Menjadi seorang wanita di dalam kehidupan zaman serba moden ini bukanlah mudah. Pelbagai cabaran dan rintangan perlu ditangani. Ini termasuklah dilema yang wanita moden yang dihadapi iaitu memilih antara membina kerjaya ataupun keluarga. Agak sukar untuk mengimbangi tanggungjawab sewaktu mula-mula memulakan karier masing-masing dan diwaktu sama memainkan peranan sebagai seorang wanita yang bergelar isteri atau ibu. Disebabkan ini, ramai wanita telah memilih karier dahulu.

🦋 Jawapan pantas
- Menjadi wanita moden penuh cabaran — kerjaya dan keluarga perlu diimbangi.
- Penangguhan bergelar ibu boleh menjejaskan kesuburan.
- Wanita tidak boleh lari daripada ‘biological clock’.
- Peluang hamil spontan menurun dengan umur (20-an 20–25%, 45 tahun ke atas 1%).
- Rancang masa hadapan dengan teliti — jangan berlengah terlalu lama.
Impak negatif ketidaksuburan disebabkan penangguhan bergelar seorang ibu

Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia dari tahun 1963 sehingga 2014 jumlah kadar kesuburan di kalangan pasangan Malaysia telah semakin menurun daripada 6.1 kepada 2.1. Walaupun ianya masih belum ke paras drastik seperti negara Hong Kong, Korea dan Singapura, namun penurunan ini sudah tentunya akan memberikan impak yang mendalam pada masa hadapan dari segi sosial dan ekonomi. Salah satu faktor utama yang telah dikenalpasti kenapakah situasi ini berlaku adalah disebabkan wanita memilih untuk menangguhkan perkahwinan untuk membina kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Di samping itu, terdapat sejumlah besar wanita yang sudah berkahwin pula tidak mahu hamil dengan segera atas alasan kesibukan karier, ketidakstabilan kewangan serta ingin membeli keperluan lain seperti rumah dan kereta.
Wanita tidak boleh lari dari ‘biological clock’ mereka
Wanita secara semulajadinya mempunyai ‘biological clock’. Kita tidak boleh lari dari hakikat ini. Wanita telah dilahirkan dengan semua telur di dalam ovari kita. Sewaktu lahir terdapat 1-2 juta telur di dalam ovarinya yang akan melalui proses ‘atresia’ di mana telur tersebut mengecut dan diserap oleh badan. Apabila baligh, hanya akan tinggal 400,000 telur. Akan tetapi tidak kesemua telur tersebut akan menjadi matang. Pada akhirnya, sebanyak 400 biji telur sahaja yang akan mematang dan melalui proses ovulasi sepanjang hayat reproduktif seseorang wanita!

Apakah Peluang untuk hamil secara ‘natural’ mengikut umur wanita untuk setiap bulan?
| Umur wanita | Peluang hamil spontan sebulan |
|---|---|
| 20-an | 20–25% |
| 30-an | 15% |
| 35 tahun ke atas | 10% |
| 40 tahun ke atas | 5% |
| 45 tahun ke atas | 1% |
Oleh itu, masalah kesuburan akan meningkat semakin meningkatkan umur seseorang wanita tersebut. Ini disebabkan oleh penurunan kualiti dan kuantiti telur di dalam kilang ovarinya. Ketidaksuburan akan mengakibatkan lebih ramai wanita memerlukan rawatan kesuburan yang memakan perbelanjaan yang mahal.
Membuat perancangan teliti untuk masa hadapan

Setiap wanita perlu meneliti dan membuat keputusan mengenai pilihan di dalam kehidupannya. Kita kadang-kala tidak mampu menggapai semuanya pada waktu yang sama. Ada kalanya, pengorbanan terpaksa dilakukan terlebih dahulu untuk apa yang dirasakan penting. Wanita perlu prihatin akan tahap kesuburannya yang akan mula menurun bermula dari umur awal 30an dan mungkin ketara selepas umur 35 tahun. Menjadi seorang ibu dan juga wanita bekerjaya tidaklah mudah. Setiap wanita mempunyai kehendak dan ekpektasi yang berlainan. Mungkin bukan semua wanita mempunyai naluri kuat yang inginkan anak dan menjadi seorang ibu. Akan tetapi, wanita perlu membuat perancangan teliti pada waktu muda untuk masa hadapan dan tidak menyesal kelak di kemudian hari disebabkan oleh kejahilan mengenai ‘biological clock’ mereka.
Ikuti post blog seterusnya:
Bolehkah wanita memberhentikan ‘biological clock’ mereka?
Soalan lazim
Kenapa wanita moden melenggah untuk hamil?
Pelbagai cabaran kehidupan moden, terutamanya tumpuan kepada kerjaya, menyebabkan ramai wanita melenggahkan perkahwinan dan kehamilan.
Bolehkah wanita lari daripada biological clock?
Tidak. Wanita dilahirkan dengan semua telur dan rizabnya menurun dengan umur; kesuburan menurun semakin meningkat umur.
Apakah peluang hamil spontan mengikut umur?
Kira-kira 20–25% sebulan bagi wanita 20-an, 15% bagi 30-an, 10% bagi 35 tahun ke atas, 5% bagi 40 tahun ke atas dan 1% bagi 45 tahun ke atas.
Apakah nasihat Dr Tasha?
Rancang masa hadapan dengan teliti dan jangan menangguhkan kehamilan terlalu lama, kerana kesuburan menurun dengan umur.
Sumber
- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) — statistik perkahwinan dan kesuburan.
- NHS — Treatment for infertility
Baca juga: Biological clock wanita.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.



