Blog Archives
Adakah anda tahu ‘ovarian reserve’ anda?

“Dr Tasha, sebelum ini saya telah diberitahu yang bacaan AMH saya sangat rendah. Saya berasa amat sedih. Adakah ada peluang untuk saya menjadi seorang ibu?”
Apakah ‘ovarian reserve’?
Ovarian reserve atau rizab ovari adalah bilangan folikel yang masih terdapat di dalam kilang telur yang boleh dipersenyawakan untuk menghasilkan seorang bayi. Lazimnya, wanita yang masih muda akan mempunyai ‘ovarian reserve’ yang baik berbanding wanita yang lebih tua. Wanita yang mempunyai ovarian reserve yang rendah dikatakan mempunyai ‘diminished ovarian reserve’ (DOR)
Apakah ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui ‘ovarian reserve’ anda?
Terdapat 2 ujian yang boleh dilakukan untuk menentukan ‘ovarian reserve’ anda:
- Ujian darah yang dinamakan AMH (Anti Mullerian Hormone)
Ujian darah tersebut boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan tidak perlu berpuasa. AMH adalah sejenis hormon glyprotein yang dirembeskan oleh sel granulosa di dalam folikel-folikel yang sedang membesar di dalam kilang ovari. Kesimpulannya, AMH memberikan gambar bilangan dan bukan kualiti telur anda di dalam kilang ovari.
Oleh itu, sekiranya wanita tersebut mempunyai ‘ovarian reserve’ yang baik, paras hormon AMH di dalam darahnya adalah tinggi dan sebaliknya. Pesakit PCOS tidak menghairankan akan mempunyai paras AMH yang agak tinggi. Perlu pastikan bagi interpretasi bacaan tersebut hendaklah mengikut umur anda dan adakah bacaan AMH tersebut di dalam unit ng/ ml ataupun pmol/L.
Paras AMH Interpretasi AMH Bacaan paras AMH (ng/ml)
(Untuk wanita berumur <35 tahun)
Tinggi (Lazimnya pesakit PCOS) >4
Normal 1.5 – 4
Suboptimal 1.0 – 1.5
Rendah 0.5 – 1.0
Sangat Rendah <0.5
Akan tetapi kos untuk ujian darah AMH mungkin agak mahal. Ianya bergantung kepada makmal / hospital di mana ujian tersebut dibuat. Anggaran kos adalah RM250-500.
- Imbasan scan melalui faraj yang dinamakan AFC (Antral Follicle Count)
Imbasan scan tersebut lazimnya dilakukan pada hari 2-5 haid tetapi boleh dilakukan boleh bila-bila masa sahaja. Bilangan folikel yang terkandung di dalam ovari akan dibilang untuk menentukan ovarian reserve wanita tersebut. AFC juga dikenali dengan nama ‘resting folicle’ adalah folikel-folikel kecil berukuran 2-8mm yang boleh diukur di dalam ovari anda. Ini boleh dilihat dengan imbasan scan pelvis. Antral follicle count (AFC) merupakan ujian yang boleh mengukur kadar kesuburan seseorang wanita, berfungsi memberikan ramalan tentang respon wanita tersebut semasa ubat ransangan diberikan semasa rawatan IVF dan sekaligus meramalkan kadar kejayaan IVF.
Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai topik ini:
Apakah yang boleh menyebabkan ‘ovarian reserve’ anda rendah?
Antara faktor yang boleh menyebabkan ‘ovarian reserve’ rendah ialah peningkatan umur wanita, masalah kesihatan, endometriosis, sejarah operasi ke atas kilang telur, sejarah keluarga (masalah genetik) di mana ibu wanita tersebut mungkin mengalami menopaus pada umur kurang dari 45 tahun dan gaya hidup yang tidak sihat.
Bolehkah anda meningkatkan ‘ovarian reserve’ anda?
Lazimnya Dr Tasha akan menasihati pesakit untuk memastikan pengamalan gaya hidup yang sihat. Suplemen seperti DHEA dan Vitamin D mungkin akan diberikan sekiranya bersesuaian.
Ikuti post blog seterusnya: Apakah peluang untuk menjadi seorang ibu sekiranya ‘ovarian reserve’ adalah rendah.
**Selain dari ovarian reserve, kualiti telur yang dihasilkan adalah seseorang wanita juga adalah faktor penting untuk menentukan peluangnya untuk hamil. Umur wanita tersebut juga memainkan peranan kritikal sebagai penentu kadar kejayaan rawatan kesuburan dan peluangnya untuk menjadi seorang ibu. Bagi wanita yang telah didiagnos dengan ‘ovarian reserve’ yang rendah, pergilah rujuk kepada pakar kesuburan bagi membuat rawatan kesuburan yang bersesuaian.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Selamat Tahun Baru 2018! Adakah impian anda untuk menjadi seorang ibu akan tercapai pada tahun ini?
Selamat Tahun Baru 2018. Masa sentiasa bergerak pantas, tanpa disedari tahun berlalu menggamit tiba meninggalkan 2017 sebagai memori. Tahun ini juga menjadi satu titik sejarah buat Dr Tasha kerana kembar Dr Tasha mengorak langkah memulakan Darjah Satu pada tahun ini. Setiap hari tidak berlalu pergi tanpa Dr Tasha berasa amat bersyukur dengan kehadiran mereka berdua dalam hidup ini. Life would never be the same. Dan hampir setiap hari for the last 1 year juga mereka mengucup perut Dr Tasha meminta-minta dan berdoa untuk diberikan seorang lagi adik buat teman baru. Never ending story…. 🙂 At least, Dr Tasha tidak berasa lagi tertekan emosi seperti dulu-dulu.
Buat pasangan yang sudahpun melahirkan dengan selamat zuriat mereka dan sekarang mengetahui apakah erti menjadi seorang ibu dan ayah, Tahniah Dr Tasha ucapkan. Bagi pasangan yang agak ramai tahun ini menerima berita gembira kehamilan mereka setelah menerima rawatan kesuburan mereka. Alhamdulillah dan doa Dr Tasha agar bayi yang dikandungkan selamat dilahirkan. Buat pasangan yang masih mengorak langkah dalam perjalanan TTC, be positive and keep going. In Sha Allah tahun 2018 ramai lagi doa wanita TTC akan termakbul agar menjadi ibu.
Pada 20 Januari ini pihak KL Fertility Centre akan mengadakan seminar pertama untuk tahun 2018
Tempat:
KL Fertility Centre
LOT LG 30, DC Mall, No 6, Jln Damanlela, Bukit Damansara, 50490, KL
Tarikh:
20 Januari 2018
Waktu 2 – 3pm
Topik seminar: IVFKU
Antara isu-isu yang akan dibincangkan:
- Apakah program IVFku
- Siapakah bersesuaian untuk melakukan program IVFku
- Apakah kos yang terlibat apabila membuat IVF
- Kadar kejayaan rawatan IVF
Seminar akan diberikan oleh Dr Natasha Nor dalam bahasa Bahasa Melayu
Ianya adalah percuma, tetapi tempat duduk adalah terhad. Anda perlu membuat tempahan tempat duduk di KL Fertility dengan menelefon Puan Nurul di 0327804288
Diharapkan kita akan berjumpa di sana. Usahlah menangguh waktu, mulakan langkah agar impian anda akan tercapai tahun 2018 ini.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Kenapakah makmal IVF penting untuk kejayaan IVF anda
“Doktor, saya baru buat IVF hari itu tetapi telah gagal…Apakah sebabnya?”
Ramai pasangan TTC yang melalui rawatan IVF tidak sedar yang sebenarnya Makmal IVF adalah salah satu faktor yang amat penting untuk menentukan kejayaan rawatan IVF mereka. Sekiranya mereka ingin memilih klinik IVF, di samping memilih doktor IVF bagus dan serasi dengan mereka, hendaklah juga memastikan klinik tersebut mempunyai Makmal IVF yang juga bagus. Kadar kejayaan kehamilan klinik IVF tersebut juga akan dipantau dengan teliti oleh pakar embriologis.

Fungsi Makmal IVF sebenarnya – Jantung Klinik IVF
Makmal IVF diuruskan oleh pakar embriologis iaitu saintis yang bertanggungjawab untuk menguruskan telur yang diperolehi dari prosedur ‘Egg Pick up’, sperma dari pasangan lelaki dan seterusnya melakukan prosedur persenyawaan telur dan sperm, memantau dengan berhati-hati perkembangan embrio yang terbentuk di dalam makmal IVF. Doktor IVF dan para embriologis akan bersama-sama memilih embrio manakah yang akan dipilih untuk diletakkan kembali ke dalam rahim
Di samping itu, persekitaran makmal IVF turut di jaga oleh para embriologis. Ini adalah untuk memastikan persekitaran itu adalah optimum bagi ketumbesaran dan perkembangan sempurna untuk embrio. Oleh itu, makmal IVF yang bagus akan mempunyai pakar embriologis sepenuh masa dan berpengalaman serta berdedikasi untuk menguruskan segala aspek penjagaan makmal agar termasuk peralatan-peralatan di dalam makmal IVF agar dapat memperolehi embrio yang berkualiti elok.
Ianya adalah penting bagi embriologis makmal IVF tersebut dapat melakukan prosedur tersebut dengan baik:
- Proses pembekuan telur
- Proses pembekuan sperma
- Proses pembekuan embrio untuk ‘Frozen Embryo Transfer’ (FET)
- Proses pembentukan embrio dari ‘Day 3’ kepada ‘Day 5’ iaitu Blastocyst
- Prosedur ICSI
- Prosedur ‘Thawing’ / Nyahbeku Embryo
- Prosedur membiopsi Embrio untuk proses PGS / PGD
RTAC – Reproductive Technology Accreditation Certification bagi makmal IVF
Makmal IVF perlu memastikan yang tidak akan melakukan sebarang kesilapan kerana khuatir akan berlaku pertukaran telur, sperma atau embrio. Oleh itu, ianya perlu ada 0% kesalahan. ‘There is zero tolerance for lab error’.
RTAC adalah akreditasi yang diberikan oleh ahli jawatankuasa RTAC yang ditubuhkan oleh FSA(Fertility Society of Australia) yang bertanggungjawab memantau klinik-klinik IVF di Australia dan New Zealand. Jawatankuasa RTAC telah mewujudkan ‘Code of Practice’ bagi memastikan klinik-klinik IVF mempunyai protokol-protokol makmal yang perlu dipatuhi agar prestasi makmal IVF tersebut adalah elok dan mengelakkan sebarang kesilapan makmal serta meneruskan inisiatif meningkatkan kualiti penjagaan yang mantap untuk pasangan yang melalui rawatan IVF.

Oleh itu, pakar embriologis sebenarnya penting untuk kejayaan IVF anda. Mereka bekerja keras di sebalik takbir dan kadang-kala kurang mendapatkan penghargaan yang sepatutnya diperolehi – Our ‘unsung heroes’.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Rawatan alternatif purbakala untuk menangani masalah kesuburan pasangan zaman moden?
“Doktor bolehkah saya membuat akupuntur sebelum dan semasa membuat rawatan IVF?”
Ramai pesakit tertanya-tanya sama ada rawatan alternatif seperti TCM dan Akupuntur dapat meningkatkan kadar kejayaan rawatan kesuburan moden mereka. Terdapat pelbagai tanggapan yang berlainan mengenai penggunaan rawatan alternatif tersebut di dalam menangani masalah kesuburan. Adakah terdapat peranan rawatan purbakala tersebut pada zaman serba moden hari ini?

Apakah Rawatan TCM?
Nama singkatan untuk TCM adalah Perubatan Tradisional Cina yang berasal dari negara China. Ianya adalah sistem rawatan perubatan yang paling tua dan telah diamalkan turun temurun semenjak beribu-ribu tahun. Pengamal TCM menggunakan rawatan yang meliputi penggunaan ubat-ubatan herba Cina, akupunktur, urutan Tuina, senaman dan terapi pernafasan (seperti qigong), nasihat diet serta gaya hidup.
TCM mengambil pendekatan falsafah yang mempercayai bahawa tubuh manusia adalah terdiri dari satu ekosistem yang mempunyai kesinambungan dengan alam persekitaran serta mempunyai keupayaan untuk menyembuhkan diri sendiri secara semulajadi.
Kesihatan yang baik bergantung kepada pemulihan dan pengekalan keharmonian dan keseimbangan fungsi-fungsi tubuh-badan manusia. TCM menitikberatkan pendekatan holistik dan memberikan tumpuan kepada pencegahan penyakit serta rawatan kepada penyakit yang sedia ada.
Bagaimanakah TCM dan Akupuntur boleh menolong pasangan yang mempunyai masalah fertiliti?
Terdapat pelbagai cara rawatan TCM boleh meningkatkan fertiliti semulajadi seseorang wanita ataupun sebagai rawatan sampingan untuk meningkatkan kejayaan rawatan kesuburan seperti IVF:
- Menambah baik fungsi kilang ovari agar kualiti telur yang dihasilkan meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.
- Meningkatkan sistem immunisasi
- Mengurangkan stres
- Meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma untuk pasangan lelaki
- Menambah baik aliran darah kepada rahim agar implantasi embrio adalah lebih elok
- Mengimbangi sistem endokrin reproduktif yang sensitif
Pusat-pusat IVF luar negara menggabungkan teknik rawatan TCM dengan teknologi moden terbaru
Kini boleh dilihat semakin peningkatan kolaborasi antara pusat-pusat IVF luar negara dengan pusat rawatan TCM. Peningkatan tersebut mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah permintaan dari pesakit yang mahukan rawatan alternatif tersebut untuk digabungkan dengan rawatan kesuburan IVF mereka. Peningkatan bukti dari kajian-kajian yang melihat integrasi rawatan moden Barat dan Timur juga telah membuktikan peningkatan kadar kejayaan rawatan kesuburan apabila rawatan alternatif TCM turut digabungkan.
Adakah terdapat bukti kajian saintifik yang mengkaji keberkesanan TCM dan Akupuntur untuk fertiliti?
Agak sukar untuk menjalani dan mendapatkan bukti kajian saintifik untuk mengkaji keberkesanan TCM untuk masalah fertiliti. Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan dan pelbagai kesimpulan yang kadang-kala bercanggah mengenai TCM.
Oleh itu, keberkesanan hanyalah boleh dilihat apabila pesakit yang telah melalui rawatan tersebut serta melihat perbezaan rangsangan ovari, kualiti dan kuantiti telur yang telah diperolehi sermasa prosedur IVF serta status sperma sebelum dan selepas pasangan tersebut menjalani rawatan TCM. Di samping itu, tahap stres pesakit yang melalui rawatan IVF adalah lebih rendah.
Tidak dinafikan rawatan alternatif bukanlah untuk semua orang kerana lain individu akan mendapati kesan yang berbeza-beza.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.