Tahniah! Anda hamil 6 minggu. Apakah kadar degupan jantung bayi anda?

Tahniah Dr Tasha ucapkan bagi pasangan yang sudah disahkan hamil. Bagi pasangan yang sudah lama menanti kehadiran zuriat, sudah tentu gembira tidak terkata dan tidak sabar lagi untuk mengetahui informasi lanjut mengenai bayi dalam kandungan anda. Dr Tasha doakan agar semuanya selamat sehingga bayi dalam kandungan dilahirkan.
Mengesahkan kehamilan
Terdapat beberapa cara untuk mengesahkan kehamilan selain dari mengambil ‘urine pregnancy test’ (UPT) di rumah. Di samping itu, adalah lebih baik untuk mengesahkan kehamilan dengan membuat imbasan scan pelvis. Imbasan scan ini paling awal boleh dilakukan ialah pada minggu kelima kehamilan. Itupun kadang-kala memerlukan scan itu dilakukan melalui faraj. Oleh itu, scan selalunya dibuat pada minggu keenam kehamilan.
Selepas rawatan IVF
Bagi wanita yang hamil setelah menjalani rawatan IVF pula, selalunya darah untuk menguji hormon kehamilan yang bernama B-HCG akan diambil 2 minggu setelah pemindahan embrio dilakukan sekiranya haid anda masih tidak datang. Akan tetapi, bagi wanita yang disarankan untuk mengambil ubat-ubatan suntikan seperti Ovidrel dan Pregnyl oleh doktor mereka untuk menguatkan rahim pula, tidak disarankan untuk mengambil ujian B-HCG tersebut kerana ubatan tersebut juga mengandungi HCG yang boleh menyebabkan keputusan ujian kehamilan ‘false positive’. Mereka terpaksa menunggu sebulan selepas pemindahan embrio untuk membuat imbasan scan pelvis sekiranya haid mereka tidak berlaku. Penantian itu suatu penyeksaan bukan? Tapi Dr Tasha harap agar mereka menunggu dengan sabar semasa the ‘2 week wait’. Selalunya keputusan darah B-HCG akan diberikan melalui telefon.
Imbasan scan pelvis semasa minggu ke-6 kehamilan
Kalau boleh Dr Tasha menasihatkan agar mereka yang dijadualkan untuk membuat imbasan scan minggu ke-6 kehamilan untuk memastikah agar pundi kencing mereka penuh agar scan dapat dibuat dengan mudah. Pada minggu ini selalunya pasangan tersebut dapat melihat kantung kecil di dalam rahim mereka dan juga bayi mereka (‘Fetal echo’). Ukuran bayi akan diberikan dalam bentuk ‘Crown-Rump Length’ (CRL). CRL juga dapat memberikan tarikh due of delivery (‘Estimated date of delivery’) anda. Jika baby kelihatan, besar kemungkinan juga jantungnya dapat dilihat dan didengari. Kalau boleh dapatkan satu salinan imbasan scan ini dari doktor anda untuk rujukan pada masa hadapan.
Kadar degupan jantung bayi anda pada minggu ke-6 kehamilan
Jantung bayi akan mula berdegup 3 minggu selepas persenyawaan. Akan tetapi degupan jantung bayi selalunya hanya dapat dilihat pada minggu ke-6 kehamilan.
Pada minggu ke 6 : 100 -120 denyutan seminit. Kadar denyutan ini seterusnya akan meningkat 2-3 minggu kemudian.
Pada minggu ke 9 – 10 : 170 denyutan seminit. Kadar denyutan ini kemudiannya akan menurun perlahan-lahan pada minggu keseterusnya.
Pada minggu ke 14 : 150 denyutan seminit
Pada minggu ke 20: 140 denyutan seminit
Bila bayi cukup bulan: 130 denyutan seminit
Kadang-kala jantung bayi akan dipantau sepanjang waktu kehamilan, purata kadar denyutan bayi yang normal ialah 110 – 160 denyutan seminit.
Untuk membaca informasi selanjutnya mengenai kehamilan. KLIK DI SINI.
Bagi bakal-bakal ibu yang menganut agama Islam yang ingin mendapatkan doa-doa mustajab untuk diamalkan. Bolehlah download applikasi android untuk mobil phone anda:
https://play.google.com/store/apps/details?id=com.aspire.doaibuhamil
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Kenapakah kitaran haid tidak teratur?
Dr Tasha mendapat banyak soalan dari pembaca-pembaca blog yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur. Mereka merasa runsing kenapakah ini terjadi dan risau sekiranya ini boleh menjejaskan peluang mereka untuk hamil. Apabila haid tidak teratur, ini mungkin menandakan yang hormon di dalam badannya adalah tidak seimbang dan ovulasi tiap-tiap bulan tidak berlaku seperti sepatutnya. Ini seterusnya boleh menurunkan kesuburan seseorang wanita.

Apakah ‘Secondary Amenorrhoea’?
Ini adalah apabila seseorang wanita yang sudah mendapat haid yang teratur, tiba-tiba tidak didatangi haid sekurang-kurangnya 6 bulan.
Apakah ‘Oligomenorrhoea’?
Ini adalah apabila seseorang wanita yang mempunyai kitaran haid melebihi 42 hari.

Punca Haid tidak teratur
Terdapat beberapa faktor-faktor yang boleh menyebabkan haid tidak tetap. Ini termasuklah:
1. Polycystic ovarian syndrome (PCOS).
Ini adalah salah satu punca utama (55%) yang boleh menyebabkan ‘oligomenorrhoea’. Diagnosis PCOS akan dibuat oleh doktor apabila 2 dari 3 kriteria tersebut dipenuhi:
- Kitaran haid yang tidak teratur
- Ujian darah menunjukkan hormon yang tidak seimbang i.e berlebihan hormon lelaki dan/ atau simptom klinikal yang menunjukkan hormon tidak seimbang
- Imbasan scan pelvis menunjukkan ‘polycystic ovary’
Kebanyakan wanita akan mengalami simptom PCOS terutamanya jika berat badan mereka menaik dengan mendadak. Ini kerap dilihat selepas wanita tersebut baru kahwin atau stress dengan memakan berlebihan. PCOS juga adalah diagnosis yang didapati lebih lagi sekiranya wanita tersebut sudah mengalami ‘oligomenorrhoea’ sejak dari baligh lagi.
2. Masalah Endokrin
Ini termasuklah masalah thyroid, penyakit Cushing dan Addison. Darah untuk paras hormon thyroid perlu diperiksa untuk semua wanita yang mengalami ‘oligoamenorrhoea’.
3. Prolactinoma
Lebih kurang 10% wanita yang mengalami ‘oligomenorrhoea’ berpunca dari masalah tumor pada kelenjar pituitary yang merembeskan keluar hormon prolactin secara berlebihan. Antara simptom yang mungkin dialami termasuklah pening kepala, pengeluaran susu dari puting buah dada dan gangguan penglihatan. Ujian darah wanita tersebut akan menunjukkan kadar paras hormon prolactin yang tinggi. Imbasan otak perlu dilakukan untuk melihat samaada terdapat tumor pada kelenjar pituitary. Tumor tersebut selalunya ialah ‘benign’ in nature.
4. Menopaus pramatang (‘Premature menopause’)
7% kes ‘oligomenorrhoea’ pula disebabkan oleh ‘Premature menopause’. Diagnosis ini ialah apabila seseorang wanita mengalami menopaus sebelum umurnya mencecah 40 tahun. Terdapat beberapa punca termasuk idiopathic, kondisi autoimmune, Turner’s sindrom dan infeksi viral.
5. Lain-Lain
Stress dan kehilangan berat badan yang berlebihan juga boleh menjadi penyebab kitaran haid yang tidak teratur.
Oleh itu, sekiranya anda mengalami kitaran haid yang tidak teratur dan ingin hamil, hendaklah berjumpa dengan doktor agar ujian tertentu boleh dijalankan untuk menentukan puncanya. Rawatan yang perlu dilakukan untuk haid yang tidak teratur bergantung kepada keputusan ujian yang telah dijalankan. Akan tetapi majoriti kes, kitaran haid itu boleh dipulihkan atau rawatan kesuburan yang bersesuaian boleh dilakukan.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Selamat Berpuasa!
Tidak lama lagi akan menjelang bulan Ramadhan. Semoga dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini para pembaca blog dapat memanfaatkan ia dengan sepenuhnya. Adalah diharapkan agar pasangan-pasangan yang masih menanti zuriat agar memperbanyakkanlah membaca Quran, berzikir dan berdoa agar dimurahkan rezeki dan dikurniakan cahaya mata.
Sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai zikir dan doa yang boleh diamalkan untuk mendapat zuriat, ikutilah post ini:
https://drnatashanorfertility.com/2014/05/14/doa-agar-dikurniakan-zuriat/
Bagi pasangan yang ingin merancang untuk melakukan rawatan kesuburan mereka selepas raya ini, Dr Tasha nasihatkan agar berjumpa dengan doktor yang merawati mereka pada masa yang terdekat dahulu untuk merancang rawatan tersebut. Langkah-langkah untuk meningkatkan kadar kejayaan rawatan tersebut terutamanya bagi yang merancang untuk membuat IVF boleh dibuat. Di samping itu, bagi yang mempunyai berat badan yang berlebihan, bulan puasa adalah peluang yang sangat baik untuk menghilangkan lemak-lemak yang tidak diingini.
Ketahui BMI (Body mass Index) Anda

Kira BMI anda di SINI.
BMI
<18.5 Berat badan sangat rendah
18.5 – 24.9 Berat badan ideal
25.0 – 29.9 Berat badan berlebihan
>30 Obes
>35 Sangat Obes
Berat badan yang berlebihan mengurangkan kesuburan
Mengikut kajian yang telah dijalankan (1) menunjukkan yang wanita yang mempunyai BMI (Body mass index) melebihi 29 boleh mengurangkan kesuburan mereka. Bagi setiap unit BMI yang melebihi 29 kg/m2, ianya akan mengurangkan kesuburan sebanyak 4%. Wanita yang mempunyai BMI BMI 35-40 pula mempunyai 23-49% pengurangan kadar kesuburan mereka.
7 Tips mudah untuk mengurangkan berat badan berlebihan:
- Kurangkan makan dan lebihkan senaman
- Makan buah 2 kali sehari
- Minum air masak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
- Tidur 1/2 jam lebih awal dan Bangun 1/2 jam lebih lewat. Ini untuk memastikan yang anda tidak penat. Ini ialah kerana apabila anda penat, anda lebih cenderung untuk memakan berlebihan.
- Pastikan anda memakan sarapan pagi yang seimbang dan sihat.
- Bayangkan bagaimana anda akan kelihatan apabila kurus
Rujukan:
1. Jan Willem van der Steeg, Pieternel Steures, Marinus J.C. Eijkemans, J. Dik F. Habbema, Peter G.A. Hompes, Jan M. Burggraaff, G. Jur E. Oosterhuis, Patrick M.M. Bossuyt, Fulco van der Veen and Ben W.J. Mol. “Obesity affects spontaneous pregnancy chances in subfertile, ovulatory women.” Human Reproduction Advanced Access. December 11, 2007: 324-328
Ketahui umur ovari anda

Semakin meningkat umur seseorang wanita, kadar kesuburannya juga semakin menurun. Ini disebabkan oleh umur ovarinya yang turut melalui proses penuaan. Secara semulajadi, wanita telah dilahirkan dengan kesemua telur di dalam kilang ovarinya. Sewaktu lahir terdapat 1-2 juta telur di dalam ovarinya yang akan melalui proses ‘atresia’ di mana telur tersebut mengecut dan diserap oleh badan. Apabila baligh, tinggal 400,000 telur. Akan tetapi tidak kesemua telur tersebut akan menjadi matang. Hanya 400 biji telur sahaja yang akan mematang dan melalui proses ovulasi sepanjang hayat reproduktif seseorang wanita!
Bagaimana mengetahui umur ovari anda?
Ujian melalui imbasan scan pelvis untuk mengira ‘antral follicle count’ boleh dilakukan pada hari 2-5 haid anda untuk mengetahui umur ovari anda. Imbasan scan pelvis tersebut akan dilakukan melalui faraj. ‘Antral follicle count’ boleh mengukur ‘ovarian reserve’ anda. ‘Ovarian reserve’ anda adalah bilangan telur yang tinggal di dalam kilang ovari anda yang berpotensi untuk menghasilkan bayi.
‘Antral follicle count’ juga dikenali dengan nama ‘resting folicle’ adalah folikel-folikel kecil berukuran 2-8mm yang boleh diukur di dalam ovari anda. Ini boleh dilihat dengan imbasan scan pelvis. Antral follicle count (AFC) merupakan ujian yang boleh mengukur kadar kesuburan seseorang wanita, berfungsi memberikan ramalan tentang respon wanita tersebut semasa ubat ransangan diberikan semasa rawatan IVF dan sekaligus meramalkan kadar kejayaan IVF.
Interpretasi Antral Follicle Count Anda
Nombor ‘Antral follicle count’ yang tinggi menunjukkan terdapat lebih bilangan telur di dalam ovarinya. Oleh itu apabila wanita tersebut diransang semasa rawatan IVF, lebih banyak telur akan dapat diperolehi sewaktu prosedur ‘oocyte retrieval’ dan lebihan embryo akan dapat dihasilkan. Seterusnya potensi kejayaan IVF wanita tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan wanita yang mempunyai bilangan AFC yang rendah. Bilangan jumlah AFC lebih dari 10 bagi kedua-dua telur adalah elok. Sekiranya AFC anda kurang dari 4 mungkin bermakna respon anda semasa rawatan IVF akan menjadi kurang memberansangkan. Bagi wanita yang mempunyai AFC lebih dari 30, dia berisiko tinggi untuk mengalami OHSS ketika ransangan ubatan yang diberikan semasa rawatan IVF.
Akan tetapi, tidak semestinya bilangan AFC ini akan memberikan gambaran kualiti telur atau embrio yang akan diperolehi semasa rawatan IVF. Di samping itu, AFC juga boleh berbeza antara satu kitaran haid kepada kitaran haid yang lain.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Adakah rawatan IVF akan membuat wanita menopaus lebih awal?
Gejala masalah ketidaksuburan di kalangan pasangan Malaysia telah meningkat sejak kebelakangan ini. Isu fertiliti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia sahaja, bahkan seluruh dunia juga mengalami masalah tersebut. Ini menyumbang kepada peningkatan rawatan kesuburan termasuklah rawatan IVF.
Kaum wanita yang melalui rawatan IVF ini terpaksa diberikan hormon dalam bentuk suntikan setiap hari untuk tempoh yang tertentu. Ini bertujuan untuk merangsangkan kilang ovari untuk mengeluarkan telur yang berlebihan. Folikel-folikel yang mengandungi telur di dalam ovari ini akan membesar, mematang dan seterusnya disedut melalui prosedur yang dinamakan ‘oocyte retrieval’. Pada kebanyakan kes sebanyak 10-15 biji telur akan berjaya diperolehi dari wanita yang menjalani rawatan IVF tersebut. Tidak hairanlah sekiranya, ada yang bertanya-tanya samada prosedur tersebut akan menyebabkan seseorang wanita yang menjalani rawatan IVF tersebut menopaus lebih awal, kerana dia telah menggunakan telur-telur tersebut dari kilang ovarinya.

Menopaus selalunya berlaku apabila seseorang wanita berumur dalam linkungan 50-51 tahun. Ianya berlaku apabila kesemua telur yang berada di dalam kilang ovarinya sudah kehabisan. Ini seterusnya akan mengakibatkan wanita tersebut putus haid. Oleh itu, ianya juga menandakan yang hayat reproduktifnya sudah berakhir.
Adakah wanita yang menjalani rawatan IVF akan menjadi menopaus lebih awal?
Ini adalah tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pada tiap-tiap bulan, badan seseorang wanita sudah menetapkan berapa folikel yang akan berada di dalam kilang ovari. Dengan berlakunya perubahan hormon, hanya 1 atau 2 biji folikel sahaja yang akan membesar, mematang dan pecah sewaktu masa ovulasi. Folikel-folikel yang lain akan perlahan-lahan mengecil dan diserap. Akan tetapi, apabila rawatan IVF dilakukan, folikel-folikel yang sudahpun berada di dalam kilang ovari tersebut pada bulan tersebut semuanya akan membesar, mematang apabila ubat-ubatan ransangan hormon diberikan. Kenyataan ini telah disahkan oleh beberapa kajian yang telah dijalankan di mana tiada kaut paut yang didapati antara menopaus pada umur yang lebih awal di kalangan wanita yang telah menjalankan rawatan IVF (1).
Wanita yang ‘poor responder’ akan menopaus lebih awal
Akan tetapi, kajian yang lain juga telah membuktikan bahawa wanita yang memberikan respon yang rendah kepada rangsangan ubat hormon (i.e gonadotrophin) semasa rawatan IVF adalah petanda awal yang wanita tersebut akan mengalami menopaus pada umur yang lebih awal. Wanita tersebut dikenali sebagai ‘poor responder’ disebabkan oleh latar belakang yang dia mempunyai ‘ovarian reserve’ yang rendah. Jadi tidak hairanlah dengan mempunyai folikel dan telur yang berkurangan di dalam ovarinya, wanita tersebut akan menjadi menopaus seawal umur 46 tahun atau sebelumnya. (2)
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
Rujukan
1. Elder K, Mathew T et al. Impact of gonadotrophin stimulation for assisted reproductive technology on ovarian ageing and menopause. Reprod Biomed Online 2008;16: 611-16
2. de Boer EJ, Den Tonkelaar I et al. Low number of retrieved oocytes at IVF treatment is predictive of early menopause. Fertil Steril 2002; 77: 978-85.
Apakah punca keguguran berulang kali?

“Doktor saya sudah gugur dua kali. Apakah risiko saya untuk gugur pada masa hadapan?”
Keguguran walaupun pahit adalah pengalaman yang akan dialami oleh kebanyakan wanita. Risiko keguguran secara amnya untuk seseorang wanita adalah 15-20%. Adalah dianggarkan sebanyak hanya 2% wanita yang akan mengalami keguguran dua kali berturut-turut dan manakala 0.4-1% wanita pula akan menghadapi keguguran tiga kali berturut-turut. (1) Bagi wanita yang telah mengalami keguguran tiga kali berturut-turut ianya dikenali sebagai ‘Recurrent Miscarriage’. Keguguran ini tidak termasuk kandungan ektopik ataupun molar (kandungan anggur).
Sekiranya seseorang wanita telah keguguran pada kehamilannya yang pertama, risiko keguguran untuk kandungan berikutnya adalah 14-21%. Selepas menghadapi keguguran dua kali berturut-turut, risikonya adalah 24-29% dan ini akan menaik kepada 31-33% selepas mengalami keguguran kali ketiga.
Punca keguguran berulang kali
Hanya dalam 50% kes sahaja, punca keguguran berulang kali ini boleh dikenalpasti. Antara punca keguguran berulang kali termasuklah:
a) Kromosom abnormal di dalam janin. Oleh itu, apabila bayi tidak normal, maka perkembangannya juga adalah tidak sihat dan risiko keguguran adalah tinggi. Dalam segelintir pasangan, terdapat masalah genetik pada pasangan tersebut. Ini berlaku dalam 3-5% pasangan yang mengalami ‘Recurrent Miscarriage’ di mana salah satu pasangan pembawa kromosome yang seimbang e.g ‘Balanced reciprocal translocation’, ‘Robertsonian translocation’ atau ‘sex chromosome mosaicism’. Pembawa itu mempunyai luaran yang normal tetapi apabila ujian darah ‘karyotyping’ dilakukan ianya adalah abnormal.
b) Abnormaliti pada rahim seperti rahim yang mempunyai septa, fibroid, polyps atau parut di dalam rahim (‘intrauterine adhesion’). Ini semuanya akan menyebabkan masalah ‘implantasi’ embryo ke dalam dinding rahim. Pangkal rahim yang lemah yang dikenali sebagai ‘cervical insufficiency’ atau ‘incompetence’ hanya menyebabkan keguguran pada masa trimester kedua dan bukannya pertama.
b) Masalah antibody and immunologi. Antiphospholipid syndrome (APS). Sebanyak 5-15% peratus wanita yang mengalami keguguran berulang kali mempunyai kondisi ini. Ujian darah boleh dilakukan untuk mengenal pasti sama ada pasangan wanita tersebut mengidapi masalah tersebut.
d) Masalah Thrombophilia.
e) Masalah endokronologi seperti kencing manis teruk, polycystic ovarian syndrom (PCOS), thyroid (Hypo atau Hyperthyroid)
Bilakah patut saya membuat ujian sekiranya saya mengalami ‘Recurrent Miscarriage.’
Selalunya diagnosis ‘Recurrent Miscarriage’ ini hanya akan dibuat setelah mengalami keguguran berturut-turut sebanyak 3 kali. Akan tetapi, kadang-kala, doktor akan mula menyiasat punca keguguran setelah mengalami 2 kali keguguran berturut-turut.
Antara ujian-ujian yang elok dilakukan adalah:
- Karyotyping kedua-dua wanita dan pasangannya. Ini ialah untuk memastikan mereka adalah bukan pembawa genetik yang abnormal. Ini adalah ujian darah. Sekiranya dapat karyotyping janin yang gugur juga mungkin boleh dilakukan.
- Pemeriksaan rahim untuk sebarang abnormaliti. Ini boleh dilakukan sama ada dengan imbasan scan seperti transvaginal ultrasound, hysterosalpingogram (HSG), hysteroscopy atau MRI.
- Pemeriksaan Antiphospholid Syndrome dengan membuat ujian darah untuk ‘Lupus anticoagulant’ dan ‘Anticardiolipin Antibody’. Sekiranya ujian darah itu abnormal, ianya perlu diulang sekali lagi dalam masa 6-8 minggu berikutnya untuk memastikan ujian darah tersebut betul-betul adalah abnormal untuk membuat diagnosis Antiphospholipid Syndrome.
- Screening untuk masalah thyroid i.e ujian darah untuk TSH dan juga thyroid peroxidase antibody. Ada kajian yang telah menunjukkan yang wanita yang mengalami ‘subclinical hypothyroidism’ mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keguguran. (2)
Peluang menjadi seorang ibu sekiranya telah mengalami keguguran berulang kali
Walaupun lebih separuh dari pasangan yang mengalami ‘Recurrent Miscarriage’ puncanya tidak dapat dikesan, akan tetapi majoriti pasangan tersebut mempunyai prognosis yang baik dan berjaya akhirnya untuk menimang cahaya mata mereka sendiri. Ini boleh dilihat dari graf di atas di mana wanita yang mempunyai latar belakang 3 atau 4 keguguran sekalipun masih ada peluang lebih dari 60% untuk hamil dengan sendirinya dan kemudian melahirkan kandungan tersebut.
Dr Tasha menasihati agar pasangan yang mengalami masalah ‘Recurrent Miscarriage’ ini agar berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan yang lebih lanjut. Diharapkan mereka bersabar dan tawakal dalam menghadapi dugaan ini. Sekiranya mahu bagi yang beragama Islam bolehlah mengamal ayat-ayat Quran di dalam post ini:
https://drnatashanorfertility.com/2014/02/24/doa-untuk-kuatkan-rahim-dan-elakkan-keguguran/
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
Rujukan
1. Salat-Baroux J. Recurrent spontaneous abortions. Reprod Nutr Dev. 1988;28(6B):1555.
2. Negro R, Schwartz A, Gismondi R, Tinelli A, Mangieri T, Stagnaro-Green A. Increased pregnancy loss rate in thyroid antibody negative women with TSH levels between 2.5 and 5.0 in the first trimester of pregnancy. J Clin Endocrinol Metab. 2010;95(9):E44.
Kuiz: Uji Tahap Kesuburan Anda
Ramai wanita yang sudah berkahwin dan sedang cuba untuk hamil, mungkin tertanya-tanya sama ada tahap kesuburan mereka adalah memuaskan. Adakah mereka subur atau tanpa disedari mereka mungkin mempunyai masalah untuk hamil? Semua persoalan ini bermain-main di kepala mereka.
Terdapat beberapa faktor-faktor yang sudah dikenalpasti boleh mengurangkan kadar kesuburan seseorang wanita. Jika ingin tahu, cubalah membuat kuiz di bawah ini. Selamat mencuba!
LATAR BELAKANG ANDA
1. Berapakah umur anda?
a. Kurang dari 34 tahun
b. Lebih dari 34 tahun
2. Berapa lamakah anda sudah cuba untuk hamil?
a. Kurang dari 6 bulan
b. 6-12 bulan
c. Lebih dari 12 bulan
KITARAN HAID ANDA
3. Adakah kitaran haid anda teratur?
a. Ya
b. Tidak
c. Tidak pasti kitaran haid saya teratur/ tidak. Sila rujuk SINI.
4. Adakah anda mengalami senggugut (‘period pain’) yang teruk?
a. Ya
b. Tidak
LATERBELAKANG REPRODUKTIF ANDA
5. Adakah anda pernah didiagnosi menghadapi masalah tersebut di bawah?
a. Pelvic Inflammatory Disease (Seperti Chlamydia / Gonorrhoea)
b. Polycystic ovarian disease (PCOS)
c. Endometriosis
d. Fibroid yang Besar
6. Pernahkah anda menjalani operasi bahagian pelvis (i.e appendicectomy, ventrosuspension, cyst ovary)?
a. Ya. Sekira ya apakah operasi yang telah dijalankan _____________
b. Tidak
LIFESTYLE
7. Adakah anda / pasangan anda menghisap rokok?
a. Ya
i) Kurang dari 10 batang / sehari
ii) Lebih dari 10 batang / sehari
b. Tidak
8. Andakah anda mempunyai tahap stress yang tinggi?
a. Ya
b. Tidak
9. Adakah anda / pasangan anda meminum alkohol?
a. Ya
b. Tidak
10. Adakah anda mengambil kafein? (termasuk air teh, kopi, chocolat, air bergas seperti coco-cola)
a. Ya
i) Kurang dari 2 unit / sehari ( * 1 unit = satu cawan kopi, 1/2 unit = satu cawan teh / 1 tin coco-cola)
ii) Lebih dari 2 unit / sehari
b. Tidak
11. Berapakah berat badan anda mengikut BMI?
a. < 18.5
b. 19-24.9
c. 25 -30
d. >30
e. Tidak tahu mengira BMI anda. Sila rujuk sini.
12. Pernahkah anda menggunakan bahan-bahan seperti berikut :Dadah rekreasi seperti marijuana, ecstasy atau Anabolic steroid e.g untuk bina badan?
a. Ya
b. Tidak
**Untuk mendapatkan markah untuk UJIAN TAHAP KESUBURAN ANDA, sila emailkan jawapan anda kepada drnatashanor@gmail.com. Penerangan dan nasihat untuk meningkatkan kesuburan anda akan diberikan. Ianya adalah percuma**
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
‘Unexplained’ Infertiliti

“Kami sudah berkahwin selama 7 tahun dan telah melakukan segala ujian kesuburan yang diperlukan. Keputusan semua ujian adalah normal belaka tetapi kenapakah saya masih tidak hamil?” Sekiranya semua ujian kesuburan telah dilakukan tetapi semuanya normal, ini dikenali sebagai ‘Unexplained infertility’.
‘Unexplained infertility’ bukanlah bermakna memang tiada masalah kesuburan dalam pasangan tersebut, tetapi ianya bermaksud para doktor tidak dapat mencari apakah punca masalah kesuburan dalam pasangan tersebut. Sebanyak 20 – 30% pasangan yang menghadapi masalah kesuburan akan diberikan diagnosi ini. Kadang-kala ini menimbulkan lebih tekanan perasaan di kalangan pasangan tersebut kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk mengatasi atau mengubati masalah kesuburan kerana ‘tiada’ punca dapat dikesan. Oleh itu, mereka bertanggapan bahawa tiada rawatan efektif yang boleh diberikan kepada mereka.
Adakah ujian kesuburan dapat mengesan semua punca masalah kesuburan?
Memang tidak dinafikan ujian-ujian kesuburan moden yang dijalankan ada mempunyai kelemahan-kelemahannya tersendiri.
- HSG (Hsyterosalpingogram) adalah ujian X-ray yang dilakukan sebagai ‘out-patient’ hanya akan memberitahu sama ada saluran peranakan tersumbat atau pun tidak. Akan tetapi ia tidak akan memberitahu sama ada saluran peranakan tersebut berfungsi dengan elok. Saluran peranakan adalah satu organ yang mempunyai bahagian yang bernama ‘fimbriae’ yang kelihatan seperti jejari-jejari halus yang berfungsi untuk ‘menangkap’ telur matang yang dilepaskan dari ovari semasa proses ovulasi. Penyakit seperti ‘Sexually transmitted disease’ yang menyebabkan ‘Pelvic Inflammatory disease’ (PID) ataupun endometriosis banyak merosakkan jejari halus ini. Oleh itu, kadang-kala semasa HSG, saluran peranakan dilihat seperti elok kerana tidak tersumbat akan tetapi pada hakikatnya fungsinya sudahpun terjejas. Di samping itu, saluran peranakan mempunyai bulu-bulu halus yang dinamakan ‘cilia’ yang berfungsi untuk membawa telur yang telah dipersenyawakan oleh sperma kepada rahim untuk implantasi.
- Imbasan scan pelvis akan melihat sama ada fibroid atau cyst ovari. Akan tetapi ia tidak dapat melihat sekiranya terdapat kesan parut yang dikenali sebagai ‘adhesion’ yang berpunca dari masalah ‘Pelvic Inflammatory disease’ ataupun endometriosis. Scan juga tidak akan dapat mengesan masalah saluran peranakan jika tersumbat atau rosak.
- Kadang-kala ada masalah pada pasangan wanita seperti ovulasi yang sedikit dan manakala pasangan lelakinya pula menghadapi ‘sperma’ yang ‘borderline’. Bila digabungkan kedua-dua masalah ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat hamil.
- Ketiadaan ujian kesuburan untuk menguji sama ada terdapat masalah fisiologi organ yang terlibat di dalam reproduktif e.g rahim mempunyai masalah untuk ‘implantasi’ embrio, keupayaan sperma untuk mempersenyawakan telur yang matang atau wanita tersebut mempunyai telur yang defektif.
Sebenarnya kehamilan melibatkan beratus-ratus proses biokimia dan molekular yang kompleks dan rumit. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ujian kesuburan moden masih tidak dapat merungkai atau mengenalpasti punca sebenar ketidaksuburan bagi setengah-tengah pasangan.
Rawatan kesuburan untuk pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
1. ‘Expectant management’: Tiada rawatan kesuburan yang spesifik yang diberikan, hanya sokongan moral dari doktor yang merawati. Ini hanya mungkin sesuai sekiranya pasangan wanita itu kurang dari 30 tahun dan tempoh percubaan untuk hamil kurang dari 3 tahun.
2. Penggunaan ubat pil subur clomiphene (‘clomid’) untuk merangsangkan ovari. Kajian (1) telah membuktikan rawatan kesuburan ini mempunyai kadar kejayaan yang rendah untuk pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
3. Rawatan IUI
a) Dengan menggunakan clomiphene sahaja untuk merangsangkan ovari dan kemudian melakukan rawatan IUI. Kajian yang dijalankan tidak menunjukkan yang rawatan ini adalah efektif untuk pasangan yang mempunyai ‘unexplained infertility’ (1)
b) Dengan menggunakan ubat suntikan gonadotrophin untuk merangsangkan ovari dan kemudian melakukan rawatan IUI. Kadar kejayaan mengandung untuk setiap ‘cycle’ adalah sehingga 26% bagi pasangan tersebut. (2)
Akan tetapi terdapat masalah seperti kandungan kembar dan OHSS apabila pesakit diberikan ubat suntikan gonadotrophin tersebut.
4. Rawatan IVF
Rawatan IVF bagi pasangan yang menghadapi masalah ‘Unexplained Infertility’ memberikan kadar kejayaan untuk hamil yang tinggi dan dalam masa yang singkat. Kajian (3) menunjukkan kadar kejayaan untuk membawa pulang bayi (‘Live Birth Rate’) adalah mencecah sehingga 45.7%. Akan tetapi kos IVF juga adalah tinggi. Di samping itu, IVF juga bertindak sebagai satu ujian untuk meng’diagnosi’ masalah seperti telur yang kurang berkualiti ataupun masalah persenyawaan.
Langkah-langkah yang boleh dibuat oleh pasangan yang mengalami ‘Unexplained Infertility’
- Mengurangkan pengambilan kafein dalam diet
- Tidak merokok
- Memastikan berat badan adalah ideal. BMI yang elok dicapai adalah 19-24
- Berjumpa dengan doktor kesuburan untuk berbincang rawatan yang perlu dilakukan seterusnya.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
Rujukan:
1. Hughes E, Brown J, Collins JJ, Vanderkerchove P. Clomiphene citrate for unexplained subfertility in women. Cochrane Database Syst Rev. 2010.
Persediaan Ibu untuk menyusukan anak angkat yang bakal tiba

Adalah menjadi lumrah kebanyakan wanita yang mengimpikan menjadi seorang ibu suatu hari nanti. Bagi segelintir wanita, mungkin telah ditakdirkanNya yang hakikat ini tidak akan menjadi kenyataan. Akan tetapi, Dr Tasha berharap agar mereka terus cekal, tabah dan berdoa serta berikhtiar untuk menjalani rawatan yang telah disyorkan oleh doktor yang merawati agar mereka akhirnya dapat menimang cahaya mata mereka sendiri. Kadang-kala adalah elok juga mengambil anak angkat sekiranya selepas perbincangan dengan pasangan dan keluarga sendiri ini adalah solusi yang terbaik buat masa itu. Kerapkali juga Dr Tasha mendengar cerita dari pesakit yang sebaik sahaja mereka mengambil anak angkat, ramai yang termengandung sendiri. Mungkin, dengan kehadiran bayi yang tidak diduga dalam kehidupan mereka, sekaligus memberikan mereka kegembiraan dan mengurangkan stres. Adalah diingatkan juga andaikata mereka dikurniakan anak kandung mereka sendiri kelak, janganlah membeza-bezakan atau lebih teruk lagi mengabaikan anak angkat tersebut pada kemudian hari.
Faedah menyusukan anak angkat
1. Memberikan sumber nutrisi yang sangat berkhasiat kepada anak tersebut untuk memastikan kesihatan dan perkembangan dari segi fizikal dan mental berkembang elok
2. Dari segi Islam, bayi tersebut selepas disusukan bolehlah menjadi mahram pasangan tersebut sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu.
3. Menerbitkan rasa naluri semulajadi seorang ibu di kalangan ibu angkat tersebut. Ini seterusnya dapat mengeratkan jalinan kasih sayang antara ibu dan anak angkat tersebut.
Langkah-langkah persiapan payu dara untuk menyusukan anak angkat
Ramai pasangan yang menghadapi masalah kesuburan telahpun mengambil keputusan untuk menyusukan anak angkat mereka. Bagi wanita yang bakal menjadi ibu ini tanpa melalui proses hamil dan kelahiran, terdapat beberapa cara untuk membuat persiapan untuk menyusukan anak angkat yang bakal tiba dikenali sebagai ‘Induced Lactation’. Ianya boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu secara ‘natural’ atau dengan penggunaan hormon.
1. Natural tanpa penggunaan hormon yang dikenali sebagai ‘Basic Pumping protocol’:
Satu atau dua bulan sebelum ketibaan anak angkat, bakal ibu bolehlah memulai untuk merangsang pengeluaran susu badan dengan mengurut buah dadanya selama 10 minit sebanyak 8-10 kali. Ini hendaklah dilakukan setiap hari selama 2 minggu. Kemudian seterusnya ini boleh diikuti dengan penggunaan pump pemerah susu elektrik pula selama 10-15 minit sebanyak 8-10 kali sehari. Oleh itu, lebih kurang setiap 3-4 jam, hendaklah mengepam buah dada. Pastikan pemerah pump diletakkan betul-betul agar puting buah dada tidak terluka. Mungkin anda boleh juga menyapu sedikit krim lanolin kepada puting sebelum mengepam untuk merasa lebih selesa.
2. Menggunakan hormon:
a) Mempunyai lebih dari 6 bulan sebelum ketibaan anak angkat.
- Minggu pertama: Memakan pil perancang e.g Yasmin, 1 biji sehari + ubat Domperidone, 10mg empat kali sehari.
- Minggu kedua: Meneruskan pil perancang Yasmin 1 biji sehari + ubat Domperidone tetapi tingkatkan dosnya kepada 20mg empat kali sehari. Pada peringkat ini, mungkin setengah wanita akan merasakan perubahan berlaku pada payu daranya.
- Teruskan kedua-dua ubatan ini sehingga 6 minggu sebelum tarikh jangkaan bayi akan tiba
- 6 minggu sebelum bayi akan tiba, berhentikan pengambilan pil perancang e.g Yasmin tetapi teruskan ubat Domperidone 20mg empat kali sehari.
- 4 minggu sebelum bayi akan tiba, mulakan ransangan fizikal payu dara dengan memulakan proses memerah susu seperti penerangan di atas dengan menggunakan mesin pemerah susu elektrik. (‘Basic pumping protocol’)
- Dalam masa 1-4 minggu selepas memulakan ransangan wanita tersebut mula akan mendapati sedikit susu akan keluar. Apabila bayi sudah tiba bolehlah menyusu badan terus. Jaga khuatiri sekiranya susu sedikit sahaja keluar pada awalnya. Hendaklah terus menyusu badan di samping mengepam menggunakan mesin pengepam untuk menggalakkan lebih susu untuk keluar.
b) Mempunyai kurang dari 6 bulan sebelum ketibaan anak angkat:
- Satu ke dua bulan sebelum bayi tersebut tiba, memakan pil perancang e.g Yasmin, 1 biji sehari + ubat Domperidone, 20mg empat kali sehari.
- Selepas 1 bulan, bolehlah berhenti memakan pil perancang tersebut tetapi meneruskan memakan Domperidone, 20mg empat kali sehari. Seterusnya rangsangan fizikal payu dara dengan memulakan proses memerah susu seperti penerangan di atas dengan menggunakan mesin pemerah susu elektrik. (‘Basic pumping protocol’) boleh dimulakan.
- Apabila bayi sudah tiba bolehlah menyusu badan terus.
Tujuan penggunaan hormon pil perancang dan ubat Domperidone adalah untuk meng’simulasikan’ proses semulajadi kehamilan dan mengeluaran susu bagi ibu-ibu angkat tersebut. Pastikan yang anda sesuai untuk mengambil Pil perancang dengan berbincang dengan doktor anda. Ada ubat alternatif lain bagi wanita yang tidak boleh mengambil pil perancang yang turut dikenali sebagai ‘combined oral contraceptive pil’.
Panduan memakan ubat-ubatan hormon
- Untuk mengurangkan kesan sampingan dari ubat pil perancang seperti Yasmin. Bolehlah memakan sebelum tidur
- Untuk mengurangkan kesan sampingan dari ubat domperidone. Bolehlah memakan 1/2 jam sebelum makan.
Pengambilan pemakanan untuk menambahkan susu badan
- Memperbanyakkan meminum air suam
- Mengurangkan kafein dalam diet
- Pengambilan halba, karot putih, oat, ikan dan kurma merah.
Kesimpulannya adalah sangat digalakkan bagi wanita untuk menyusukan bayi yang akan menjadikan anak angkat mereka disebabkan faedah-faedah yang banyak. Akan tetapi janganlah bersedih hati sekiranya berhadapan dengan masalah seperti susu badan tidak keluar atau berkurangan. Kerapkali memang susu formula terpaksa digunakan untuk memenuhi keperluan bayi tersebut. Ramai wanita yang tidak dapat mengeluarkan susu badan untuk bayi kandung mereka sendiripun walaupun pelbagai usaha dan cara telah dilakukan! Tetapi hakikat tersebut tidak menjadikan seseorang wanita ‘less of a mother’ kerana kasih seorang ibu adalah lebih dari itu. Belaian kasih, keprihatinan dan penjagaan seorang ibu terhadap bayi itu adalah lebih penting dan melebihi segala-galanya!
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
Rujukan:
The Protocols for Induced Lactation — A Guide for Maximising Breastmilk Production
By Jack Newman, MD, FRCPC and Lenore Goldfarb, Ph.D., CCC, IBCLC
Mencapai regimen IVF yang lebih ‘patient-friendly’ dan praktikal

‘Cost-barrier’ mengurangkan akses rawatan IVF kepada ramai pasangan yang menghadapi masalah kesuburan
Kos perbelanjaan untuk rawatan IVF yang mahal kerapkali menyebabkan ramai pasangan tidak mampu dan terpaksa menangguhkan rawatan tersebut atau mengetepikannya sama sekali. Ini sekaligus mengurangkan peluang pasangan ini untuk membina keluarga dari baka mereka sendiri. Penangguhan untuk menabung wang mencukupi kerapkali mengambil masa yang lama dan tanpa disedari tahun bersilih ganti, umur pasangan wanita tersebut juga meningkat. Kajian telah membuktikan yang umur wanita adalah faktor utama yang akan menentukan kadar kejayaan IVF. Sukses IVF akan menurun dengan mendadak selepas wanita berumur 35 tahun.

Bagaimanakah caranya untuk mencapai kos IVF yang berpatutan?
Kos IVF yang lebih berpatutan bertujuan agar lebih ramai pasangan yang memerlukannya dapat melalui rawatan tersebut. Persoalan ini sebenarnya sudah lama diperdebatkan dan pelbagai usaha telah dilakukan terutamanya para doktor di negara yang sedang membangun. Harga IVF yang lebih ideal, praktikal dan ‘accessible’ diperlukan.
Low-Intensity IVF
Salah satu cara mengurangkan kos IVF ialah dengan mengurangkan kos ubat-ubatan yang digunakan semasa IVF. IVF yang ‘low intensity’ ini menggunakan regimen IVF yang khusus di mana penggunaan ubat-ubatan rangsangan dalam bentuk suntikan dikurangkan. Oleh itu, pembentukan nombor telur yang dapat dikutip semasa ‘oocyte retrieval’ adalah dalam kuantiti yang kecil tapi berkualiti elok. Ini dapat memberikan mereka embrio terbaik agar dapat memberikan mereka peluang cerah untuk membina keluarga mereka sendiri. Pengurangan kos IVF juga disebabkan oleh pemantauan imbasan scan yang kurang intensif diperlukan dan juga pengambilan ujian-ujian darah.
Di samping mempunyai regimen yang lebih mudah dan ringkas, low-intensity IVF ini mempunyai kesan sampingan dari ubat-ubatan yang lebih berkurangan dari IVF konventional. Risiko seperti ovarian hyperstimulation syndrome (OHSS) tidak ada sama sekali. Boleh dikatakan regimen IVF ini adalah lebih ‘patient friendly’. Oleh itu, memang tidak hairan sekiranya kajian saintifik telah menunjukkan yang kadar ‘drop-out’ setelah IVF untuk regimen ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan konventional IVF.
Satu faktor penting mungkin bermain-main di minda ialah adakah regimen IVF yang ‘low intensity’ ini mempunyai kadar kejayaan yang tinggi? Beberapa kajian telah menunjukkan keputusan yang memberansangkan. (1)
Faktor lain yang perlu diberikan perhatian ialah kerana ianya ‘low intensity’ yang bertujuan untuk mengutip kuantiti telur yang lebih kurang tetapi bermutu baik, ada kemungkinan peratus kejayaan adalah jauh lebih baik di golongan wanita lebih muda. Kemungkinan juga, bagi yang lebih berumur terpaksa melalui beberapa kali ‘low intensity’ IVF sebelum beroleh kejayaan.
Akan tetapi, setengah-setengah klinik yang menggunakan regimen IVF ini sebaliknya mengesyorkannya kepada pesakit mereka yang lebih berumur dan mendapati keputusan rawatan IVF regimen tersebut lebih sesuai, mudah dan mempunyai kadar IVF yang bagus untuk mereka yang berumur. Mereka mendapati bagi wanita yang sudah berumur dan telah menjalani IVF konventional tetapi gagal disebabkan mutu embrio yang berkurangan, regimen IVF ‘low intensity’ yang memberikan rangsangan ovari yang lebih ‘gentle’ dan ‘milder’ ini sebaliknya dapat menghasilkan embrio yang lebih bermutu baik.
Adalah diharapkan regimen low-intensity IVF yang lebih mudah, ‘patient-friendly’ dan pada kos yang berpatutan ini dapat memberikan peluang kepada lebih ramai lagi pasangan untuk mencapai impian mereka untuk menjadi ibu bapa akhirnya.
Rujukan:
1. Daniel Bodri, Satochi Kawachiya, Michael De Brucker. Cumulative success rates following mild IVF in unselected infertile patients: A 3-year single center cohort study. Reproductive Biomedicine Online 2014;28: 572-581
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.


