Blog Archives

Embryo Glue: Cara meningkatkan Kadar Implantasi Embrio semasa IVF

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan kadar kejayaan IVF. Antara kaedah yang boleh digunakan dikenali sebagai ‘add on treatment’ for IVF. Ini termasuklah rawatan ‘Embryo Glue’

Apakah Embryo Glue?

Ianya adalah sejenis cecair medium yang mengandungi protein hyaluronan dan albumin dalam konsentrasi yang tinggi. Embryo Glue ini bertindak seolah-olah seperti gam yang melekatkan embrio dengan lebih kuat kepada lapisan dinding rahim. Di samping ini, penggunaan Embrio Glue ini bertindak sebagai cecair kental untuk mengurangkan pergeseran embrio dan membantu mengekalkan embrio tersebut di kedudukannya seterusnya membantu embrio tersebut implan ke dalam dinding rahim dengan baik. Ini dapat meningkatkan kadar implantasi embrio semasa prosedur pemindahan embrio dilakukan dan kadar kejayaan IVF.

Hyaluronan juga dikenali sebagai asid hyaluronik atau hyaluronat. Ianya mengandungi molekul karbohidrat glukosaminoglikan yang terdapat secara semulajadi di dalam folikel ovari, tiub fallopian dan rahim yang meningkat paras kuantitinya di dalam rahim semasa ‘implantation window period’.

Bagaimanakah Embryo Glue digunakan?

Pada hari ET (Embrio Transfer) akan dilakukan, embrio yang telah dipilih akan dikeluarkan dari pakar embriologis dari inkubator dan akan diperam bersama ‘transfer’ medium yang telah diperkayakan dengan Embryo Glue selama 10 ke 30 minit. Proses ini akan menyebabkan medium tersebut menjadi lebih kental dan menjadi lebih mirip kepada cecair semulajadi yang berada di dalam rahim. Embryo glue boleh digunakan untuk prosedur ‘fresh’ ataupun ‘frozen’ embrio.

Kajian-kajian yang telah dilakukan tidak menunjukkan sebarang kesan buruk sampingan dengan penggunaan Embryo Glue tersebut kepada pesakit ataupun embrio. Akan tetapi, terdapat segelintir kajian yang menunjukkan kadar kehamilan kembar yang lebih tinggi dengan penggunaan Embryo Glue. Oleh itu, mungkin bilangan pemindahan embrio perlu dihadkan kepada satu sahaja.

Siapakah yang bersesuaian yang menggunakan Embryo Glue?

Kajian telah menunjukkan yang ianya boleh digunakan untuk pasangan wanita yang berumur lebih dari 35 tahun, ‘unexplained’ infertiliti atau pasangan yang pernah gagal rawatan IVF sebelum ini serta embrio yang berkualiti lebih rendah. Akan tetapi, tidak salah sekiranya pasangan TTC ingin menggunakan Embryo Glue untuk rawatan IVF mereka pada kali pertama.

Kadar Kejayaan IVF dengan penggunaan Embryo Glue

Mengikut kajian yang dijalankan, kadar peningkatan kejayaan ‘live birth rate’ sebanyak 19- 21% untuk kedua embrio di peringkat ‘cleavage stage’ ie day 3 embrio atau pun ‘blastocyst stage’ day 5-7 embrio.

Berapakah kos Embryo Glue?

Ini bergantung kepada pusat IVF dan berharga dalam lingkungan anggaran rm400-1500.

Kesimpulan

Terdapat beberapa faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan kadar kejayaan IVF seperti Embryo Glue tersebut di atas. Pasangan TTC perlu berbincang dengan lebih teliti dengan pakar IVF mereka apakah kaedah-kaedah yang bersesuaian dengan latar belakang mereka. Semoga lebih ramai lagi pasangan TTC di luar sana akan berjaya hamil.

Sekiranya anda ingin mendapatkan konsultasi mengenai cara untuk meningkatkan kadar kejayaan IVF anda atau penggunaan Embryo glue sila hubungi Dr Tasha di email drnatashanor@gmail.com

Rujukan:

  1. Heymann et al. Hyaluronic acid in embryo transfer media for assisted reproductive technologies. Cochrane Database Syst Review 2020 Sep 2;9(9):CD007421. doi: 10.1002/14651858.CD007421.pub4.