Blog Archives
Adakah anda tahu ‘ovarian reserve’ anda?

“Dr Tasha, sebelum ini saya telah diberitahu yang bacaan AMH saya sangat rendah. Saya berasa amat sedih. Adakah ada peluang untuk saya menjadi seorang ibu?”
Apakah ‘ovarian reserve’?
Ovarian reserve atau rizab ovari adalah bilangan folikel yang masih terdapat di dalam kilang telur yang boleh dipersenyawakan untuk menghasilkan seorang bayi. Lazimnya, wanita yang masih muda akan mempunyai ‘ovarian reserve’ yang baik berbanding wanita yang lebih tua. Wanita yang mempunyai ovarian reserve yang rendah dikatakan mempunyai ‘diminished ovarian reserve’ (DOR)
Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui ‘ovarian reserve’ anda?
Terdapat 2 ujian yang boleh dilakukan untuk menentukan ‘ovarian reserve’ anda:
- Ujian darah yang dinamakan AMH (Anti Mullerian Hormone)
Ujian darah tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan tidak perlu berpuasa. AMH adalah sejenis hormon glyprotein yang dirembeskan oleh sel granulosa di dalam folikel-folikel yang sedang membesar di dalam kilang ovari. Kesimpulannya, AMH memberikan gambar bilangan dan bukan kualiti telur anda di dalam kilang ovari.
Oleh itu, sekiranya wanita tersebut mempunyai ‘ovarian reserve’ yang baik, paras hormon AMH di dalam darahnya adalah tinggi dan sebaliknya. Pesakit PCOS tidak menghairankan akan mempunyai paras AMH yang agak tinggi. Perlu pastikan bagi interpretasi bacaan tersebut hendaklah mengikut umur anda dan adakah bacaan AMH tersebut di dalam unit ng/ ml ataupun pmol/L.
Paras AMH Interpretasi AMH Bacaan paras AMH (ng/ml)
(Untuk wanita berumur <35 tahun)
Tinggi (Lazimnya pesakit PCOS) >4
Normal 1.5 – 4
Suboptimal 1.0 – 1.5
Rendah 0.5 – 1.0
Sangat Rendah <0.5
Akan tetapi kos untuk ujian darah AMH mungkin agak mahal. Ianya bergantung kepada makmal / hospital di mana ujian tersebut dibuat. Anggaran kos adalah RM250-500.
- Imbasan scan melalui faraj yang dinamakan AFC (Antral Follicle Count)
Imbasan scan tersebut lazimnya dilakukan pada hari 2-5 haid tetapi boleh dilakukan boleh bila-bila masa sahaja. Bilangan folikel yang terkandung di dalam ovari akan dibilang untuk menentukan ovarian reserve wanita tersebut. AFC juga dikenali dengan nama ‘resting folicle’ adalah folikel-folikel kecil berukuran 2-8mm yang boleh diukur di dalam ovari anda. Ini boleh dilihat dengan imbasan scan pelvis. Antral follicle count (AFC) merupakan ujian yang boleh mengukur kadar kesuburan seseorang wanita, berfungsi memberikan ramalan tentang respon wanita tersebut semasa ubat ransangan diberikan semasa rawatan IVF dan sekaligus meramalkan kadar kejayaan IVF.
Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai topik ini:
Apakah yang boleh menyebabkan ‘ovarian reserve’ anda rendah?
Antara faktor yang boleh menyebabkan ‘ovarian reserve’ rendah ialah peningkatan umur wanita, masalah kesihatan, endometriosis, sejarah operasi ke atas kilang telur, sejarah keluarga (masalah genetik) di mana ibu wanita tersebut mungkin mengalami menopaus pada umur kurang dari 45 tahun dan gaya hidup yang tidak sihat.
Bolehkah anda meningkatkan ‘ovarian reserve’ anda?
Lazimnya Dr Tasha akan menasihati pesakit untuk memastikan pengamalan gaya hidup yang sihat. Suplemen seperti DHEA dan Vitamin D mungkin akan diberikan sekiranya bersesuaian.
Ikuti post blog seterusnya: Apakah peluang untuk menjadi seorang ibu sekiranya ‘ovarian reserve’ adalah rendah.
**Selain dari ovarian reserve, kualiti telur yang dihasilkan adalah seseorang wanita juga adalah faktor penting untuk menentukan peluangnya untuk hamil. Umur wanita tersebut juga memainkan peranan kritikal sebagai penentu kadar kejayaan rawatan kesuburan dan peluangnya untuk menjadi seorang ibu. Bagi wanita yang telah didiagnos dengan ‘ovarian reserve’ yang rendah, pergilah rujuk kepada pakar kesuburan bagi membuat rawatan kesuburan yang bersesuaian.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Kenapakah makmal IVF penting untuk kejayaan IVF anda
“Doktor, saya baru buat IVF hari itu tetapi telah gagal…Apakah sebabnya?”
Ramai pasangan TTC yang melalui rawatan IVF tidak sedar yang sebenarnya Makmal IVF adalah salah satu faktor yang amat penting untuk menentukan kejayaan rawatan IVF mereka. Sekiranya mereka ingin memilih klinik IVF, di samping memilih doktor IVF bagus dan serasi dengan mereka, hendaklah juga memastikan klinik tersebut mempunyai Makmal IVF yang juga bagus. Kadar kejayaan kehamilan klinik IVF tersebut juga akan dipantau dengan teliti oleh pakar embriologis.

Fungsi Makmal IVF sebenarnya – Jantung Klinik IVF
Makmal IVF diuruskan oleh pakar embriologis iaitu saintis yang bertanggungjawab untuk menguruskan telur yang diperolehi dari prosedur ‘Egg Pick up’, sperma dari pasangan lelaki dan seterusnya melakukan prosedur persenyawaan telur dan sperm, memantau dengan berhati-hati perkembangan embrio yang terbentuk di dalam makmal IVF. Doktor IVF dan para embriologis akan bersama-sama memilih embrio manakah yang akan dipilih untuk diletakkan kembali ke dalam rahim
Di samping itu, persekitaran makmal IVF turut di jaga oleh para embriologis. Ini adalah untuk memastikan persekitaran itu adalah optimum bagi ketumbesaran dan perkembangan sempurna untuk embrio. Oleh itu, makmal IVF yang bagus akan mempunyai pakar embriologis sepenuh masa dan berpengalaman serta berdedikasi untuk menguruskan segala aspek penjagaan makmal agar termasuk peralatan-peralatan di dalam makmal IVF agar dapat memperolehi embrio yang berkualiti elok.
Ianya adalah penting bagi embriologis makmal IVF tersebut dapat melakukan prosedur tersebut dengan baik:
- Proses pembekuan telur
- Proses pembekuan sperma
- Proses pembekuan embrio untuk ‘Frozen Embryo Transfer’ (FET)
- Proses pembentukan embrio dari ‘Day 3’ kepada ‘Day 5’ iaitu Blastocyst
- Prosedur ICSI
- Prosedur ‘Thawing’ / Nyahbeku Embryo
- Prosedur membiopsi Embrio untuk proses PGS / PGD
RTAC – Reproductive Technology Accreditation Certification bagi makmal IVF
Makmal IVF perlu memastikan yang tidak akan melakukan sebarang kesilapan kerana khuatir akan berlaku pertukaran telur, sperma atau embrio. Oleh itu, ianya perlu ada 0% kesalahan. ‘There is zero tolerance for lab error’.
RTAC adalah akreditasi yang diberikan oleh ahli jawatankuasa RTAC yang ditubuhkan oleh FSA(Fertility Society of Australia) yang bertanggungjawab memantau klinik-klinik IVF di Australia dan New Zealand. Jawatankuasa RTAC telah mewujudkan ‘Code of Practice’ bagi memastikan klinik-klinik IVF mempunyai protokol-protokol makmal yang perlu dipatuhi agar prestasi makmal IVF tersebut adalah elok dan mengelakkan sebarang kesilapan makmal serta meneruskan inisiatif meningkatkan kualiti penjagaan yang mantap untuk pasangan yang melalui rawatan IVF.

Oleh itu, pakar embriologis sebenarnya penting untuk kejayaan IVF anda. Mereka bekerja keras di sebalik takbir dan kadang-kala kurang mendapatkan penghargaan yang sepatutnya diperolehi – Our ‘unsung heroes’.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Hentikan ‘Biological Clock’ Anda? Apa yang perlu diketahui.
“Doktor, umur saya sudahpun 32 tetapi saya terlalu banyak komitmen kerjaya dan walaupun ramai teman lelaki, saya masih tidak berjumpa calon suami yang sesuai. Adakah nanti sudah terlambat untuk saya menjadi seorang ibu kelak?”
Bekukan Fertiliti Anda
Adakah ini boleh dilakukan? Bolehkah ‘biological clock’ anda diberhentikan atau dibekukan agar lebih masa dapat ‘dibeli’. Jika ini tidak mustahil bermakna seseorang wanita itu boleh menangguhkan masa untuk menjadi seorang ibu. Mungkin masa masih tidak sesuai untuk menjadi ibu disebabkan sibuk mengejar kejayaan kerjaya, terlalu banyak komitmen lain, ingin melancung satu dunia ataupun calon suami yang ‘perfect’ masih tidak nampak bayang-bayangnya lagi.
Sekali pandang opsyen ini memang agak menarik bagi wanita yang mendambakan kejayaan karier dahulu sebelum mendirikan rumahtangga dan menjadi seorang ibu. Adakah ini polisi insuran impian setiap wanita moden yang membolehkah wanita merancang segala-galanya mengikut keperluan dan ketetapan masa yang bersesuaian dengan kehendaknya?
Teknologi pembekuan telur
Teknologi untuk pembekuan embrio dan sperma memang telahpun sedia ada. Kini, kemajuan dari segi teknologi pembekuan tersebut membolehkan telur yang diperolehi dari kilang telur wanita juga dibekukan untuk digunakan pada masa hadapan.
Dulu teknologi tersebut hanya digunakan untuk wanita yang mengalami kanser dan terpaksa melalui rawatan kemoterapi ie ‘ medical reason’ agar mereka masih berpeluang untuk menjadi seorang ibu kelak. Akan tetapi, terdapat peningkatan drastik sejak kebelakangan ini di mana teknologi tersebut digunakan untuk ‘social reason’.
Fakta yang perlu anda diketahui mengenai Pembekuan Telur (‘Egg Freezing’)
1.Ianya tidak akan memberikan 100% jaminan yang wanita tersebut akan dapat hamil akhirnya dengan penggunaan telur beku tersebut.
2. Untuk mendapatkan kejayaan yang lebih tinggi, prosedur pembekuan telur tersebut adalah lebih elok untuk dilakukan semasa wanita tersebut semasa berumur awal 30an dan bukannya pada umur yang lebih matang agar telur yang diperolehi adalah lebih banyak dan berkualiti tinggi
3. Kadar kejayaan kehamilan hasil penggunaan telur yang telah dibekukan dan adalah lebih rendah berbanding dengan embrio yang telah dibekukan. Ini bergantung juga kepada beberapa faktor seperti kaedah pembekuan yang telah digunakan dan juga umur wanita semasa telur itu diperolehi
4. Wanita tersebut akan melalui prosedur sama seperti wanita yang membuat rawatan IVF. Rangsangan telur akan dibuat dengan hormon yang mungkin mempunyai kesan sampingan dan prosedur ‘egg collection’ akan dilakukan melalui faraj.
5. Kos untuk pembekuan Telur adalah agak tinggi.
6. Anda tidak boleh mengetahui samada kualiti telur yang telah dibekukan adalah elok ataupun tidak sehinggalah ianya dipersenyawakan kelak selepas dinyahbekukan.
7. Setengah-tengah agama termasuk Islam tidak membenarkan pembekuan telur bagi wanita yang masih belum berkahwin.
Implikasi Generasi Masa Hadapan
Kini terdapat peningkatan mendadak wanita hamil pada umur 40an ke atas di kalangan masyarakat Barat. Kebanyakan wanita tersebut telah mendapat rawatan fertiliti untuk hamil. Malah golongan wanita ini mendapat gelaran ‘middlelife motherhood’. Mungkin dengan peningkatan tersebut, kita mungkin akan melihat perubahan ketara terhadap keluarga yang dianggap ‘normal’ pada masa hadapan disebabkan wanita memilih untuk menjadi seorang ibu pada umur matang . Apakah scenario di dalam gambar di atas akan menjadi satu realiti pada masa hadapan.
Kesimpulan
Kecanggihan dan teknologi moden seolah-olah membuka pintu kepada pelbagai kemungkinan. ‘The possibility are limitless’. Kaedah pembekuan telur, penggunaan sperma atau telur dari ‘donor’, ‘sex-selection’ dan ‘surrogacy’. Adakah ini dianggap sebagai ‘keajaiban’ ataupun ‘sumpah’ teknologi sains tersebut?
Memang tidak dinafikan di dalam setengah-tengah kes ini adalah keajaiban bagi wanita tersebut. Tetapi adakah kita terfikir disebalik semua ‘keajaiban’ dan ‘kemodenan sains’ apakah implikasi sosial dan moral etika sekiranya teknologi tersebut digunakan dengan berleluasa tanpa kawalan. Apakah akan terjadi apabila kita membuka kotak pandora bernama ‘social fertility preservation’? Apakah kesudahannya nanti? Hendaklah kita bertakafur dan berhenti sejenak untuk berfikir.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.