Blog Archives
‘Unexplained’ Infertiliti

“Kami sudah berkahwin selama 7 tahun dan telah melakukan segala ujian kesuburan yang diperlukan. Keputusan semua ujian adalah normal belaka tetapi kenapakah saya masih tidak hamil?” Sekiranya semua ujian kesuburan telah dilakukan tetapi semuanya normal, ini dikenali sebagai ‘Unexplained infertility’.
‘Unexplained infertility’ bukanlah bermakna memang tiada masalah kesuburan dalam pasangan tersebut, tetapi ianya bermaksud para doktor tidak dapat mencari apakah punca masalah kesuburan dalam pasangan tersebut. Sebanyak 20 – 30% pasangan yang menghadapi masalah kesuburan akan diberikan diagnosi ini. Kadang-kala ini menimbulkan lebih tekanan perasaan di kalangan pasangan tersebut kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk mengatasi atau mengubati masalah kesuburan kerana ‘tiada’ punca dapat dikesan. Oleh itu, mereka bertanggapan bahawa tiada rawatan efektif yang boleh diberikan kepada mereka.
Adakah ujian kesuburan dapat mengesan semua punca masalah kesuburan?
Memang tidak dinafikan ujian-ujian kesuburan moden yang dijalankan ada mempunyai kelemahan-kelemahannya tersendiri.
- HSG (Hsyterosalpingogram) adalah ujian X-ray yang dilakukan sebagai ‘out-patient’ hanya akan memberitahu sama ada saluran peranakan tersumbat atau pun tidak. Akan tetapi ia tidak akan memberitahu sama ada saluran peranakan tersebut berfungsi dengan elok. Saluran peranakan adalah satu organ yang mempunyai bahagian yang bernama ‘fimbriae’ yang kelihatan seperti jejari-jejari halus yang berfungsi untuk ‘menangkap’ telur matang yang dilepaskan dari ovari semasa proses ovulasi. Penyakit seperti ‘Sexually transmitted disease’ yang menyebabkan ‘Pelvic Inflammatory disease’ (PID) ataupun endometriosis banyak merosakkan jejari halus ini. Oleh itu, kadang-kala semasa HSG, saluran peranakan dilihat seperti elok kerana tidak tersumbat akan tetapi pada hakikatnya fungsinya sudahpun terjejas. Di samping itu, saluran peranakan mempunyai bulu-bulu halus yang dinamakan ‘cilia’ yang berfungsi untuk membawa telur yang telah dipersenyawakan oleh sperma kepada rahim untuk implantasi.
- Imbasan scan pelvis akan melihat sama ada fibroid atau cyst ovari. Akan tetapi ia tidak dapat melihat sekiranya terdapat kesan parut yang dikenali sebagai ‘adhesion’ yang berpunca dari masalah ‘Pelvic Inflammatory disease’ ataupun endometriosis. Scan juga tidak akan dapat mengesan masalah saluran peranakan jika tersumbat atau rosak.
- Kadang-kala ada masalah pada pasangan wanita seperti ovulasi yang sedikit dan manakala pasangan lelakinya pula menghadapi ‘sperma’ yang ‘borderline’. Bila digabungkan kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat hamil.
- Ketiadaan ujian kesuburan untuk menguji sama ada terdapat masalah fisiologi organ yang terlibat di dalam reproduktif e.g rahim mempunyai masalah untuk ‘implantasi’ embrio, keupayaan sperma untuk mempersenyawakan telur yang matang atau wanita tersebut mempunyai telur yang defektif.
Sebenarnya kehamilan melibatkan beratus-ratus proses biokimia dan molekular yang kompleks dan rumit. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ujian kesuburan moden masih tidak dapat merungkai atau mengenalpasti punca sebenar ketidaksuburan bagi setengah-tengah pasangan.
Rawatan kesuburan untuk pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
1. ‘Expectant management’: Tiada rawatan kesuburan yang spesifik yang diberikan, hanya sokongan moral dari doktor yang merawati. Ini hanya mungkin sesuai sekiranya pasangan wanita itu kurang dari 30 tahun dan tempoh percubaan untuk hamil kurang dari 3 tahun.
2. Penggunaan ubat pil subur clomiphene (‘clomid’) untuk merangsangkan ovari. Kajian (1) telah membuktikan rawatan kesuburan ini mempunyai kadar kejayaan yang rendah untuk pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
3. Rawatan IUI
a) Dengan menggunakan clomiphene sahaja untuk merangsangkan ovari dan kemudian melakukan rawatan IUI. Kajian yang dijalankan tidak menunjukkan yang rawatan ini adalah efektif untuk pasangan yang mempunyai ‘unexplained infertility’ (1)
b) Dengan menggunakan ubat suntikan gonadotrophin untuk merangsangkan ovari dan kemudian melakukan rawatan IUI. Kadar kejayaan mengandung untuk setiap ‘cycle’ adalah sehingga 26% bagi pasangan tersebut. (2)
Akan tetapi terdapat masalah seperti kandungan kembar dan OHSS apabila pesakit diberikan ubat suntikan gonadotrophin tersebut.
4. Rawatan IVF
Rawatan IVF bagi pasangan yang menghadapi masalah ‘Unexplained Infertility’ memberikan kadar kejayaan untuk hamil yang tinggi dan dalam masa yang singkat. Kajian (3) menunjukkan kadar kejayaan untuk membawa pulang bayi (‘Live Birth Rate’) adalah mencecah sehingga 45.7%. Akan tetapi kos IVF juga adalah tinggi. Di samping itu, IVF juga bertindak sebagai satu ujian untuk meng’diagnosi’ masalah seperti telur yang kurang berkualiti ataupun masalah persenyawaan.
Langkah-langkah yang boleh dibuat oleh pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
- Mengurangkan pengambilan kafein dalam diet
- Tidak merokok
- Memastikan berat badan adalah ideal. BMI yang elok dicapai adalah 19-24
- Berjumpa dengan doktor kesuburan untuk berbincang rawatan yang perlu dilakukan seterusnya.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
Rujukan:
1. Hughes E, Brown J, Collins JJ, Vanderkerchove P. Clomiphene citrate for unexplained subfertility in women. Cochrane Database Syst Rev. 2010.
Gagal IVF – Masihkah ada harapan untuk aku menjadi ibu akhirnya?

Apabila satu pasangan yang menghadapi masalah kesuburan melalui rawatan IVF, mereka akan menghadapi pelbagai emosi sewaktu membuat rawatan tersebut. Tidak hairanlah sekiranya setengah-tengah pihak mengatakan bahawa pengalaman tersebut bagaikan menaiki “rollercoaster of emotions”. Perasaan harapan, takut, keliru, kesedihan, kegembiraan bercampur-baur. Adakah rawatan IVF ini akan berjaya ataupun sebaliknya bermain-main di kepala.
Setiap pasangan yang melalui rawatan IVF perlu membuat persediaan mental untuk mengharungi apa-apa jua kemungkinan yang bakal terjadi. Ini ialah kerana di tangan doktor fertiliti yang terbaik sekalipun, kadar kejayaan IVF mungkin mencecah 70-80%. Ianya bukanlah 100%. Oleh itu, ada di antara pasangan yang masih akan gagal di dalam rawatan IVF mereka.
Perlu diingat, kedua-dua pihak wanita dan lelaki akan mengalami masalah kesedihan apabila rawatan IVF ini gagal. Kerapkali ianya lebih ketara pada pihak wanita kerana secara lumrahnya kaum wanita lebih menunjukkan emosi dan meluahkan perasaannya manakala bagi kaum lelaki tidak begitu. Kadangkala, mereka menunjukkan perasaan bersahaja, tapi Dr Tasha percaya yang jauh di sudut hati mereka juga berasa amat kecewa dan sedih. Di samping itu, Dr Tasha sebagai seorang doktor akan merasa sedih juga sekiranya pesakit-pesakit gagal di dalam rawatan IVF mereka. Tetapi sebagai seorang doktor yang merawati kami terpaksa membuat muka yang tabah dan memberikan sokongan agar dapat membantu pasangan tersebut meneruskan perjalanan fertiliti mereka. Mungkin setengah-tengah pesakit merasakan sikap bersahaja doktor mereka membuktikan yang mereka tidak prihatin tentang kesedihan mereka.
Ramai pasangan terlalu kecewa sehingga tidak sanggup lagi membuat rawatan IVF seterusnya kerana takut mengalami kegagalan sekali lagi. Mungkin ada juga bertanya sama sendiri adakah peluang bagi mereka untuk menjadi ibu dan ayah akhirnya. Masihkah ada harapan lagi? Dr Tasha berharap agar mereka berbincang dengan doktor yang merawati mereka dan cuba melihat adakah faktor-faktor yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan kadar kejayaan IVF pada kali berikutnya. Mungkin setengah pasangan mempunyai embrio lebihan yang telahpun dibekukan dan hanya perlu melalui prosedur frozen embryo transfer sahaja. Kadar kejayaan Frozen embryo transfer adalah agak tinggi berbanding fresh transfer. Bahkan setengah-tengah pusat fertiliti di luar negara hanya akan membuat pemindahan embrio yang sudah dibekukan sahaja kerana mendapati kadar kejayaannya adalah lebih elok. Oleh itu, bagi yang mempunyai frozen embrio, hendaklah meneruskan rawatan mereka itu.
Apakah peluang untuk berjaya di dalam rawatan IVF yang berikutnya setelah gagal?
Kajian di atas telah membuktikan bahawa dengan setiap rawatan IVF yang dijalankan, kadar kejayaan akan meningkat. Oleh itu, bagi majoriti pasangan-pasangan yang cekal dan tabah untuk meneruskan rawatan IVF mereka. Kebanyakan mereka akhirnya akan berjaya jua. Sangat jarang, sekiranya doktor yang merawati akan merasa putus asa. Akan tetapi terdapat juga kajian yang telah menunjukkan kadar kejayaan sangat rendah apabila pasangan wanita itu berumur 45 tahun ke atas. Ini disebabkan oleh kualiti telur yang selalunya rendah apabila umur meningkat. Oleh itu, hendaklah berbincang dengan doktor yang merawati anda sekiranya anda boleh meneruskan rawatan IVF. Terpulang kepada individu dan masalah infertiliti masing-masing, ada kemungkinan untuk setengah-tengah pasangan, doktor akan menyuruh mereka ‘to just move on with life’ dan mengambil anak angkat sahaja untuk menjadi seorang ibu dan ayah.
Dr Tasha, tergerak hati untuk menulis topik ini apabila menerima email dari pesakit yang telah berjaya hamil dengan sendirinya setelah gagal rawatan IVF berulang kali disebabkan umurnya yang telahpun meningkat (awal 40an) mengakibatkan kualiti telurnya amat rendah. Namun begitu mereka terus cekal dan berusaha dengan menukar diet pemakanannya. Mereka kekal berfikiran positif dan terus berdoa. Rupa-rupanya mereka juga mengingati kata-kata Dr Tasha, mana tahu seandainya sudah ditakdirkanNya, entah-entah dia akan hamil sendirinya. Akhirnya, mereka telahpun dikurniakan seorang anak perempuan dan Dr Tasha sangat bertumpang gembira dengan their ‘miracle’ baby.
Bagi kaum Muslimin dan muslimah, di bawah adalah doa yang boleh diamalkan agar boleh menghilangkan perasaan sedih:
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.
References: http://doaharian.blogspot.com
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Kenapakah kos IVF mahal?
Kebanyakan pasangan yang menghadapi masalah kesuburan berpendapat bahawa rawatan IVF adalah mahal. Ini menyebabkan ramai antara pasangan yang tidak mampu membiayai harga kos IVF. Tambahan pula, rawatan IVF juga bukanlah 100% yang akan berjaya. Ini menyebabkan ramai pasangan yang terpaksa menolak rawatan IVF, walaupun pada hakikatnya rawatan inilah yang akan memberikan mereka peluang yang terbaik untuk menjadi ibu dan bapa.
Secara amnya, kos IVF di mana-mana hospital atau pusat fertiliti adalah mahal. Secara puratanya harga keseluruhan IVF adalah dalam anggaran RM5,000 – RM20,000. Ini menyebabkan setengah-tengah pasangan tidak mampu untuk melakukan rawatan tersebut dan terpaksa mengumpul duit terlebih dahulu. Kadang-kala mereka mengambil masa yang agak lama untuk mengumpulkan wang tersebut. Tanpa disedari, semakin lama umur pasangan wanita itu juga akan meningkat. Umur wanita adalah salah satu faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan rawatan IVF. Di samping itu, duit untuk rawatan kesuburan perlu dikaut dari poket sendiri dan tidak dapat di’claim’ dari insurans kesihatan ataupun menggunakan ‘guarantee letter’ bagi yang bekerja dengan kerajaan. Buat masa ini, duit EPF juga tidak boleh digunakan untuk membayar kos perbelanjaan untuk rawatan kesuburan.
Kenapakah kos IVF mahal?
a) Kos ubat-ubatan yang terlibat di dalam rawatan IVF
- Ubat-ubatan yang digunakan unyuk meransangkan telur adalah dalam bentuk suntikan yang perlu diberikan setiap hari. Kebanyakan adalah sensitif kepada haba dan tidak tahan lama.
- Ubat-ubatan ini adalah diimpot dari luar negara
- Ubat-ubatan juga diperlukan selepas ’embrio transfer’ untuk menguatkan rahim
b) Rawatan IVF memerlukan pemantauan yang teliti semasa rangsangan telur dan prosedur-prosedur perlu dilakukan
- Imbasan scan kerap perlu dilakukan untuk memantau pembentukan folikel-folikel di dalam telur
- Suntikan ubat-ubatan ubat rangsangan oleh jururawat kadang-kala perlu dibuat
- Prosedur pengambilan telur dilakukan di dalam dewan bedah dan kadang kala memerlukan bantu pakar bius
- Prosedur pemindahan telur

c) Kos Makmal IVF
- Peralatan yang diperlukan di dalam makmal IVF adalah penting bagi memastikan embrio yang terhasil berkualiti tinggi. Ini memerlukan teknologi yang canggih dan mahal.
- Peralatan yang kerap digunakan juga adalah ‘pakai buang’ bagi setiap pesakit untuk memastikan tiada kontaminasi berlaku.
- Bahan media yang diperlukan adalah diimport dan tidak tahan lama.
- Pembekuan embrio juga memerlukan penyelenggaraan makmal yang ketat
d) Kepakaran dari pakar perubatan dan embriologis
- Kepakaran dan pengalaman khusus dalam bidang kesuburan diperlukan dan ini mengambil masa yang panjang dan kos yang tinggi
- Pelaburan tenaga sumber manusia penting bagi memastikan kadar kejayaan sesuatu pusat fertiliti sentiasa berada di tahap yang tinggi
APAKAH PENDAPAT PEMBACA TENTANG HARGA IVF YANG BERPATUTAN?
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.


