Blog Archives

Day 3 atau Day 5 Embrio Transfer?

“Doktor, bilakah patut saya membuat Embrio Transfer. Adakah pada hari Day 3 atau  Day 5? “

Selepas prosedur penyedutan telur (‘Egg pick up’ / OPU), prosedur pemindahan embrio  (ET) lazimnya akan dibuat 3 hari selepas itu iaitu tiga hari selepas persenyawaan dilakukan.

Jika dilihat pada awal sejarah rawatan IVF, ET selalunya dilakukan 1 atau 2 hari selepas OPU. Ini disebabkan oleh teknologi makmal IVF yang masih berada pada peringkat awal tidak mampu untuk memelihara embrio dalam keadaan yang baik. Oleh itu, ET akan dilakukan secepat mungkin kerana rahim mempunyai keadaan persekitaran yang lebih baik untuk ketumbesaran embrio.

Untuk membaca perbezaan antara hari 3 dan hari 5 embrio. Sila baca post blog tersebut:

https://drnatashanorfertility.com/2015/06/09/rawatan-ivf-apa-yang-berlaku-di-dalam-makmal-ivf/

Innovasi makmal IVF

Lazimnya ET akan dilakukan tiga hari selepas persenyawaan atau hari OPU iaitu Day 3 Embrio. Day 3 Embrio adalah pada peringkat ‘cleavage stage’ dan mengandungi 4 – 8 cells. Akan tetapi dengan perkembangan teknologi dan innovasi baru di dalam kultur media yang digunakan dalam makmal IVF diturut serta dengan peningkatan kemahiran para embriologis telah membenarkan embrio dipantau dan dikultur di dalam inkubator makmal IVF sehingga 5-6 hari. Embrio yang terbentuk 5 hari selepas persenyawaan dikenali sebagai ‘blastocyst’.

day3

Day 3 Embrio

Adalah dipercayai embrio yang berjaya sampai dari hari ke 3 kepada hari 5 embrio atau blastocyst selalunya merupakan embrio yang kuat dan mempunyai potensi ketumbesaran serta implantasi yang lebih baik. Oleh itu, sekiranya embrio tersebut dipilih untuk dipindahkan ke dalam rahim akan memberikan kadar kehamilan yang lebih tinggi. Perlu diingati, hanya 35-50% day 3 embrio akan berjaya sampai kepada day 5 atau ‘blastocyst’ stage. Lebih kurang 5-10% kes di mana kesemua day 3 embrio telah berhenti membesar dan tidak berjaya sampai ke blastocyst stage. Oleh itu, prosedur pemindahan embrio tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan embrio.

blastocyst

Day 5 Embrio atau Blastocyst

Faktor-faktor yang mempengaruhi kebarangkalian embrio berjaya sampai kepada ‘Blastocyst’

1. Potensi ‘Development’ atau Ketumbesaran Embrio

Pada hari ketiga, semua embrio yang telah dipersenyawakan akan dipantau dalam makmal IVF oleh pakar embriologis. Embrio tersebut akan diberikan gred berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Tanggapan asas ialah embrio yang bergred baik akan memberikan kadar kejayaan yang lebih baik. Akan tetapi, kajian telah menunjukkan bahawa tidak semua embrio yang kelihatan ‘cantik’ dan telah diberikan gred baik sebenarnya akan memberikan kehamilan kerana mereka mungkin sebenarnya tidak mempunyai potensi ‘development’ untuk berbuat demikian. Salah satu sebab ialah berkemungkinan embrio tersebut sebenarnya mempunyai kandungan genetik yang abnormal.

2. Kultur Makmal IVF

ivf3

Tidak semua Makmal IVF dan embriologis berupaya untuk mengendalikan dan memelihara embrio sehingga ke peringkat ‘blastocyst’. Media kultur yang bersesuaian dan kemahiran teknikal pakar embriologis juga akan memberikan impak. Di samping itu, kaedah stimulasi bersesuaian yang diberikan adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang  sama ada embrio yang berkualiti baik dapat dihasilkan.

Kajian Day 3 vs Day 5 Embrio Transfer. Manakah mempunyai kadar kehamilan yang lebih tinggi?

embrio implanting

Implantasi Embrio ke dalam dinding rahim

Kajian-kajian telah menunjukkan yang Day 5 Embrio mempunyai kadar kejayaan kehamilan yang lebih tinggi berbanding dengan Day 3 Embrio. Akan tetapi, bukan semua makmal IVF mendapati keputusan yang sama. Malah, ada pula yang mendapati kehamilan mereka menurun dengan Day 5 Embrio Transfer. Pembesaran dan pemantauan Embrio Day 3 kepada Day 5 memerlukan kultur media yang elok untuk membekalkan persekitaran stabil dan nutrien yang penting bagi pembesaran optimum embrio. Di samping itu, ianya memerlukan kemahiran teknikal yang lebih tinggi  dan adalah lebih rumit bagi pakar embriologis.

Adakah Day 3 Embrio akan menjadi lebih baik jika dikultur seterusnya sehingga ke peringkat blastocyst?

Ramai bertanggapan salah yang Day 3 Embrio sekiranya disimpan dengan lebih lama di dalam kultur media makmal akan menjadi bertambah baik apabila nutrien elok dibekalkan kepadanya. Tanggapan ini adalah tidak benar, embrio tersebut tidak akan berubah sama sekali. Potensi embrio tersebut untuk implantasi adalah sama, perkembangan teknologi moden makmal IVF tidak mampu untuk menambahbaik atau mengubah potensi ‘development’ atau ketumbesaran embrio tersebut.

Kesimpulan

Keputusan sama ada Day 3 atau day 5 bergantung kepada individu masing-masing.

Jika embrio yang terhasil adalah bergred baik dan banyak ie lebih dari 4 embrio, Day 5 ET mungkin adalah opsyen yang bagus kerana embrio Day 5 mempunyai potensi untuk memberikan mereka kehamilan yang tinggi jika ianya dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi bagi wanita yang mempunyai embrio yang tidak banyak dan kurang elok pula, adalah lebih baik sekiranya Day 3 sahaja dilakukan.

Ini juga bergantung kepada makmal IVF di mana rawatan IVF tersebut dilakukan dan juga faktor wanita tersebut, seperti sejarah IVF yang gagal atau umur wanita tersebut.

Kajian-kajian giat sedang dijalankan, adalah diharapkan jawapan yang lebih jitu dapat diberikan dalam masa yang hadapan agar ianya dapat memberikan lebih maklumat kepada para doktor agar the ‘best treatment’ dapat diberikan kepada para pesakit.

Rawatan IVF. Apa yang berlaku di dalam makmal IVF?

Disunting oleh: Cik Nur Ilanah, Ketua Makmal Embryologis  KL Fertility Centre

Bagi memastikan kejayaan tinggi untuk rawatan IVF, pakar embriologis dan makmal IVF memainkan peranan yang amat penting selain dari pakar IVF yang memberikan rawatan.

Prosedur penyedutan telur

Prosedur penyedutan telur atau kadang-kala juga dikenali sebagai ‘Egg pick up’ / OPU. Telur yang telah disedut akan diletakkan ke dalam piring petri.

oocyte cumulus complex

Telur yang telah disedut di dalam piring petri

oocyte

Telur (Oocyte) dilihat di bawah mikroskop

Apa yang berlaku selepas prosedur penyedutan telur?

Proses persenyawaan dilakukan di makmal IVF sekitar 4-6 jam selepas prosedur penyedutan telur. Persenyawaan secara IVF konvensional dilakukan dengan mecampurkan 100, 000 sperma bagi setiap telur. Campuran sperma dan telur ini dibiarkan selama sejam untuk memberi peluang kepada sperma yang terpilih untuk mensenyawakan telur. Sekiranya kualiti sperma tidak memuaskan untuk kaedah IVF konvensional, kaedah persenyawaan secara  (Intracytoplasmic Sperm Injection) ICSI akan dijalankan. ICSI dilakukan dengan menyuntik satu sperma ke dalam setiap satu telur yang matang.

IVF Prosedur

Prosedur IVF

IVF2

Prosedur ICSI

ICSI micromanipulator

Peralatan yang digunakan untuk prosedur ICSI

Persenyawaan – Day 1 post OPU (16-18 jam selepas OPU)

Sekiranya persenyawaan berjaya, dua pronuclei dapat dilihat.  Satu pronuclei akan mengandungi bahan genetik dari ibu manakala pronuclei yang satu lagi adalah dari si ayah. Genetik ini akan bergabung untuk membentuk embrio yang lengkap.

fertilized egg

Telur yang telah dipersenyawakan

Perkembangan embrio seterusnya di dalam inkubator

Embrio akan dikultur seterusnya di dalam mesin inkubator. Mesin tersebut mengandungi persekitaran menyerupai keadaan di dalam saluran peranakan di mana kandungan karbon dioxida, oksigen dan nutrien yang diperlukan pada kandungan pH bersesuaian. Persekitaran ni adalah sangat penting agar embrio dapat membesar dengan sihat dan sempurna.

incubator

Mesin inkubator

incubator1

Mesin inkubator

Perkembangan Embrio dari Day 1 kepada Day 5

0 hour

Day 0 (0 hour)

day1

Day 1 (16-18 Hour)

day2

Day 1(24-26 Hour)

day2a

Day 2 (48 Hour)

day3

Day 3 (72 Hour)

day5

Day 5 (120 Hour)

Pakar Embriologis selalunya akan membuat pemantauan embrio pada hari pertama dan hari ketiga. Embrio akan diberikan gred 1 – 4 bergantung kepada kriteria-kriteria tertentu. Gred 1 dan 2 selalunya adalah bagus dan ini akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan IVF apabila embrio berkualiti elok dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi pemberian Gred embrio kadang-kala berbeza mengikut pusat IVF di mana Gred 4 adalah baik dan Gred 1 kurang baik pula. Oleh itu, hendaklah bertanya kepada doktor / embriologis yang merawati.

  Ikuti  post Blog seterusnya untuk topik Day 3 vs Day 5 embryo transfer. Apakah perbezaannya?

miracle (cannot copy)

Gagal IVF – Masihkah ada harapan untuk aku menjadi ibu akhirnya?

??????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????????

Apabila satu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan melalui rawatan IVF, mereka akan menghadapi pelbagai emosi sewaktu membuat rawatan tersebut. Tidak hairanlah sekiranya setengah-tengah pihak mengatakan bahawa pengalaman tersebut bagaikan menaiki “rollercoaster of emotions”. Perasaan harapan, takut, keliru, kesedihan, kegembiraan bercampur-baur. Adakah rawatan IVF ini akan berjaya ataupun sebaliknya bermain-main di kepala.

roller coaster

Setiap pasangan yang melalui rawatan IVF perlu membuat persediaan mental untuk mengharungi apa-apa jua kemungkinan yang bakal terjadi. Ini ialah kerana di tangan doktor fertiliti yang terbaik sekalipun, kadar kejayaan IVF mungkin mencecah 70-80%. Ianya bukanlah 100%. Oleh itu, ada di antara pasangan yang masih akan gagal di dalam rawatan IVF mereka.

Perlu diingat, kedua-dua pihak wanita dan lelaki akan mengalami masalah kesedihan apabila rawatan IVF ini gagal. Kerapkali ianya lebih ketara pada pihak wanita kerana secara lumrahnya kaum wanita lebih menunjukkan emosi dan meluahkan perasaannya manakala bagi kaum lelaki tidak begitu. Kadangkala, mereka menunjukkan perasaan bersahaja, tapi Dr Tasha percaya yang jauh di sudut hati mereka juga berasa amat kecewa dan sedih. Di samping itu, Dr Tasha sebagai seorang doktor akan merasa sedih juga sekiranya pesakit-pesakit gagal di dalam rawatan IVF mereka. Tetapi sebagai seorang doktor yang merawati kami terpaksa membuat muka yang tabah dan memberikan sokongan agar dapat membantu pasangan tersebut meneruskan perjalanan fertiliti mereka. Mungkin setengah-tengah pesakit merasakan sikap bersahaja doktor mereka membuktikan yang mereka tidak prihatin tentang kesedihan mereka.

man sad(copyright)

Ramai pasangan terlalu kecewa sehingga tidak sanggup lagi membuat rawatan IVF seterusnya kerana takut mengalami kegagalan sekali lagi. Mungkin ada juga bertanya sama sendiri adakah peluang bagi mereka untuk menjadi ibu dan ayah akhirnya. Masihkah ada harapan lagi? Dr Tasha berharap agar mereka berbincang dengan doktor yang merawati mereka dan cuba melihat adakah faktor-faktor yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan kadar kejayaan IVF pada kali berikutnya. Mungkin setengah pasangan mempunyai embrio lebihan yang telahpun dibekukan dan hanya perlu melalui prosedur frozen embryo transfer sahaja. Kadar kejayaan Frozen embryo transfer adalah agak tinggi berbanding fresh transfer. Bahkan setengah-tengah pusat fertiliti di luar negara hanya akan membuat pemindahan embrio yang sudah dibekukan sahaja kerana mendapati kadar kejayaannya adalah lebih elok. Oleh itu, bagi yang mempunyai frozen embrio, hendaklah meneruskan rawatan mereka itu.

Apakah peluang untuk berjaya di dalam rawatan IVF yang berikutnya setelah gagal?

rptIVF

Kajian di atas telah membuktikan bahawa dengan setiap rawatan IVF yang dijalankan, kadar kejayaan akan meningkat. Oleh itu, bagi majoriti pasangan-pasangan yang cekal dan tabah untuk meneruskan rawatan IVF mereka. Kebanyakan mereka akhirnya akan berjaya jua. Sangat jarang, sekiranya doktor yang merawati akan merasa putus asa. Akan tetapi terdapat juga kajian yang telah menunjukkan kadar kejayaan sangat rendah apabila pasangan wanita itu berumur 45 tahun ke atas. Ini disebabkan oleh kualiti telur yang selalunya rendah apabila umur meningkat. Oleh itu, hendaklah berbincang dengan doktor yang merawati anda sekiranya anda boleh meneruskan rawatan IVF. Terpulang kepada individu dan masalah infertiliti masing-masing, ada kemungkinan untuk setengah-tengah pasangan, doktor akan menyuruh mereka ‘to just move on with life’ dan mengambil anak angkat sahaja untuk menjadi seorang ibu dan ayah.

 

Dr Tasha, tergerak hati untuk menulis topik ini apabila menerima email dari pesakit yang telah berjaya hamil dengan sendirinya setelah gagal rawatan IVF berulang kali disebabkan umurnya yang telahpun meningkat (awal 40an) mengakibatkan kualiti telurnya amat rendah. Namun begitu mereka terus cekal dan berusaha dengan menukar diet pemakanannya. Mereka kekal berfikiran positif dan terus berdoa. Rupa-rupanya mereka juga mengingati kata-kata Dr Tasha, mana tahu seandainya sudah ditakdirkanNya, entah-entah dia akan hamil sendirinya. Akhirnya, mereka telahpun dikurniakan seorang anak perempuan dan Dr Tasha sangat bertumpang gembira dengan their ‘miracle’ baby. 

dontgiveup

 

Bagi kaum Muslimin dan muslimah, di bawah adalah doa yang boleh diamalkan agar boleh menghilangkan perasaan sedih:

 

doa sedihMaksudnya:

 

Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.

 

References: http://doaharian.blogspot.com

 

 

 

 

Rawatan IVF gagal – di manakah silapnya?

Woman in tears Rawatan IVF terutama apabila ianya gagal akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada semua wanita dan pasangannya yang terpaksa melalui pengalaman pahit ini. Tekanan emosi yang kuat boleh menyebabkan kesan sampingan fizikal seperti perasaan murung dan juga pergolakan rumah tangga. Perasaan sedih, keliru dan marah bercampur-baur.

Di manakah silapnya? Kenapakah rawatan IVF ini tidak berjaya? Adakah ianya gagal kerana telur tak cantik? Sperm yang tidak elok? Salah doktor? Salah pakar embriologis? Pertanyaan ini mungkin akan bermain-main di fikiran. Kegagalan rawatan IVF memberikan impak sebegini mungkin disebabkan oleh pasangan terpaksa melalui rawatan yang agak invasif dan intensif yang mengambil masa, tenaga dan kos yang agak mahal.

Di samping itu, kegagalan rawatan IVF yang sepatutnya mempunyai kadar kejayaan yang bagus dan merupakan rawatan kesuburan yang terakhir menyebabkan pesakit merasakan begitu hampa dan rungsing memikirkan yang mungkin harapan mereka untuk menjadi seorang ibu sudah menjadi tipis atau tiada sama sekali.

Sebenarnya, sebelum menjalani rawatan IVF, setiap pasangan perlu bersiap sedia untuk mengharungi pengalaman yang penuh dugaan dan mencabar ini. Walaupun, kejayaan IVF dalam kitaran 30-40% dan kadangkala mungkin mencecah kepada 50% – 60%. 1 dalam 3 atau 2 pasangan yang melakukan IVF akan mengalami kegagalan. Oleh itu, setiap pasangan perlu bersedia akan kemungkinan yang mereka terpaksa menghadapi kenyataan pahit tersebut. Akan tetapi, adalah diharapkan agar semua pasangan yang menjalani IVF tetapi rawatannya gagal supaya sentiasa tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk meneruskan perjuangan mereka. Kadangkala, rawatan IVF hanya berjaya setelah kali 2 atau 3.

Di samping itu, bagi persiapan untuk rawatan IVF yang kali kedua atau seterusnya, disarankan agar hendaklah membuat persediaan dan merujuk semula kepada rawatan IVF yang sebelumnya. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil agar peluang untuk kejayaan IVF seterusnya akan berjaya. Perbincangan dengan pakar yang merawat hendaklah dibuat dan faktor-faktor kegagalan IVF dikenalpasti:

1. Adakah kualiti telur kurang elok?

2. Adakah kualiti sperma kurang memuaskan?

Sekiranya kualiti telur / sperma tidak elok ini akan menjejaskan kualiti embrio yang dihasilkan?

3. Adakah terdapat masalah lain seperti saluran fallopian tiub yang bengkak i.e ‘hydrosalphinx’?

4. Adakah dinding rahim semasa meletakkan embrio nipis?

5. Adakah terdapat kesulitan semasa proses ‘oocyte retrieval’ or ‘egg pick up’ disebabkan telur mungkin tinggi?

6. Adakah kesulitan semasa hendak meletakkan embrio?

7. Adakah kualiti embrio cantik tetapi masih tidak mengandung? Ini mungkin mempunyai masalah dari segi ‘implantasi’ embrio tersebut. Ini dikenali sebagai ‘implantation failure’.

Setelah faktor-faktor ini dikenalpasti, barulah kita dapat mengambil langkah-langkah yang tertentu seperti:

  • mengambil supplemen yang sesuai bagi menambah baik kualiti telur dan sperma
  • menukar protokol stimulasi – mengubah ubat stimulasi dan menaikkan dos ubat
  • membuat pembedahan untuk membuang / meng’klip’ fallopian tiub yang bengkak (‘hydrosalpinx’) atau menurunkan telur yang tinggi
  • memberi / menukar ubat rawatan untuk dinding rahim yang nipis
  • mengambil ubat supplemen atau rawatan untuk mengecutkan masalah endometriosis yang aktif

Oleh itu, susulan perbincangan setelah rawatan IVF yang gagal adalah penting dan perlu dilakukan agar isu-isu tersebut dapat diketahui dan langkah-langkah penambah baikkan dapat dibuat.

logo-ivfku

Bagi pasangan yang mempunyai lebihan embrio yang dibekukan selepas rawatan IVF yang sebelumnya, bolehlah berbincang mengenai proses ‘Frozen Embryo Transfer’ (FET). Ini adalah proses dimana embrio yang dibekukan dan kemudiannya dinyahbekukan dan seterusnya diletakkan ke dalam rahim. Sekiranya embrio yang dibekukan itu adalah elok, kejayaan prosedur FET adalah baik. Terdapat ramai pasangan yang telah berjaya hamil selepas prosedur FET.

1a1