik berlaku kita terpaksa memberikan rawatan yang bersesuaian sama ada dengan pembedahan atau pengambilan ubat.

4. Siapakah mempunyai risiko untuk mendapat kandungan luar rahim ini?

  • Pernah mempunyai sejarah mengalami kandungan luar rahim
  • Berumur >35 tahun ke atas
  • Mengandung dengan alat IUD di dalam rahim sebagai pencegah kehamilan
  • Mengandung selepas menjalani rawatan kesuburan seperti IUI
  • Mempunyai masalah kesuburan
  • Mempunyai latarbelakang infeksi saluran peranakan seperti penyakit kelamin berjangkit (‘STD’)
  • Mengandung setelah mempunyai sejarah pembedahan mengikat saluran peranakan (‘Bilateral tubal ligation’)

5.  Apakah risiko untuk saya mendapat kandungan luar rahim buat kali kedua?

Peluang untuk mendapat kandungan luar rahim seterusnya ialah 10-15%. Oleh itu, sekiranya anda pernah mengalami kandungan luar rahim, anda perlu rujuk kepada doktor untuk kandungan seterusnya untuk membuat imbasan scan seawal 5-6 minggu untuk memastikan yang kandungan berada di dalam rahim.

6. Apakah simptom-simptom yang mungkin berlaku jika mengandung kandungan luar rahim?

  • Setengah-tengah tidak mengalami apa-apa simptom pun. Kandungan luar rahim dikesan dengan imbasan scan pada awal kandungan.
  • Sakit perut
  • Pengsan kerana berlaku pendarahan yang banyak di dalam perut disebabkan saluran peranakan pecah

7. Bagaimanakah kandungan luar rahim dapat dikesan?

  • Melalui imbasan pelvis pada peringkat awal kehamilan. Sekiranya anda mengandung dan kantung atau bayi tidak dapat di dalam rahim, doktor akan mengesyaki kandungan luar rahim
  • Pesakit mempunyai simptom-simptom kandungan luar rahim dan imbasan pelvis mengesahkan kondisi ini.

Kandungan luar rahim. Pembedahan laparoskopi.  Arrow Biru: Rahim normal. Arrow Merah: Kandungan ektopik di dalam tiub kiri.  Sources: Wikipedia.org

8. Apakah rawatan yang boleh diberikan untuk kandungan luar rahim?

  • Pemantauan Rapi. Setengah-tengah kandungan luar rahim akan gugur dengan sendirinya.
  • Pembedahan untuk membuang kandungan luar rahim tersebut. Ini selalunya akan membabitkan pembuangan saluran peranakan yang terlibat sama. (‘Salpingectomy’)
  • Pemberian ubat Methotrexate melalui suntikan (Ubat kanser akan ‘mematikan’ kandungan luar rahim tersebut)