Fibroid – Adakah ia boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil?

“Doktor adakah saya perlu buang fibroid dalam rahim saya untuk hamil?”

Fibroid sering kali dikaitkan dengan masalah kesuburan. Sekiranya fibroid dijumpai ianya perlu dibuang untuk hamil. Adakah fakta ini benar ataupun tidak masih menjadi perbincangan hangat di kalangan para doktor. Kajian telah dan masih terus dijalankan untuk memberikan panduan kepada para doktor mengenai apakah rawatan yang terbaik untuk para pesakit terutamanya bagi yang ingin hamil.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat fibroid?

Kita masih tidak mengetahui apakah yang menyebabkan setengah-setengah wanita lebih cenderung untuk mengalami fibroid. Akan tetapi kajian menunjukkan yang fibroid disebabkan oleh hormon estrogen yang berlebihan. Fibroid mungkin disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, hormon dan persekitaran.

Kajian menunjukkan yang golongan wanita tersebut di bawah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat fibroid:

  • Keturunan African -American. Mereka lebih cenderung untuk mendapat fibroid pada usia yang muda dan bersaiz besar.
  • Obesiti
  • Darah Tinggi
  • Fibroid dalam sejarah keluarga. Sekiranya anda mempunyai ibu dan adik-beradik yang mempunyai fibroid, anda mungkin mempunyai risiko untuk mendapat fibroid juga.
  • Haid pada usia awal
  • Pengambilan diet yang mengandungi daging merah yang tinggi dan kurang sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimanakah fibroid boleh menyebabkan masalah kesuburan di kalangan wanita?

  • Mengubah bentuk pangkal rahim menyebabkan sperma sukar untuk melepasinya
  • Mengubah bentuk rahim mengakibatkan gangguan dalam pergerakan sperma ataupun embrio
  • Menyebabkan saluran peranakan tersumbat
  • Mengubah bentuk lapisan dinding rahim dan mengurangkan aliran darah melaluinya menyebabkan masalah semasa implantasi embrio
  • Mengakibatkan kontraksi otot rahim yang abnormal menyebabkan kesan tidak baik kepada pergerakan sperma, fungsi fallopian tiub serta implantasi embrio yang terhasil

Adakah fibroid perlu dibuang sekiranya anda ingin hamil?

Kajian telah menunjukkan fibroid perlu dibuang sekiranya:

  • Intramural Fibroid bersaiz 5cm dan ke atas ataupun saiz rahim adalah lebih besar dari 12 minggu kehamilan. Terutamanya jika fibroid tersebut menyebabkan pengherotan rongga atau kaviti rahim.
  • Submucosal Fibroid kerana ianya boleh mengganggu proses implantasi dan boleh meninggikan risiko untuk mendapatkan keguguran jika hamil. Kebanyakan submucosal fibroid boleh dibuang dengan menggunakan pembedahan melalui ‘Hysteroscopy’.

Apakah rawatan untuk fibroid?

Terdapat beberapa rawatan yang boleh diberikan untuk masalah fibroid. Setengah-tengah rawatan adalah masih baru dan pada peringkat penyelidikan intensif dan buat masa kini mungkin masih tidak sesuai lagi untuk wanita yang ingin hamil seperti ‘Uterine artery embolisation’ dan ‘High Intensity Focused Ultrasound’ kerana kita tidak mengetahui sama adanya ianya adalah selamat untuk dilalui oleh wanita yang masih ingin hamil.

a)Konservatif

Kaedah ini boleh digunakan sekiranya fibroid tersebut adalah bersaiz kecil dan tidak memberikan simptom.

b)Ubat hormon ‘GnRH Agonist’ seperti Zoladex atau Lucrin.

Ubat hormon ini akan digunakan untuk memberhentikan haid untuk sementara waktu. Akan tetapi, ia hanyalah bersifat sementara dan fibroid selalunya akan membesar semula selepas ubat diberhentikan. Di samping ianya mempunyai beberapa kesan sampingan yang tidak diingini seperti simptom-simptom yang dialami oleh wanita yang putus haid ie menopaus seperti rasa panas dan tidak selesa (‘hot flushes’), kurang nafsu seksual atau libdo serta kekeringan pada faraj.

c)Pembedahan untuk membuang fibroid iaitu Miomektomi (‘Myomectomy)

Sekiranya saiz fibroid adalah besar, pembedahan mungkin akan disarankan oleh doktor. Pembedahan boleh dilakukan sama ada melalui pembedahan laparotomi ataupun laparoskopi. Pembedahan laparotomi memerlukan torehan besar di atas perut sama seperti pembedahan Caesarean manakala pembedahan laparoskopi hanya memerlukan beberapa tebukan kecil. Akan tetapi pembedahan laparoskopi memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi agar pembedahan miomektomi itu dapat dilakukan dengan baik.

d)Uterine Artery Embolisation (UAE)

Ini adalah kaedah Radiologi yang akan dilakukan oleh pakar radiologis di mana partikel-partikel halus akan disuntik melalui tiub halus (‘catheter’) yang dimasukkan melalui saluran arteri femoral. Partikel tersebut akan menyebabkan saluran darah ‘uterine’ yang memberikan bekalan darah kepada fibroid menjadi tersumbat. Ini sekaligus akan mengurangkan aliran darah tersebut kepada fibroid tersebut yang kemudiannya menyebabkan sel-selnya mati dan fibroid itu mengecil serta mengecut.

e) ‘High Intensity Focused Ultrasound’ (HIFU)

Ini juga adalah kaedah radiologi yang menggunakan haba yang terhasil dari gelombang ultrasound yang memecahkan dan memusnahkan tisu-tisu fibroid.

Rawatan untuk wanita yang mempunyai fibroid memerlukan rawatan individu. Ini bergantung kepada latar belakangnya seperti faktor umur, simptom, saiz dan lokasi fibroid serta sejarah fertiliti pesakit tersebut.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Posted on August 24, 2015, in Uncategorized and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. Salam Dr, saya ada bbrapa soalan:
    1. Saya keguguran anak pertama ketika kndungan 6 minggu, lepas tu bru dr gtau yg saya ada multiple fybroids.. anak kedua pulak saya lahirkn secara ceaserean sebab saya,ada 5 fybroids msa tu, dn plg besar 8cm mnyebabkn baby melintang… now saya preg. Anak ketiga.. dn msh menghadapi masalah multiple fybroids… Dr, ada tak ubat yg saya boleh guna ketika hamil utk hilangkn fybroid ni? Saya tak nk ceaser g…

    2. Dr pakar saya kata, klo anak ketiga ni ceaser jugak, saya tak boleh pregnant g! Saya heran.. sdgkn yg 1st keguguran mcm haid saja, bukAn ceaser..tpi dia dh kira tu sbg 1! Sdgkn klo anak ketiga ni ceaser, sya bru 2x ceaser..bukan 3!Dr, knapa mcm tu? Ada risiko tak klo saya teruskn jugak utk yg keempat?.

    3.HiFU tu kt klinik or hospital mna ada? Brapa cost? Ada side effect tak?

  2. Wsalam Majidah,

    Bagi persoalan Majidah:
    1. Minta maaf setahu Dr Tasha tiada ubat yang boleh diberikan semasa hamil untuk mengecutkan fibroid ya.
    2. Hendaklah dapat kepastian, selalunya lepas 3 Caeser kita mungkin nasihat pesakit untuk tidak bersalin lagi
    3. Adakah Majidah hamil sekarang? Selalunya rawatan seperti ini tidak sesuai masa hamil.

  3. zeithy abd halim

    ASSALAMUALAIKUM DOKTOR
    3 minggu lalu, cyst yang ada dlm perut adik saya gugur seperti tumpah darah setelah doktor memberikannya ubat perancang. bagaimanapun, follow up minggu lalu adik saya disahkan ada fibroid pula, dan setiap bulan ianya membesar sebanyak 1.3cm.
    adik telah berkahwin selama 3 tahun dan masih belum mengandung lagi. doktor yang merawat adik menyarankan membuat IUI dalam usaha untuk hamil.

    soalan saya:
    1. bolehkah cyst yang hilang itu kembali tumbuh?
    2. dengan fibrioid itu, adakah peluang untuk adik saya hamil walaupun melalui kaedah IUI?

    harap penjelasan doktor dapat membantu.

  4. Salam Dr,.
    Sy disahkan ada intramural fibroid bersaiz 6.6×6.6 cm.. adakah perlu buang untuk Hamil dan sy sudah 1year 6mth berkahwin dan tidak pernah mengandung.Adakah itu faktornya. Tq

    • Wsalam Linda,

      Jika boleh datanglah berjumpa dengan Dr Tasha di KL Fertility Centre untuk membuat pemeriksaan selanjutnya dan agar perbincangan dapat dibuat. Diharapkan kita akan bersua muka tidak lama lagi.

Leave a Reply