
Pada kali ini, Dr Tasha ingin mengajar para pembaca blog terminologi ginekologi asas yang perlu diketahui. Ini adalah agar apabila berjumpa doktor ianya dapat mempermudahkan perbincangan selanjutnya mengenai sebarang masalah sakit puan, kesuburan dan rawatan fertiliti. Walaupun informasi ini adalah perkara asas, namun dari pengalaman Dr Tasha, mungkin masih ramai yang tidak tahu lagi. Dengan mengetahui kitaran haid anda juga boleh mengira waktu subur anda.
1. Berapakah kitaran haid anda?
Kitaran Haid (‘Menstrual cycle’) hendaklah dikira dari hari pertama haid hingga kepada hari terakhir sebelum haid seterusnya.

Contohnya kiraan:
Hari pertama haid 1 April dan hari pertama haid bulan hadapan ialah 28 April.
Jadi, Kitaran Haid anda ialah 27 hari.
Sekiranya doktor menanyakan kitaran haid anda (‘menstrual cycle’) anda bolehlah memberi kiraan purata haid 3 -6 bulan sebelum itu. Kirakan kitaran haid terpendek dan terpanjang anda.
Untuk mengira kitaran haid anda menggunakan kalkulator. Sila KLIK di sini.
2. Adakah kitaran haid anda teratur atau ‘regular’?
Kitaran haid yang teratur ialah apabila kitaran haid itu adalah antara 21 – 35 hari. Ada setengah-tengah wanita yang mempunyai kitaran haid yang lebih pendek iaitu 21 hari, manakala yang lain 35 hari. Kebanyakan wanita mempunyai kitaran haid 28 – 30 hari. Sekiranya anda mempunyai kitaran haid yang tidak teratur dan merancang untuk hamil, hendaklah berjumpa dengan doktor untuk menyiasat apakah punca haid anda tidak teratur.
3. Bilakah LMP anda (Last menstrual period)?
Ini ialah hari pertama anda mendapat haid. Setengah-tengah wanita selalunya akan mendapat tompok-tompok coklat dahulu sebelum dari merah haid keluar. Hari pertama haid selalunya dikira hari pertama darah merah keluar.
4. Berapa lamakah haid anda?
Yang dimaksudkan di sini ialah dari hari pertama haid sehingga darah haid habis. Tempoh haid yang normal selalunya dalam anggaran 3 – 7 hari.
5. Bilakah patut berjumpa doktor sekiranya masih tidak mendapat haid?
Majoriti akan mendapat haid bila genap umur 11-14 tahun. Oleh itu, hendaklah berjumpa dengan doktor sekiranya masih tidak mendapat haid genap umur 16 tahun.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.


