Blog Archives

‘Endometrial Polyp’. Bolehkah polyp mengurangkan peluang kehamilan anda?

“Doktor, saya diberitahu yang saya mempunyai polyp. Perlukah ianya perlu dibuang?”

Apakah Endometrial Polyp? 

Ianya adalah ketumbuhan tisu yang lazimnya bersifat bukan kanser dari lapisan dalam dinding rahim (Endometrium). Endometrial polyp terjadi apabila sel-sel tisu dari lapisan dinding rahim membesar dengan cepat (‘overgrowth’) sehingga terbentuknya polyp. Saiz polyp berbeza-beza. Ianya boleh berukuran dari hanya beberapa mm kepada cm. Antara 1.4 – 41% wanita mempunyai endometrial polyp.

Tanda-tanda Endometrial Polyp

  • Tiada mempunyai sebarang simptom
  • Pendarahan haid abnormal seperti haid yang banyak, berpanjangan atau tidak teratur serta pendarahan antara haid
  • Senggugut
  • Pendarahan dari faraj selepas menopaus / putus haid
  • Pendarahan selepas hubungan intim

Bagaimanakah Endometrial Polyp dapat dikesan?

i) Melalui imbasan scan pelvis melalui faraj

ii) Melalui Hysterosalpingogram (HSG)

Ujian HSG ini ialah di mana suatu cecair khas akan dimasukkan melalui pangkal rahim dan beberapa imbasan x-ray bahagian pelvis diambil untuk mengetahui sama ada saluran peranakan tersumbat ataupun tidak. Ianya boleh dilakukan secara ‘outpatient’ basis dan dibuat oleh pakar radiologist.

iii) Melalui Hycosy 

Hysterosalpingo-contrast-sonography atau nama singkatannya ialah Hycosy ialah suatu ujian yang boleh dilakukan sebagai ‘out-patient’ basis juga di mana cecair khas seperti saline akan dimasukkan melalui faraj untuk melihat sama ada terdapat endometrial polyp dan juga memeriksa sama ada saluran peranakan tersumbat ataupun tidak dengan menggunakan imbasan scan 3D. Berbeza dengan ujian HSG, Hycosy tidak melibatkan penggunakan X-ray.

iv) Melalui prosedur hysteroscopy

Hysteroscopy adalah satu prosedur pembedahan kecil yang kadang-kala boleh dilakukan sebagai ‘out-patient’ basis di mana kamera dimasukkan melalui faraj, pangkal rahim dan seterusnya ke dalam rahim. Ianya boleh digunakan untuk diagnosis dan juga rawatan seperti membuang endometrial polyp

Rawatan untuk membuang endometrial polyp

Prosedur hysteroscopy lazimnya dibuat ke atas pesakit yang menghidapi endometrial polyp.

Perlukah endometrial polyp dibuang jika anda ingin hamil?

Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk mengetahui sama ada endometrial polyp memberikan impak negatif terhadap wanita. Kajian oleh Afifi K et al (1) telah menyatakan bahawa endometrial polyp mungkin memainkan peranan penting dalam masalah ketidaksuburan, mengurangkan implantasi embrio dan juga keguguran.

Sebelum rawatan IUI

Bagi wanita yang ingin melakukan rawatan IUI, membuang endometrial polyp boleh meningkatkan kadar kejayaan menurut satu kajian (2) di mana terdapat peningkatan sebanyak 2 kali ganda wanita yang hamil di dalam kumpulan yang endometrial polyp telah dibuang sebelum IUI. Malah terdapat ramai wanita yang hamil secara spontan selepas melalui prosedur hysteroscopy untuk membuang endometrial polyp tersebut dan tidak perlu menjalani merawati IUI.

Sebelum rawatan IVF

Endometrial polyp boleh dikesan sama ada sebelum atau semasa menjalani rawatan IVF. Oleh itu, seelok-eloknya imbasan scan sebagai ujian saringan dibuat sebelum menjalani rawatan IVF dijalankan agar sebarang endometrial polyp dapat dikesan. Adalah disarankan untuk membuang polyp tersebut terlebih dahulu.

Terdapat beberapa opsyen yang boleh dilakukan jika polyp telah dikesan iaitu membuang polyp sebelum rangsangan telur ataupun sebelum pemindahan embrio dijalankan. Ini bergantung kepada kes individu dan perlu dibincangkan dengan pakar IVF yang menangani kes anda. Pilihan rawatan  yang mungkin boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Polyp tersebut adalah bersaiz <1.5cm dan wanita tersebut tidak mempunyai sejarah IVF yang gagal atau keguguran, rawatan IVF boleh diteruskan dan pembuangan polyp tersebut hanya dilakukan sekiranya IVF tersebut gagal. (3)
  • Polyp tersebut adalah bersaiz >1.5cm dan wanita tersebut mempunyai sejarah IVF yang gagal atau keguguran sebelum ini, mungkin adalah lebih baik jika polyp tersebut dibuang terlebih dahulu sebelum prosedur pemindahan embrio dilakukan. (3)
  • Jarang-jarang pembuangan embrio akan dilakukan semasa rawatan IVF sedang dijalankan.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Rujukan:

  1. Afifi K, Anand S, Nallepatea S, Gelbaya TA. Management of endometrial polyps in subfertile women: a systematic review. Eur J Obstet Gynecol Reprod Biol. 2010; 151(2): 117-21
  2. Perez-Medina T, Bajo-Arenas J, Salazar F, Redondo T, Sanfrutos L, Alvarez P, et al. Endometrial polyps and their implication in the pregnancy rates of patient undergoing intrauterine insemination: a prospective, randomized study. Human Reprod. 2005; 20(6):1632-5
  3. Isikoglu M, Berkkanoglu M, Sentruk Z, Coetzee K, Ozgur K. Endometrial polyps smaller than 1.5cm do not affect ICSI outcome. Reprod Biomed Online. 2006; 12(2):199-204