Apa yang anda perlu tahu mengenai dinding rahim yang nipis
“Doktor, saya diberitahu bahawa dinding rahim saya nipis. Apakah puncanya?”
Apakah dinding rahim?
Dinding rahim sebenarnya terdiri dari 3 lapisan iaitu perimetrium, myometrium and endometrium. Lapisan di mana telur yang telah dipersenyawakan akan menempel untuk proses implantasi dikenali sebagai lapisan endometrium iaitu lapisan rahim yang paling dalam. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh dinding rahim sebenarnya adalah lapisan endometrium. Dalam Bahasa Inggeris ianya disebut sebagai ‘endometrial lining’.
Lapisan endometrium pula terdiri dari dua lapisan iaitu ‘functional’ dan ‘basal’. Lapisan ‘basal’ adalah lapisan paling bawah berdekatan dengan otot rahim ie myometrium. Manakala lapisan ‘Functional’ di atas lapisan basal berdekatan dengan kaviti rahim. Lapisan ‘Functional’ inilah yang akan menebal dan terlerai semasa waktu haid.
Ketebalan lapisan endometrium dipengaruhi oleh hormon estrogen dan progesterone. Kehadiran hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan lapisan endometrium menebal.
Ketebalan dinding rahim seseorang wanita bergantung kepada fasa kitaran haidnya:
a) Fasa ‘menstrual’ : Ketebalan rahim adalah 1-4mm. Ini lazimnya berlaku pada hari 1-4 haid.
b) Fasa ‘proliferative’ : Ketebalan rahim adalah 4-8mm. Ini lazimnya berlaku pada hari 5-13 haid.
c) Fasa ‘secretary’: Ketebalan rahim adalah 7-14mm. Ini selalunya berlaku pada hari 14-28 haid.
Apakah dinding rahim yang nipis?
Dari kajian yang telah dijalankan, kebanyakan konsensus menyatakan yang ketebalan dinding rahim sekurang-kurangnya 7mm diperlukan untuk implantasi embrio bagi mendapatkan peratus kejayaan kehamilan yang baik selepas menjalani rawatan kesuburan terutamanya IVF. Manakala setengah-sengah pihak menyatakan lapisan endometrium perlulah setebal 9mm ke atas. Bagi Dr Tasha pula prefer at least 8mm ke atas. Namun begitu, terdapat kajian yang telah menunjukkan yang kehamilan masih juga boleh berlaku walaupun dinding rahim adalah 6mm ke bawah tetapi peratus kejayaan kehamilan hanyalah 5.7%. (1)
Lapisan dinding rahim yang nipis sebenarnya disebabkan oleh lapisan endometrium ‘basal’ yang nipis. Imbasan scan untuk mengukur ketebalan rahim seelok-eloknya dilakukan melalui faraj dan pada masa ‘subur’ seseorang wanita.
Kenapakah dinding rahim nipis mengurangkan kebarangkalian kehamilan?
Terdapat beberapa teori yang menerangkan punca dinding rahim nipis menyebabkan penempelan embrio lebih rendah, salah satu teori tersebut ialah ‘Oxygen Tension Theory’.
Mengikut penjelasan dari Dr Robert Casper dari Universiti Toronto Canada (2), lapisan endometrium ‘basal’ mempunyai saluran darah yang besar dinamakan ‘spiral arteries’ manakala lapisan ‘functional’ mempunyai saluran darah yang lebih kecil iaitu ‘kapilary darah’. Implantasi embrio lazimnya berlaku pada lapisan ‘functional layer’. Apabila ovulasi berlaku, ianya akan menyebabkan pengecutan saluran darah besar ‘spiral arteries’ di dalam lapisan ‘basal’ endometrium. Ini seterusnya akan mengakibatkan tekanan oxygen yang lebih rendah di dalam lapisan ‘functional’ yang penting untuk membenarkan implantasi baik oleh embrio. Apabila lapisan dinding adalah nipis, ini bermakna lapisan endometrium ‘functional’ adalah nipis, penempelan embrio akan berlaku lebih berdekatan dengan lapisan endometrium ‘basal’ yang mempunyai saluran darah besar iaitu ‘spiral arteries’ yang mengandungi kandungan dan tekanan oxygen tinggi yang memudaratkan penempelan embrio.
Punca dinding rahim yang nipis
Antara faktor-faktor yang menjadi punca dinding rahim yang nipis adalah:
- Penggunaan pil perancang pada tempoh yang sangat lama
- Infeksi
- Kesan sampingan pencucian rahim D&C iaitu Asherman Syndrome di mana terdapat lapisan parut terbentuk di dalam lapisan dalam rahim.
- Penggunaan ubat pil subur Clomid pada dos yang tinggi.
Namun dalam kebanyakan pesakit puncanya tidak ketahui.
Rawatan untuk dinding rahim yang nipis
Terdapat pelbagai rawatan untuk lapisan dinding rahim yang nipis. Masalah dinding rahim yang nipis ini sebenarnya agak sukar untuk dirawati. Mengikut kajian-kajian yang dijalankan kebanyakan rawatan tersebut di bawah terdapat percanggahan kesimpulan mengenai keberkesanan rawatan tersebut.
1. Hormon Estrogen.
Ini boleh diberikan dalam bentuk dimakan, dimasukkan ke dalam faraj ataupun ditampal ke atas kulit. Estrogen diperlukan untuk membantu penebalan lapisan endometrium dan juga menyebabkan pengecutan arteri ‘spiral’ dan mengurangkan tekanan oxygen dalam lapisan ‘functional’ agar penempelan embrio dapat berlaku dengan baik. Dos yang tinggi boleh digunakan 6 – 8 mg sehingga ke 16-20mg sehari.
2. Aspirin
Ia berfungsi dengan menghalang penghasilan thromboxane and boleh mengurangkan rintangan di dalam arteri rahim serta menambahbaik pengaliran darah kepada rahim. Dos rendah (75-150mg/ sehari) akan digunakan lazimnya.
Akan tetapi terdapat percanggahan di dalam kajian yang telah dijalankan untuk melihat keberkesanan aspirin untuk dinding rahim yang nipis. Cochrane Review (3) tidak menunjukkan sebarang penambahbaik dari segi ketebalan dinding rahim dan juga kadar kehamilan. Manakala kajian lain mengatakan terdapat peningkatan ketebalan rahim pula. Namun, setengah para doktor masih menggunakan aspirin masih menggunakan aspirin yang pada umumnya mempunyai kesan negatif yang minimal tetapi berpotensi memberikan ‘outcome’ yang lebih baik bagi pesakit yang mempunyai masalah ini dinding rahim nipis.
3. Pentoxifylline and Tocopherol (Vitamin E).
Kombinasi kedua-dua ubat tersebut di atas dikatakan boleh menambahbaik pembentukan lapisan endometrium dan ketebalan dinding rahim.
4. Sildenafil citrate (Viagra)
Fungsi viagra ialah melalui peningkatan rembesan ‘nitric oxide’ yang menyebabkan pengenduran otot-otot yang mengelilingi saluran darah agar membolehkan lebih banyak aliran darah melalui rahim. Ianya akan digunakan melalui faraj untuk mendapatkan kesan yang lebih tinggi. Lebih kurang 1/3 wanita yang mempunyai masalah dinding rahim ini tidak akan menunjukkan penebalan dinding rahim seperti yang diinginkan.
5. Hysteroscopy
Prosedur Hysteroscopy di mana kamera dimasukkan di dalam rahim bagi memastikan tiada terdapat parut (‘adhesion’) atau septa yang boleh menyebabkan dinding rahim nipis.
6.GM-CSF (Granulocyte Macrophage Colony Stimulating Factor)
‘Granulocyte Macrophage’ adalah sejenis protein yang mengandungi sejenis sel darah putih yang berfungsi untuk ‘memakan’ sebarang benda asing di dalam badan untuk pertahanan badan. Manakala, ‘Colony Stimulating Factor’ ialah sejenis protein yang berfungsi sebagai perantaraan komunikasi antara sel-sel di dalam badan. GM-CSF lazimnya dirembeskan ke dalam saluran peranakan dan rahim beberapa selepas ovulasi. Ianya dikatakan penting dalam membantu implantasi embrio dengan mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi oleh embrio.
Cecair yang mengandungi GM-CSF akan dimasukkan ke dalam rahim beberapa hari sebelum embrio diletakkan bagi wanita yang mempunyai dinding rahim nipis. Rawatan ini adalah pada tahap baru dan masih memerlukan lebih banyak kajian bagi memastikan keberkesanannya.
7. ‘Stem Cell’
‘Stem cell’ adalah sel-sel tidak matang yang merupakan sel induk di mana ianya boleh mematang, membiak untuk menjadi pelbagai jenis sel di dalam badan kita. Embrio terdiri dari stem sel. Di dalam rawatan ini, stem cell dari sum-sum tulang wanita tersebut dikeluarkan dan kemudiannya diletakkan di dalam rahimnya. Akan tetapi, seperti rawatan GM-CSF adalah masih baru dan perlu dikaji seterusnya. (5)
8. Akupuntur
Akupuntur dikatakan dapat meningkatkan aliran darah di dalam rahim agar dapat meningkatkan penempelan embrio. Kajian-kajian yang dijalankan untuk melihat keberkesanan rawatan ini juga mempunyai kesimpulan yang bercanggah.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
REFERENCES:
- Dix E, Check, JH. Successful pregnancies following embryo transfer despite very thin late proliferative endometrium. Clin Exp Obstet Gynecol. 2010; 37(1):15-6
- Casper, RF. Its time to pay attention to the endometrium. Fertil Steril. 2011; 96(3):519-521.
- Glujovsky D, Pesce R, et al. Endometrial prepartion for women undergoing embryo transfer with frozen embryos or embryos derived from donor oocytes. (2010) Cochrane Datebase Syst Rev 1, CD006359
- Gleicher N, Kim A, et al. A pilot cohort study of granulocyte colony-stimulating factor in the treatment of unresponsive thin endometrium resistant to standard therapies. Hum Reprod 2013; 28(1):172-
- Chaitanya B Nagori, Sonal Y Panchal, et al. Endometrial Regeneration using autologous adult stem cells followed by conception by in vitro fertilitization in a patient with severe Asherman’s syndrome. J Human Reprod Sci. 2011; 4(1):43-48
Posted on February 17, 2017, in Uncategorized and tagged Bayi tabung uji, berapa lama untuk hamil, dinding rahim nipis, doktor kesuburan, doktor perempuan IVF, Dr Natasha Nor, GAGAL IVF, infertility, ingin hamil, KL FERTILITY CENTRE, kurang kesedaran masalah kesuburan, masalah kesuburan, rawatan kesuburan. Bookmark the permalink. 5 Comments.
Assalamualaikm dr…saya nk tanya..selepas 3 hari ovulasi berlalu..sometimes ovari sebelh kiri saya berdenyut…apakah pnca denyutan tersebut yee😥😥
Wsalam OrkidPutih,
Kadang-kala segelintir wanita boleh merasakan proses ovulasi. Ini dikenali sebagai Mittelschmerz pain. Berkemungkinan besar bulan ini ovulasi berlaku dari ovari sebelah kiri puan. Untuk mengesahkan, mungkin pada bulan depan, scan boleh dilakukan berdekatan dengan waktu ovulasi.
Terima kasih banyk dr natasha atas maklum balas dr..denyutan ringan selepas ovulasi yg berlaku adakalanya dirasai di sebelah kiri dan sometimes seblh kanan dalam masa yg sama..adakah fenomena sebegini akan menjejaskan peluang saya untuk hamil?..untuk makluman dr..saya baru 2 bulan kawin..saya sangat risau bile berlaku perubahan sebegini dalam diri saya😥😥😥
Salam .saya sudah period 24/02 .sekrng saya nak tahu macam mana nak kira untuk bulan 3 ni
Wsalam Syafika,
Minta maaf adakah Syafika ingin tahu mengenai waktu subur Syafika? Jika begitu, sila rujuk kepada post blog yang berbincang mengenai waktu kesuburan ya