Pasangan Malaysia kurang kesedaran mengenai masalah kesuburan

Harian Metro, 28 July 2014. 

Oleh Siti Zarinah Sahib

“Doktor saya sudah berkahwin selama setahun, tetapi masih belum hamil. Bagaimana cara untuk cepat dapat anak kerana ibu sudah bising dan bertanya bila dia dapat menimang cucu. Saya sangat tertekan, tambahan pula dengan pertanyaan rakan di pejabat yang mengatakan saya me­rancang sedangkan saya tidak menggunakan sebarang perancang keluarga,” kata Maslina, 30, ketika bertemu pakar sa­kit puan bagi membincangkan masalah kesuburannya.

drtasha

Sukar hamil atau masalah ke­suburan antara masalah kesihatan yang perlu dipandang serius. Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, dari 1963 sehingga 2014, jumlah kadar kesuburan semakin menurun daripada 6.1 kepada 2.1. Walaupun ia belum ke paras drastik seperti Hong Kong, Korea dan Singa­pura, penurunan ini sudah tentu mengurangkan populasi dan menyumbang kepada fenomena serius populasi yang semakin tua pada masa depan sekali gus mempengaruhi ekonomi negara.

Untuk membaca dengan lebih lanjut artikel ini. Sila KLIK di sini

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Pilih jantina bakal anak. Teknologi Sains atau takdir?

Anak lelaki atau perempuan? Persoalan ini telahpun menjadi isu perbincangan hangat semenjak berkurun-kurun lamanya di mana setengah-tengah masyarakat memberikan penekanan yang lebih untuk mendapatkan bayi lelaki.  Kepercayaan ini boleh dilihat terutamanya di kalangan kaum Cina. Ini ialah kerana hanya bayi lelaki sahaja yang dapat membawa nama keluarga tersebut. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya kaum wanita diberikan tekanan untuk mengandung dan melahirkan bayi lelaki sebagai mewarisi dan penyambung kepada nama keluarga mereka untuk generasi akan datang. Keadaan ini lebih dirumitkan dimana terdapat polisi ‘anak satu’ di negara China yang membawa kepada gejala pembunuhan dengan sengaja bayi-bayi perempuan yang telah dilahirkan.

Sebab ingin memilih jantina bakal anak yang dilahirkan

Terdapat beberapa alasan kenapa setengah-tengah pasangan ingin memilih jantina untuk bakal anak mereka. Antaranya ialah kerana kepercayaan masyarakat atau kaum masing-masing, lebih gemarkan sesuatu jantina atau sudah mempunyai anak-anak yang mempunyai satu jantina sahaja. Tidak dinafikan ada setengah-tengah alasan adalah munasabah kerana terdapat masalah genetik yang dibawa pada setengah-tengah jantina sahaja. Bayi yang mempunyai jantina tersebut akan mewarisi penyakit genetik yang boleh mencacatkan atau memberi maut kepadanya.

Menggunakan kaedah Sains untuk pemilihan jantina anak dengan 100% tepat

Sebenarnya memang terdapat kaedah Sains yang dapat menentukan jantina bakal anak sebelum ianya diletakkan ke dalam rahim. Akan tetapi ianya memerlukan pasangan tersebut melakukan rawatan IVF. Prosedur ini dinamakan ‘Preimplantation Genetic Diagnosis’. (PGD) Selepas proses persenyawaan telah berlaku, satu sel dari embrio yang terbentuk akan diambil dan ujian akan dilakukan untuk menentukan sama ada ianya bakal menjadi bayi lelaki atau pun perempuan.  Oleh itu, sekiranya pasangan tersebut mengingini bayi lelaki ataupun perempuan, embrio dengan jantina yang ‘betul’ sahaja akan dipindahkan semula ke dalam rahim wanita pasangan tersebut.

Dari segi Islam

Apakah hukumnya memilih jantina anak ini? Tidak salah rasanya sekiranya suatu pasangan itu menginginkan sesuatu jantina untuk bayinya disebabkan musabab tersendiri. Bolehlah mengamalkan ayat-ayat Al-Quran sebagai ikhtiar atau usaha agar Tuhan memakbulkan kehendak tersebut. Akan tetapi, untuk ‘campur tangan’ sehingga sanggup menggunakan teknologi sains yang terkini bagi mereka memilih jantina ‘betul’ yang diingini untuk bakal anak mereka kerana alasan tekanan ‘sosial’ atau ‘kehendak masyarakat’ mungkin agak keterlaluan. Ini ialah kerana apabila teknologi PGD digunakan selalunya embrio berlebihan akan dihasilkan. Oleh itu, apakah yang akan terjadi dengan embrio yang ‘salah’ jantina? Adakah ianya sekarang akan dibuang atau apakah nasib yang akan menimpanya?

Kesimpulannya, kita sebagai manusia boleh berusaha dan beriktiar agar mendapatkan keturunan. Anak lelaki mahupun perempuan pada asasnya adalah sama sahaja kerana mereka adalah pemberian dan amanat yang paling berharga dariNya.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Sakit semasa melakukan hubungan seks

Terdapat ramai wanita yang mengalami masalah kesakitan semasa melakukan hubungan seks. Akan tetapi wanita tersebut mungkin malu untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dari doktor kerana merasakan masalah ini adalah terlalu aib untuk didedahkan. Mungkin juga wanita tersebut tertanya-tanya dan takut sekiranya terdapat masalah dengan dirinya. Dia juga merasakan sedih kerana menyangkakan yang hubungan intim sepatutnya adalah suatu yang indah yang dapat dikongsi antara dirinya dan pasangannya.  Bagi wanita yang ingin hamil pula kesakitan semasa hubungan intim boleh menyebabkan dirinya mengelakkannya pula.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan sakit semasa melakukan hubungan intim

Faktor-faktor berikut boleh mengakibatkan masalah kesakitan semasa melakukan hubungan seksual bersama pasangan. Ianya merangkumi faktor fizikal mahupun psikologi

1. Kurang lubrikasi semasa hubungan intim.

Semasa hubungan intim dilakukan, cecair akan dirembeskan oleh faraj dan pangkal rahim yang bertindak sebagai lubrikasi atau pelincir. Sekiranya kekurangan ‘foreplay’ sebelum penetrasi dilakukan, terdapat kekurangan cecair pelincir dan boleh menyebabkan rasa ‘kering’ atau sakit semasa hubungan seksual. Pertukaran hormon terutamanya apabila hormon estrogen berkurangan seperti selepas melahirkan, menyusu badan dan juga selepas menopaus boleh juga mengurangkan pengeluaran cecair pelincir yang diperlukan semasa hubungan seksual ini.

Untuk mengatasi masalah kurang lubrikasi, terdapat beberapa cecair pelincir yang boleh digunakan untuk pasangan tersebut. Akan tetapi bagi pasangan yang ingin hamil, gunakan cecair pelincir yang sesuai yang ‘sperm-friendly’ seperti Preseed.

2. Endometriosis

Wanita yang mempunyai masalah endometriosis juga mungkin akan mengalami masalah sakit semasa hubungan intim, terutamanya semasa penetrasi dalam yang dilakukan oleh pasangannya. Ini boleh menyebabkan wanita tersebut kurang ingin melakukan hubungan seksual disebabkan kesakitan yang akan dialaminya.

3. Infeksi Faraj atau Luka

Kadang-kala infeksi di faraj boleh juga menyebabkan kesakitan semasa hubungan intim dilakukan. Hendaklah pergi periksa dengan doktor sekiranya terdapat keputihan atau lendir hijau atau kuning keluar dari faraj terutamanya sekiranya ia berbau.

4. Masalah abnormaliti anatomi faraj

Setengah-tengah wanita mungkin dilahirkan dengan abnormaliti pada farajnya dan ini boleh menyebabkan rasa kesakitan semasa hubungan intim dilakukan.

5. ‘Vaginismus’

‘Vaginismus’ adalah satu kondisi di mana terdapat ‘spasm’ atau kekejangan pada otot di dinding vagina yang boleh menyebabkan kesakitan yang kuat pada saat penetrasi oleh pasangan lelaki.

6.  Masalah psikologi

Segelintir wanita mungkin juga akan menghadapi masalah sakit semasa hubungan intim disebabkan oleh masalah psikologi. Ini kerap berlaku pada wanita yang tengah menghadapi tekanan emosi atau pernah mengalami sejarah penganiayaan seksual.

Sekiranya anda kerap mengalami masalah sakit semasa hubungan seksual, hendaklah mendapat nasihat dari doktor anda agar pemeriksaan dan rawatan sesuai yang selanjutnya boleh dilakukan.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Di ambang Hari Raya

Masjid Nabawi Cantik

Dr Tasha ingin mengucapkan Selamat Hari Raya! Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca blog yang setia. Adalah diharapkan lembaran hari raya tahun ini istimewa dan terpahat di dalam memori senantiasa. Bagi yang baru melahirkan cahaya mata yang sudah sekian lama ditunggui, tahniah dan bagi yang kini masih hamil. Mungkin tahun depan, lembaran raya akan lebih bererti dengan si kecil yang comel. Tidak ketinggalan juga buat pasangan yang masih menunggu-nunggu akan kedatangan zuriat, Dr Tasha berharap agar sentiasa tabah, cekal dan teruskan berdoa agar tidak lama lagi permintaan akan dikabulkanNya. In Sha Allah. Harapkan pembaca-pembaca yang terlibat dapat memaafkan kaum keluarga atau kawan-kawan yang tidak sengaja menyinggung perasaan dengan bertanyakan ‘Bila lagi nak dapat anak?’ Bagi yang mengenal kawan-kawan yang mempunyai masalah kesuburan, berjaga-jagalah akan isu sensitif ini ya.

bajuraya

Akhir kata, ‘Pandulah dengan selamat dan berhati-hati di jalan raya. Biar lambat asalkan selamat pergi dan pulang’

Ubat untuk menguatkan rahim

 

Ubat untuk menguatkan rahim kadang-kala diberikan untuk wanita tertentu semasa waktu awal kehamilan seperti wanita yang sudah menjalani rawatan kesuburan seperti IUI dan IVF, sering mengalami keguguran awal kehamilan, pendarahan ketika peringkat awal kehamilan disebabkan ‘threatened miscarriage’. Di samping ia kadangkala diberikan untuk wanita yang tidak hamil dan mengalami masalah pendarahan tidak teratur atau berpanjangan. Duphaston juga diberikan untuk menurunkan haid bagi wanita yang menghadapi masalah haid tidak datang.

Ramuan ubat Duphaston

Dydrogesterone. Ianya mengandungi hormon progesteron sintetik. Ianya diberikan dalam bentuk tablet untuk ditelan.

Fungsi Hormon Progesteron

  • Menebalkan lapisan dalam dinding rahim semasa fasa luteal kitaran haid sebagai persediaan untuk menerima embrio yang terhasil selepas persenyawaan ovum dan sperma
  • Sekiranya kehamilan berlaku, hormon progesteron akan bertindak untuk mengekalkan dan menyuburkan dinding rahim yang tebal pada peringkat awal kehamilan
  • Progesteron juga meransangkan kelenjar susu di dalam buah dada untuk membesar semasa hamil
  • Menolong mengawal kitaran haid wanita

Dos Duphaston yang diperlukan

Ini bergantung kepada keadaan wanita tersebut. Lazimnya selepas rawatan IUI ianya adalah 1 biji (10mg) dua kali sehari ataupun 1 biji tiga kali sehari. Selepas rawatan IVF ianya adalah 1 biji 3 kali sehari. Bagi wanita yang mengalami masalah ‘threatened miscarriage’ pula dos yang akan diberikan adalah 2 biji 2 kali sehari semasa pendarahan dan turunkan kembali kepada 1 biji 3 kali sehari sekiranya pendarahan sudah berhenti.

Kesan sampingan Duphaston

Kadang-kala ianya mempunyai kesan sampingan seperti sakit kepala, angin dalam perut, sakit buah dada atau loya.

Selamat untuk bayi

Bukti saintifik telah menunjukkan tiada kesan sampingan buruk terhadap bayi yang dikandungi oleh wanita yang diberikan Duphaston. Seandainya anda mengalami kitaran haid yang tidak teratur dan tidak perasan yang anda sebenarnya mengandung serta doktor anda telah memberikan anda ubat Duphaston untuk menurunkan haid anda, ianya tidak akan menyebabkan anda keguguran.

 

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Ketahui waktu subur anda dengan kaedah ‘cervical mucus’

Terdapat beberapa cara untuk seseorang wanita mengetahui waktu suburnya dengan menggunakan perubahan-perubahan badannya yang semulajadi. Selain dari kaedah BBT, menggunakan pertukaran lendiran yang keluar dari pangkal rahim (‘cervix’) juga boleh digunakan untuk menentukan waktu subur anda. Ini dikenali sebagai kaedah ‘cervical mucus’ ataupun Billing’s ovulation method

Perubahan semulajadi yang berlaku

Berbanding dengan kaedah BBT, penggunaan kaedah ‘cervical mucus’ ini anda boleh mengetahui waktu ovulasi anda sebelum ianya berlaku dan merancang waktu untuk bersama dengan pasangan anda waktu paling subur bagi meningkatkan peluang anda untuk hamil!

Ramai mungkin tertanya bagaimana untuk mengetahui sama ada lendiran tersebut adalah normal ataupun tidak. Secara umumnya, ‘cervical mucus’ yang normal berwarna jernih, tidak berbau dan tidak gatal. Manakala sekiranya terdapat jangkitan pada faraj lendiran yang keluar adalah berwarna kuning atau hijau, berbau dan kadang-kala gatal. Sekiranya tidak pasti, berjumpalah dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. Dr Tasha juga tidak galakkan penggunaan pembersihan faraj dalaman untuk wanita untuk membersihkan lendiran faraj ini kerana menyangkakan ianya ‘kotor’. Perbuatan ini kadang-kala dikenali sebagai ‘douching’ kerana ianya mungkin boleh menukarkan persekitaran faraj terutamanya pH faraj dan membuang bakteria-bakteria baik di dalam faraj kita.

Fungsi ‘cervical mucus’

Pengeluaran lendir dari faraj anda adalah satu perkara yang normal dan semulajadi. Apabila seseorang wanita akan ovulasi, terdapat perubahan hormon di dalam badannya. Hormon estrogen akan merangsangkan pangkal rahimnya (cervix) untuk mengeluarkan lendir (cervical mucus)

Apabila hubungan seks dilakukan, sperma akan dilepaskan di dalam faraj wanita tersebut. Sperma tersebut perlu berenang dari faraj, memasuki pangkal rahim (‘cervix’), melalui rahim dan seterusnya ke arah saluran peranakan wanita untuk mempersenyawakan telur. Perjalanan yang akan dilalui oleh sperma itu adalah rumit dan hanya sperma yang paling kuat serta sihat akan sampai ke destinasi akhirnya. Oleh itu, sperma itu memerlukan persekitaran yang elok untuk membantunya sampai kepada telur. ‘Cervical mucus’ yang dirembeskan semasa waktu subur pasangan wanitanya dapat membekalkan persekitaran baik ini dengan melancarkan perjalanan sperma, melindunginya dari persekitaran dan memberikan nutrisi kepadanya. Cervical mucus ini akan dirembeskan lebih kurang 5 hari sebelum hari ovulasi / subur anda.

Pertukaran ‘Cervical mucus’ yang akan berlaku sepanjang kitaran haid anda:

Cervical mucus                Kitaran Haid                                       Tahap Kesuburan

Kering atau melekit            Selepas haid                                           Sangat Rendah

Berkrim seperti lotion    Beberapa hari selepas haid habis                Rendah

Licin dan berair                  Ovulasi hampir                                             Tinggi

Telur putih                     Ovulasi sangat-sangat hampir                     Sangat Tinggi

Kering                              Selepas Ovulasi                                              Rendah

Hari puncak adalah hari TERAKHIR ‘cervical mucus’ yang sangat berair, byk dan ‘stretchy’. Hari ini boleh berlaku pada hari ovulasi tetapi untuk kebanyakan wanita ovulasi akan berlaku dalam masa 1 hari (85% wanita) atau 2 hari (10% wanita)

Cara untuk memeriksa ‘cervical mucus’ anda

Anda boleh mula melakukan pemeriksaan ‘cervical mucus’ sejurus selepas haid anda kering. Langkah-langkah:

1. Basuh tangan anda

2. Masukkan jari telunjuk anda perlahan-lahan ke dalam faraj. Kalau boleh masukkan sampai ke pangkal rahim. Sekiranya takut, masukkan sedalam yang mungkin. Anda boleh melakukan ini sama ada dalam posisi duduk di atas tempat duduk tandas ataupun berdiri dan meletakkan salah satu kaki anda di atas tempat letak duduk tandas.

3. Pusingkan jari telunjuk anda di dalam faraj untuk mendapat ‘cervical mucus’.

4. Keluarkan jari telunjuk anda dari faraj dan perhatikan konsistensi ‘cervical mucus’ anda dengan menggosokkan lendiran tersebut dengan ibu jari anda.

5. Sekiranya lendiran ‘cervical mucus’ anda banyak, anda boleh melakukan ‘finger test’ iaitu cuba untuk melihat sama ada lendiran tersebut boleh diregangkan (‘stretchable’) seperti yang dilihat di dalam gambar di atas.

6. Anda boleh melakukan pemeriksaan ini setiap kali sewaktu anda pergi ke tandas / ataupun selepas mandi. Jangan lakukan ujian ini selepas melakukan hubungan seks kerana air mani di dalam faraj akan mengelirukan pemeriksaan anda.

Anda boleh menggabungkan kaedah ini dengan kaedah calendar dan juga BBT.

Untuk melihat dengan lebih lanjut bagaimana cervical mucus ini kelihatan:

http://www.babycentre.co.uk/l1047500/what-cervical-mucus-looks-like#/0

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Tips pemakanan untuk meningkatkan fertiliti anda

Ramai pasangan yang menghadapi masalah kesuburan bertanyakan apakah pemakanan yang elok untuk meningkatkan fertiliti mereka. Dalam post blog kali ini, Dr Tasha akan membincangkan antara makanan-makanan yang elok untuk diambil untuk menambah baik fertiliti anda.

Pasti ramai yang terkejut melihat gambar tersebut di atas. Kalau diet macam ini, bolehlah makan hari-hari. Memang tiada masalah! 🙂  Akan tetapi, cuba perhatikan betul-betul gambar tersebut di atas dan lihat makanan apakah yang terselit antara ice-cream tersebut:

1. Berries terutamanya blueberry dan raspberry. Ini adalah sumber anti-oxidant yang penting untuk kualiti sperma dan telur.

2. Pisang. Ini adalah sumber vitamin B6. Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan haid tidak teratur dan perkembangan telur serta sperma yang tidak elok.

3. Walnut adalah kaya dengan omega 3 yang penting untuk pembentukan sperma yang berkualiti. Ianya juga boleh mengurangkan inflamasi di dalam badan.

4. Hazelnut mempunyai kandungan Vitamin E yang tinggi yang diperlukan untuk telur dan sperma yang elok. Ianya membantu menstabilkan paras gula dalam darah dan juga mengurangkan hormon insulin tinggi yang kerap dilihat di dalam wanita yang menghidapi PCOS.

5. Buah citrus seperti oren dan kiwi mengandungi Vitamin C yang tinggi. Setiap hari kita memerlukan sekurang-kurangnya 1000mg Vitamin C untuk kesihatan sperma dan juga memastikan hormon seimbang di dalam wanita.

6. Calcium. Ini boleh didapati dari ice-cream atau ‘full cream’ milk. Hendaklah mendapatkan sekurang-kurangnya 1000mg sehari zat calcium. Tidak perlulah terlalu taksub dengan ‘skim’ milk. Kadang-kala badan kita perlukan sedikit lemak. Tetapi janganlah makan ice-cream pulak hari-hari ya. Cukuplah meminum segelas susu berkrim penuh setiap hari untuk memberikan khasiat yang diperlukan.

Sarapan pagi yang berkhasiat adalah penting

 7. Karbohidrat kompleks. Ini adalah penting untuk memastikan paras gula di dalam darah adalah stabil. Ianya juga penting bagi wanita yang mengalami masalah PCOS yang mengalami masalah ovulasi disebabkan hormon yang mengawal paras gula di dalam darah yang tidak stabil. Makanlah nasi, roti, pasta dan cereal yang ‘wholegrain’. Elakkan memakan roti putih, nasi putih atau snek yang bergula.

8. Telur. Telur terutama bahagian telur kuning (‘egg yolk’) membekalkan vitamin D yang diperlukan untuk rahim berfungsi dengan baik dan ‘implantasi’ boleh berlaku dengan baik. Ia juga penting untuk menghasilkan telur yang matang. Di samping itu, kekurangan vitamin D juga telah dikaitkan dengan peningkatan risiko sebanyak 30-50% untuk mendapat kanser usus, prostat dan payudara. Jangan pula mengambil telur yang berlebihan kerana ini boleh meningkatkan kolesterol anda.

9. Teh Hijau. Cuba elakkan minuman berkafein yang lain seperti kopi dan teh biasa. Teh hijau mengandungi anti-oxidant yang diperlukan oleh badan.

10. Salmon. Ikan salmon dan ikan kod mengandungi khasiat omega 3 yang tinggi. Zat ini bertindak sebagai anti-oxidant, mengurangkan inflamasi di dalam badan dan juga membantu mengimbangkan fungsi organ dan sistem reproduktif. Hendaklah makan ikan berminyak (‘Oily fish) sekurang-kurangnya 2 – 3 kali seminggu.

11. Asparagus. Selain dari rasanya yang enak dan rangup, ianya mengandungi zat folik asid yang tinggi.

12. Brokoli. Sayuran brokoli kaya dengan zat magnesium dan ‘chlorophyll’ yang boleh bertindak sebagai agen detoksifikasi dan mengimbangkan semula kestabilan hormon di dalam badan.

13. Avocado mengandungi vitamin E yang tinggi. Vitamin E berfungsi untuk meningkatkan pergerakan sperm. Ini penting untuk membolehkan persenyawaan telur berlaku. Di samping itu ianya kaya dengan folik asid yang penting untuk meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki. Folik asid juga boleh mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi anda.  Avocado juga mempunyai kandungan lemak baik yang dikenali sebagai ‘monosaturated fat’ yang penting untuk mengawal sistem hormon di dalam badan dan boleh membantu merendahkan kolesterol.

14. Daging (‘lean meat’) juga masih penting untuk diambil sekiranya ingin hamil. Zat besi yang terkandung di dalam daging adalah penting untuk badan kita. Tetapi pastikan tidak mengambil daging dalam kuantiti yang berlebihan.

Kesimpulannya:

1) Hendaklah memakan yang seimbang

2) Banyakkan memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang

3) Pastikan minum air suam sekurang-kurangnya 8 gelas sehari

4) Hendaklah makan sarapan pagi

5) Elakkan makanan ‘junk food’ ataupun ‘take away food’ seperti McDonalds’

6) Kurangkan makanan berminyak dan bergula

7)Memakan makanan tersebut di atas secara sederhana.

8) Ambil vitamin supplement untuk pastikan tidak kekurangan vitamin atau mineral yang diperlukan oleh badan kita untuk hamil.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Ketahui waktu subur anda dengan menggunakan kalendar

Pada post blog kali ini, Dr Tasha ingin mengajar para pembaca cara untuk mengetahui waktu subur anda dengan menggunakan kaedah kalendar pula. Kaedah ini hanyalah sesuai bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur.

Kitaran Haid yang teratur

Hari pertama kitaran haid bermula dengan hari pertama haid berlaku. Hari pertama haid hendaklah diambil pada hari pertama di mana darah merah mengalir. Ini ialah kerana setengah-tengah wanita mengalami tompokan-tompokan coklat pada mulanya. Bagi yang tidak tahu mengira kitaran haid mereka, sila KLIK di sini.

Bilakah ovulasi akan berlaku

Ovulasi akan berlaku lebih kurang 14 hari sebelum haid datang. Oleh itu, bagi wanita yang mempunyai kitaran haid 28 hari yang teratur, hari ovulasinya akan berlaku pada hari 14 haidnya. Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang lain kiraannya adalah seperti berikut:

Kitaran haid                                          Hari ovulasi

25 hari                                                   Hari ke 11 haid

28 hari                                                   Hari ke 14 haid

31 hari                                                   Hari ke 17 haid

33 hari                                                   Hari ke 19 haid

35 hari                                                   Hari ke 21 haid

Bilakah hari subur anda?

Hari subur adalah 2 hari sebelum, pada hari ovulasi dan sehari selepas ovulasi berlaku. Ini ialah kerana sperma berupaya untuk hidup di dalam rahim 12-48 jam (Setengah-tengah sperma 3-5 hari!), manakala telur hanya akan hidup selama 12-24 jam sahaja.

Kitaran Haid                                                Hari subur anda

25 hari                                                  Hari ke 9, 10, 11 dan 12 haid

28 hari                                                  Hari ke 12,13, 14 dan 15 haid

31 hari                                                  Hari ke 15, 16, 17 dan 18 haid

33 hari                                                  Hari ke 17,18,19 dan 20 haid

35 hari                                                  Hari ke 18, 19, 20 dan 21 haid

Bagi mereka yang masih sukar untuk mengira hari kesuburan mereka. Bolehlah memuat turun aplikasi mobil yang mengira terus hari kesuburan tersebut.

Selamat mencuba!

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Ketahui waktu subur anda menggunakan Kaedah BBT

Setengah wanita ingin mengetahui waktu ovulasi mereka dengan hanya menggunakan perubahan badan yang berlaku secara semulajadi. Salah satu kaedah ‘natural’ ini dikenali sebagai BBT (‘Basal Body Temperature’).

BBT (‘Basal Body Temperature’)

Ianya ialah suhu tubuh badan wanita yang paling rendah dalam masa 24 jam. Cara betul untuk mengambil suhu BBT anda ialah pada setiap pagi apabila anda bangun dari tidur (sebelum berus gigi dan mandi!). Anda juga perlu menggunakan termometer khas untuk mengambil BBT yang dikenali sebagai ‘Basal Thermometer’.

Basal Termometer berbeza dari termometer biasa yang kita gunakan untuk memeriksa suhu semasa demam kerana ianya adalah lebih tepat dan dapat menyukat penukaran suhu sehingga 0.1 darjah berbanding 0.2 darjah di dalam termometer biasa.

Langkah menggunakan kaedah BBT

1. Setiap hari ambil suhu BBT anda sejurus selepas anda bangun tidur. Oleh itu, basal termometer anda perlulah berada di sebelah katil. Mulakan selepas anda mendapat haid anda.

2. Letakkan termometer di bawah lidah anda.

3.Hendaklah mengambil suhu BBT anda pada waktu yang sama setiap hari. (campur tolak 1/2 jam sahaja). Ini ialah kerana terdapat perbezaan suhu BBT bagi setiap jam.

4. Hendaklah tidur sekurang-kurangnya 5 jam. Sekiranya anda sakit mungkin bacaan BBT anda adalah tidak tepat.

5. Hendaklah mencatat dan plot bacaan suhu anda ke atas carta BBT. Cara mudah untuk ini ialah dengan menggunakan aplikasi smart phone yang direka khas untuk tujuan ini.

6. Sekiranya peningkatan suhu BBT ini masih tinggi 18 hari selepas waktu ovulasi anda, besar kemungkinan anda hamil.

Cara mengetahui waktu ovulasi dengan menggunakan BBT

Dalam kitaran haid setiap wanita, akan berlaku perubahan paras hormon-hormon di dalam badan. Setelah ovulasi berlaku terdapat peningkatan di dalam hormon progesteron yang akan mengakibatkan suhu tubuh badan wanita tersebut meningkat sebanyak 0.4 – 1 darjah Fahrenheit. Peningkatan BBT ini akan hanya berlaku 2-3 hari selepas ovulasi berlaku. Oleh itu, pada bulan pertama anda menyukat BBT anda, waktu ovulasi anda akan hanya diketahui selepas ianya berlaku. Setelah sekurang-kurangnya 3 bulan barulah anda boleh mengagak bilakah waktu ovulasi anda dan waktu paling baik untuk melakukan hubungan intim bagi hamil. Kadang-kala anda akan dapat melihat suhu BBT turun mendadak sejurus sebelum waktu ovulasi.

Interpretasi carta anda

BBT fertility friend

Dari carta di atas, terdapat 2 fasa dalam kitaran haid seseorang wanita iaitu fasa folikular dan luteal. Perkembangan folikel di dalam kilang berlaku semasa fasa folikular. Pada ketika ini, hormon estrogen adalah tinggi. Sejurus selepas ovulasi berlaku, terdapat peningkatan hormon progesteron pula di dalam darah dan ini akan menyebabkan peningkatan suhu asas badan. (BBT) Garis merah di dalam carta di atas menandakan hari ovulasi berlaku di mana terdapat penurunan BBT (‘dip’) diikuti dengan peningkatan suhu badan. Ini adalah waktu fasa luteal pula. Fasa folikular selalunya berubah-ubah, manakala fasa luteal selalunya adalah tetap dalam linkungan 14 hari.

Merancang waktu untuk melakukan hubungan intim

Sebagai contohnya, mengikut BBT charting anda sekiranya ovulasi selalunya berlaku pada hari ke -14 haid. Oleh itu, hari subur anda adalah pada hari ke 12,13, 14, 15 haid. Ini ialah kerana sperma boleh hidup di dalam faraj, rahim dan saluran peranakan wanita lebih kurang selama 48 jam dan kadang-kala sehingga 5 hari. Manakala telur pula, hanya mempunyai kitaran hidup selama 12-24 jam sahaja.

Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur pula,  seelok-eloknya hendaklah menggabungkan beberapa kaedah di samping kaedah BBT untuk meramal dengan lebih tepat waktu ovulasi seperti dengan menggunakan perubahan cecair faraj (‘Cervical mucus’) dan kit peramal ovulasi (OPK). Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui punca kitaran haid yang tidak teratur ini.

Selamat mencuba!

 

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Adakah saya calon sesuai untuk rawatan IVF?

Pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan kadang-kala tertanya-tanya sama ada mereka adalah calon yang sesuai untuk rawatan IVF. Terdapat persepsi umum yang negatif di kalangan segelintir masyarakat kita terhadap rawatan IVF. Tanggapan sedemikian mungkin kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan atau kurang mendapat pendedahan kepada rawatan IVF dan membuat andaian mereka tersendiri ataupun terpengaruh dengan pendapat orang sekeliling yang juga tidak arif. Oleh itu, adalah diharapkan post blog kali ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat kita.

Semenjak diperkenalkan dalam tahun 1978 dengan kelahiran bayi tabung uji yang pertama iaitu Louis Brown di United Kingdom, lebih dari 5 juta bayi seluruh dunia telah berjaya dilahirkan melalui rawatan IVF. Dengan teknologi yang terbaru dari segi makmal dan teknik pembekuan embrio, kejayaan IVF juga telah meningkat pada beberapa tahun kebelakangan ini. Ini memberikan harapan baru dan peluang tinggi kepada pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan untuk membina keluarga dari baka mereka sendiri.

Siapakah yang merupakan calon untuk rawatan IVF:

  • Wanita yang mempunyai kedua-dua belah saluran peranakannya yang tersumbat
  • Wanita yang berumur lebih dari 35 tahun dan sudah mengalami masalah kemandulan lebih dari 5 tahun
  • Pasangan yang menghidapi masalah ‘unexplained infertility’
  • Lelaki yang menghidapi masalah sperma yang teruk sama ada dari segi bilangan, pergerakan atau kualitinya
  • Wanita yang menghidapi masalah endometriosis yang teruk
  • Pasangan yang telah menjalani rawatan IUI beberapa kali tetapi masih gagal untuk hamil

Apakah tanggapan-tanggapan negatif terhadap rawatan IVF

1. Rawatan IVF adalah mahal

Kos rawatan IVF berbeza antara pusat fertiliti. Ianya adalah dalam linkungan RM5,000 – RM20,000. Kos IVF juga terpulang kepada berapa banyak ubat rangsangan yang diperlukan oleh pesakit tersebut, prosedur tambahan seperti ICSI atau PESA/TESA dan sekiranya terdapat embrio berlebihan yang perlu dibekukan. Sekira dilihat secara keseluruhan kos perubatan dan sara hidup telah meningkat. Kos untuk membiayai anak-anak juga telah meningkat.

Oleh itu, pasangan perlu berbincang dan merancang perbelanjaan untuk pembiayaan kos rawatan IVF. Mereka perlu bijak merancang perbelanjaan keluarga dan berjimat-cermat. In sha Allah, jikalau berbuat demikian, rawatan IVF mampu dibiayai. Sekiranya rawatan IVF akan memberikan kejayaan yang jauh lebih baik dan usahlah menangguhkannya sehingga umur pasangan wanita meningkat terlalu lanjut.

Kenapakah kos IVF mahal?

Ke arah mencapai regimen IVF yang lebih ‘patient friendly’ , praktikal dan pada kos berpatutan

logo-ivfku

2. Kadar kejayaan IVF adalah rendah

Untuk pasangan yang mempunyai masalah kesuburan disebabkan pelbagai faktor seperti tersebut di atas, IVF mungkin merupakan solusi yang terbaik. Kadar kejayaan IVF berbeza-beza di antara pusat-pusat fertiliti. Ianya juga bergantung berat kepada umur pasangan wanita dan faktor ketidaksuburan. Rata-rata kejayaannya adalah dalam linkungan 35 -50% dan kadang-kala mencecah sehingga 70%. Kadar kejayaan ini adalah bagus berbanding terutamanya untuk mereka yang sudah sekian lama menanti zuriat.

Pasangan yang menghadapi masalah fertiliti perlu juga membuat persiapan bagi membuat rawatan IVF. Untuk adalah untuk memastikan kejayaan mereka tinggi. Ramai pasangan yang membuat andaian yang rawatan IVF ialah ‘the magic bullet’ dan tidak membuat persiapan mereka tersendiri. Berat badan berlebihan, melengah-lengahkan rawatan sehingga umur sudah meningkat dan pasangan lelaki masih merokok semuanya akan memberi impak negatif pada kejayaan IVF.

3. Kalau saluran peranakan rosak, pergilah membuat operasi untuk membetulkan saluran peranakan yang rosak

Saluran peranakan boleh rosak disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya penyakit endometriosis dan penyakit radang pelvik (‘Sexually transmitted disease’) dan ‘Pelvic inflammatory disease’ (PID). PID berpunca dari gejala sosial yang tidak sihat seperti seks rambang dan kerap bertukar pasangan seks. Ianya juga boleh berjangkit dari lelaki kepada wanita dan sebaliknya. Majoriti pengidapnya tidak mempunyai sebarang simptom-simptom.

Saluran peranakan adalah suatu organ yang sensitif dan halus. Jadi apabila ianya sudah rosak memang agak sukar untuk memperbetulkannya melalui pembedahan. Rata-rata pembedahan untuk membaiki saluran peranakan tersumbat tidak mempunyai kejayaan yang memberansangkan bagi individu tersebut hamil dengan sendirinya pada masa hadapan. Risiko kandungan luar rahim juga adalah lebih tinggi bagi individu tersebut.

Sekiranya pasangan wanita tersebut sudahpun menjalani rawatan untuk memperbaiki saluran peranakan yang rosak dan masih jua tidak hamil bermakna pembedahan tersebut tidak berjaya. Oleh itu, hendaklah membuat perbincangan seterusnya untuk membuat rawatan kesuburan. Rawatan IVF dapat memberikan kadar kejayaan untuk kehamilan yang lebih baik bagi pasangan tersebut.

4. Berkemungkinan mendapat anak yang cacat

Terdapat juga persepsi yang menyatakan bayi yang dilahirkan melalui kaedah rawatan IVF mempunyai risiko untuk kecacatan. Pelbagai kajian yang sudah dijalankan untuk menentukan kesahihan kenyataaan ini. Pada keseluruhannya, kadar bayi abnormal yang dilahirkan adalah sama, sama ada bayi yang terhasil dari persenyawaan normal ataupun IVF. Walau demikian kajian-kajian berterusan masih sedang berjalan untuk memastikan kesihatan bayi yang terhasil dari IVF.

Kesimpulan

Dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar ini, individu berlainan akan diuji dengan dugaan yang berbeza-beza. Bagi pasangan yang mengalami masalah kesuburan, diharapkan akan cekal dan meneruskan perjuangan. Janganlah pasrah seandainya rawatan-rawatan kesuburan tidak berjaya pada mulanya. Teruskan mencuba dan tidak berputus asa serta berbincanglah dengan doktor yang merawati. Keazaman kadang-kala mengatasi segalanya sekiranya diizinkanNya.

Tidak disangkal, kehidupan pada zaman serba moden ini mempunyai liku-likunya yang tersendiri. Innovasi teknologi sains yang moden ini juga memberikan peluang bagi pasangan-pasangan zaman kini untuk mengatasi masalah kesuburan dengan IVF. Kita perlu mengambil peluang keemasan yang ada ini untuk ’embrace’ teknologi tersebut. Janganlah mensia-siakan rawatan yang sedia ada ini semata-mata kerana kejahilan diri sendiri.

“Allah tidak akan mengubah nasib seseorang kaum itu melainkan dia mengubah nasibnya sendiri.”

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor