Apakah ‘Rahsia’ mengenai Fertiliti yang perlu diketahui oleh wanita yang pada suatu hari nanti ingin menjadi seorang ibu?
🦋 Jawapan pantas
- ‘Biological clock’ ialah jangka hayat reproduktif wanita — bilangan dan kualiti telur menurun dengan umur.
- Wanita dilahirkan dengan semua telur; bilangan berkurangan sepanjang hayat dan kualiti menurun.
- Teknologi IVF tidak mampu mengatasi sepenuhnya biological clock; umur ibu kekal faktor kejayaan utama.
- Faktor melenggah kehamilan termasuk kerjaya, kewangan dan pengaruh media.
- Jangan berlengah — penilaian kesuburan awal memberi lebih banyak pilihan rawatan.
Teknologi Sains Moden masih tidak mampu mengatasi ‘Biological Clock’ wanita
Kerap kali kenyataan ini telah diutarakan atau diketengahkah oleh para doktor kepada masyarakat umum. Akan tetapi, fenomena di mana wanita melengahkan waktu untuk menjadi seorang isteri dan ibu disebabkan faktor-faktor sosial seperti kareer masih berlaku bukan sahaja di Negara Barat tetapi malah di Malaysia juga. Rawatan kesuburan seperti IVF di dalam tangan doktor kesuburan paling pakar dan berpengalaman sekalipun tidak mampu mengatasi ‘Biological Clock’ seorang wanita. Hakikatnya, IVF bukanlah ‘magic bullet’ seperti sangkaan setengah-tengah pihak.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan rawatan IVF masih bergantung kepada umur pasangan wanita tersebut. Ini boleh dilihat apabila kesemua pusat fertiliti akan memberikan kadar kejayaan rawatan IVF mereka mengikut umur pasangan wanita yang menjalani rawatan IVF dan bukanlah kepada faktor / punca ketidaksuburan pasangan tersebut.

Apakah ‘Biological Clock’ seorang wanita?
Wanita secara semula jadi mempunyai ‘biological clock’ atau pusingan biologi. Ini adalah terminologi yang digunakan untuk mengukur jangka hayat reproduktif seseorang wanita. Hakikatnya, semakin meningkat umur seseorang wanita, kadar kesuburannya akan menurun disebabkan penurunan dari segi kualiti dan kuantiti telurnya. Seseorang wanita akan mengalami menopaus apabila kesemua telurnya kehabisan. Hayat reproduktif wanita tersebut akan berakhir apabila ianya kehabisan telur.
Wanita dilahirkan dengan semua telur di dalam ovari kita. Akan tetapi telur-telur atau kadangkala dikenali sebagai folikel itu tidak matang lagi. Terdapat 1 hingga 2 juta telur di dalam ovary yang akan melalui proses ‘atresia’ di mana telur tersebut mengecut dan diserap oleh badan. Apabila baligh, hanya akan tinggal 400,000 telur. Akan tetapi, tidak semua telur tersebut akan menjadi matang. Pada akhirnya, sebanyak 400 biji telur sahaja yang akan matang dan melalui proses ovulasi sepanjang hayat reproduktif seseorang wanita!
Apabila umur seseorang wanita meningkat, bukan sahaja bilangan telurnya berkurangan, tetapi kualiti telur tersebut juga adalah lebih rendah. Oleh itu, tidak hairan sekiranya kadar keguguran adalah lebih tinggi di kalangan wanita yang lebih berumur.
Faktor-faktor wanita Melengahkan Kehamilan
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada wanita Malaysia melengahkan kehamilan. Salah satu faktor utama yang telah dikenal pasti adalah disebabkan wanita Malaysia memilih untuk menangguhkan perkahwinan bagi membina kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Di samping itu, terdapat sebilangan besar wanita yang sudah berkahwin pula tidak mahu hamil dengan segera atas alasan kesibukan karier, ketidakstabilan kewangan serta ingin membeli keperluan lain seperti rumah dan kereta.
Mungkin ramai yang bertanggapan bahawa mereka boleh lari dari ‘biological clock’ mereka demi mencipta kerjaya dahulu dengan menggunakan rawatan teknologi terkini. Mereka merasakan kerjaya adalah penting dan berpendapat rawatan kesuburan seperti IVF adalah menjamin atau insurans untuk mereka membina keluarga pada usia yang lebih matang.
Imej media juga banyak mempamerkan artis-artis wanita Barat yang dikatakan telah memperolehi kejayaan dalam kerjaya tetapi masih mampu hamil pada usia yang matang ie 40an. Ianya seolah-olah memberi gambaran kepada wanita yang mereka mampu mendapatkan segala-galanya dengan mudah, iaitu kerjaya dan keluarga. Akan tetapi, realitinya besar kemungkinan majoriti wanita tersebut terpaksa melalui rawatan kesuburan yang memakan belanja yang mahal disebabkan masalah ketidaksuburan untuk mendapatkan zuriat.
Selain dari itu, ada pula yang tidak sengaja terlengahkan waktu untuk mencari punca ketidaksuburan atau mendapatkan rawatan untuk kesuburan. Bagi yang mempunyai masalah saluran peranakan tersumbat ataupun sperma yang tidak elok, usahlah melengahkan waktu terlalu lama untuk memperbetulkan keadaan tersebut. Saluran peranakan apabila sudah tersumbat ataupun rosak, walaupun apabila ianya telah diperbetulkan semula, kadar keperatusan kehamilan adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kejayaan IVF jika umur wanita itu masih kurang dari 35 tahun.
Pada hakikatnya, walaupun rawatan teknologi kesuburan boleh mengatasi kebanyakan masalah kesuburan, salah satu faktor kejayaan IVF itu bergantung kepada umur pasangan wanita. IVF bukanlah 100% berjaya dan bukanlah ‘magic bullet’ yang boleh digunakan untuk mendapatkan zuriat pada usia yang semakin meningkat.
Dr Tasha ada terjumpa pasangan di mana umur pasangan wanita adalah 41 tahun dan bertanya kenapakah mengambil masa yang lama untuk mendapatkan nasihat pakar kesuburan. Rupa-rupanya mereka telahpun cuba mendapatkan nasihat dari doktor pada umur 37 tahun mengenai fertiliti dan diberitahu dia masih muda dan rawatan kesuburan tidak perlu dibuat. Oleh itu, bukan sahaja masyarakat umum malah pakar perubatan juga perlu prihatin dan memberikan nasihat yang lebih tepat apabila menyedari hakikat ‘biological clock’ seseorang wanita.
Kesimpulan
Setiap wanita perlu meneliti dan membuat keputusan mengenai pilihan di dalam kehidupannya. Kita kadangkala tidak mampu menggapai semuanya pada waktu yang sama. Ada kalanya, pengorbanan terpaksa dilakukan dengan memberi perhatian kepada perkara yang dirasakan penting pada waktu itu. Wanita perlu prihatin akan tahap kesuburannya yang akan mula menurun bermula dari umur awal 30-an dan mungkin lebih ketara selepas umur 35 tahun.
Soalan lazim
Apakah biological clock wanita?
Ia istilah untuk jangka hayat reproduktif wanita. Bilangan telur berkurangan sejak lahir, dan kualitinya menurun dengan umur — terutama selepas 35 tahun.
Bolehkah IVF mengatasi biological clock?
Tidak sepenuhnya. Walaupun teknologi kesuburan dapat membantu banyak masalah kesuburan, kejayaan IVF masih bergantung kepada umur dan kualiti telur wanita.
Bilakah patut saya mendapatkan penilaian kesuburan?
Jika anda berumur 35 tahun ke atas dan telah mencuba lebih 6 bulan, atau bawah 35 tahun dan telah mencuba lebih 12 bulan, dapatkan penilaian pakar kesuburan.
Bolehkah wanita 40an hamil?
Boleh, tetapi peluang menurun dengan umur kerana kualiti dan kuantiti telur berkurangan. Rawatan awal memberi lebih banyak pilihan.
Sumber
Baca juga: Bolehkah wanita 40an buat rawatan IVF? dan ovarian reserve & ujian AMH.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.


