Blog Archives
Day 3 atau Day 5 Embrio Transfer?
“Doktor, bilakah patut saya membuat Embrio Transfer. Adakah pada hari Day 3 atau Day 5? “
Selepas prosedur penyedutan telur (‘Egg pick up’ / OPU), prosedur pemindahan embrio (ET) lazimnya akan dibuat 3 hari selepas itu iaitu tiga hari selepas persenyawaan dilakukan.
Jika dilihat pada awal sejarah rawatan IVF, ET selalunya dilakukan 1 atau 2 hari selepas OPU. Ini disebabkan oleh teknologi makmal IVF yang masih berada pada peringkat awal tidak mampu untuk memelihara embrio dalam keadaan yang baik. Oleh itu, ET akan dilakukan secepat mungkin kerana rahim mempunyai keadaan persekitaran yang lebih baik untuk ketumbesaran embrio.
Untuk membaca perbezaan antara hari 3 dan hari 5 embrio. Sila baca post blog tersebut:
https://drnatashanorfertility.com/2015/06/09/rawatan-ivf-apa-yang-berlaku-di-dalam-makmal-ivf/
Innovasi makmal IVF
Lazimnya ET akan dilakukan tiga hari selepas persenyawaan atau hari OPU iaitu Day 3 Embrio. Day 3 Embrio adalah pada peringkat ‘cleavage stage’ dan mengandungi 4 – 8 cells. Akan tetapi dengan perkembangan teknologi dan innovasi baru di dalam kultur media yang digunakan dalam makmal IVF diturut serta dengan peningkatan kemahiran para embriologis telah membenarkan embrio dipantau dan dikultur di dalam inkubator makmal IVF sehingga 5-6 hari. Embrio yang terbentuk 5 hari selepas persenyawaan dikenali sebagai ‘blastocyst’.
Adalah dipercayai embrio yang berjaya sampai dari hari ke 3 kepada hari 5 embrio atau blastocyst selalunya merupakan embrio yang kuat dan mempunyai potensi ketumbesaran serta implantasi yang lebih baik. Oleh itu, sekiranya embrio tersebut dipilih untuk dipindahkan ke dalam rahim akan memberikan kadar kehamilan yang lebih tinggi. Perlu diingati, hanya 35-50% day 3 embrio akan berjaya sampai kepada day 5 atau ‘blastocyst’ stage. Lebih kurang 5-10% kes di mana kesemua day 3 embrio telah berhenti membesar dan tidak berjaya sampai ke blastocyst stage. Oleh itu, prosedur pemindahan embrio tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan embrio.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kebarangkalian embrio berjaya sampai kepada ‘Blastocyst’
1. Potensi ‘Development’ atau Ketumbesaran Embrio
Pada hari ketiga, semua embrio yang telah dipersenyawakan akan dipantau dalam makmal IVF oleh pakar embriologis. Embrio tersebut akan diberikan gred berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Tanggapan asas ialah embrio yang bergred baik akan memberikan kadar kejayaan yang lebih baik. Akan tetapi, kajian telah menunjukkan bahawa tidak semua embrio yang kelihatan ‘cantik’ dan telah diberikan gred baik sebenarnya akan memberikan kehamilan kerana mereka mungkin sebenarnya tidak mempunyai potensi ‘development’ untuk berbuat demikian. Salah satu sebab ialah berkemungkinan embrio tersebut sebenarnya mempunyai kandungan genetik yang abnormal.
2. Kultur Makmal IVF

Tidak semua Makmal IVF dan embriologis berupaya untuk mengendalikan dan memelihara embrio sehingga ke peringkat ‘blastocyst’. Media kultur yang bersesuaian dan kemahiran teknikal pakar embriologis juga akan memberikan impak. Di samping itu, kaedah stimulasi bersesuaian yang diberikan adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang sama ada embrio yang berkualiti baik dapat dihasilkan.
Kajian Day 3 vs Day 5 Embrio Transfer. Manakah mempunyai kadar kehamilan yang lebih tinggi?
Kajian-kajian telah menunjukkan yang Day 5 Embrio mempunyai kadar kejayaan kehamilan yang lebih tinggi berbanding dengan Day 3 Embrio. Akan tetapi, bukan semua makmal IVF mendapati keputusan yang sama. Malah, ada pula yang mendapati kehamilan mereka menurun dengan Day 5 Embrio Transfer. Pembesaran dan pemantauan Embrio Day 3 kepada Day 5 memerlukan kultur media yang elok untuk membekalkan persekitaran stabil dan nutrien yang penting bagi pembesaran optimum embrio. Di samping itu, ianya memerlukan kemahiran teknikal yang lebih tinggi dan adalah lebih rumit bagi pakar embriologis.
Adakah Day 3 Embrio akan menjadi lebih baik jika dikultur seterusnya sehingga ke peringkat blastocyst?
Ramai bertanggapan salah yang Day 3 Embrio sekiranya disimpan dengan lebih lama di dalam kultur media makmal akan menjadi bertambah baik apabila nutrien elok dibekalkan kepadanya. Tanggapan ini adalah tidak benar, embrio tersebut tidak akan berubah sama sekali. Potensi embrio tersebut untuk implantasi adalah sama, perkembangan teknologi moden makmal IVF tidak mampu untuk menambahbaik atau mengubah potensi ‘development’ atau ketumbesaran embrio tersebut.
Kesimpulan
Keputusan sama ada Day 3 atau day 5 bergantung kepada individu masing-masing.
Jika embrio yang terhasil adalah bergred baik dan banyak ie lebih dari 4 embrio, Day 5 ET mungkin adalah opsyen yang bagus kerana embrio Day 5 mempunyai potensi untuk memberikan mereka kehamilan yang tinggi jika ianya dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi bagi wanita yang mempunyai embrio yang tidak banyak dan kurang elok pula, adalah lebih baik sekiranya Day 3 sahaja dilakukan.
Ini juga bergantung kepada makmal IVF di mana rawatan IVF tersebut dilakukan dan juga faktor wanita tersebut, seperti sejarah IVF yang gagal atau umur wanita tersebut.
Kajian-kajian giat sedang dijalankan, adalah diharapkan jawapan yang lebih jitu dapat diberikan dalam masa yang hadapan agar ianya dapat memberikan lebih maklumat kepada para doktor agar the ‘best treatment’ dapat diberikan kepada para pesakit.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Rawatan IVF. Apa yang berlaku di dalam makmal IVF?
Disunting oleh: Cik Nur Ilanah, Ketua Makmal Embryologis KL Fertility Centre
Bagi memastikan kejayaan tinggi untuk rawatan IVF, pakar embriologis dan makmal IVF memainkan peranan yang amat penting selain dari pakar IVF yang memberikan rawatan.
Prosedur penyedutan telur
Prosedur penyedutan telur atau kadang-kala juga dikenali sebagai ‘Egg pick up’ / OPU. Telur yang telah disedut akan diletakkan ke dalam piring petri.
Apa yang berlaku selepas prosedur penyedutan telur?
Proses persenyawaan dilakukan di makmal IVF sekitar 4-6 jam selepas prosedur penyedutan telur. Persenyawaan secara IVF konvensional dilakukan dengan mecampurkan 100, 000 sperma bagi setiap telur. Campuran sperma dan telur ini dibiarkan selama sejam untuk memberi peluang kepada sperma yang terpilih untuk mensenyawakan telur. Sekiranya kualiti sperma tidak memuaskan untuk kaedah IVF konvensional, kaedah persenyawaan secara (Intracytoplasmic Sperm Injection) ICSI akan dijalankan. ICSI dilakukan dengan menyuntik satu sperma ke dalam setiap satu telur yang matang.
Persenyawaan – Day 1 post OPU (16-18 jam selepas OPU)
Sekiranya persenyawaan berjaya, dua pronuclei dapat dilihat. Satu pronuclei akan mengandungi bahan genetik dari ibu manakala pronuclei yang satu lagi adalah dari si ayah. Genetik ini akan bergabung untuk membentuk embrio yang lengkap.
Perkembangan embrio seterusnya di dalam inkubator
Embrio akan dikultur seterusnya di dalam mesin inkubator. Mesin tersebut mengandungi persekitaran menyerupai keadaan di dalam saluran peranakan di mana kandungan karbon dioxida, oksigen dan nutrien yang diperlukan pada kandungan pH bersesuaian. Persekitaran ni adalah sangat penting agar embrio dapat membesar dengan sihat dan sempurna.
Perkembangan Embrio dari Day 1 kepada Day 5
Pakar Embriologis selalunya akan membuat pemantauan embrio pada hari pertama dan hari ketiga. Embrio akan diberikan gred 1 – 4 bergantung kepada kriteria-kriteria tertentu. Gred 1 dan 2 selalunya adalah bagus dan ini akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan IVF apabila embrio berkualiti elok dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi pemberian Gred embrio kadang-kala berbeza mengikut pusat IVF di mana Gred 4 adalah baik dan Gred 1 kurang baik pula. Oleh itu, hendaklah bertanya kepada doktor / embriologis yang merawati.
Ikuti post Blog seterusnya untuk topik Day 3 vs Day 5 embryo transfer. Apakah perbezaannya?
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Adakah terlalu kurus boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil?
“Doktor adakah berat badan saya yang rendah ini boleh menyebabkan masalah untuk hamil?”
Masalah berat badan sama ada berkurangan ataupun berlebihan boleh menyumbang kepada masalah fertiliti. Terdapat segelintir wanita yang mempunyai berat badan yang sangat rendah mengikut ketinggiannya. Berat badan yang ideal adalah BMI antara 18.5 – 24.9. Cara mengira BMI anda.

Kenapakah mempunyai BMI yang terlalu rendah boleh merendahkan tahap kesuburan?
Apabila berat badan kita adalah sangat rendah dan kadar kandungan lemak di dalam badan adalah rendah, ini akan memberikan isyarat kepada otak yang wanita itu berada dalam keadaan ‘starvation’. Oleh itu, secara semulajadi ianya akan memberikan impak di mana terdapat pengurangan rembesan hormon dari otak kepada kelenjar pituitari. Ini akan memberikan isyarat kepada ovari wanita tersebut untuk mengurangkan atau memberhentikan pengeluaran telur di kilang ovari. Apabila ovulasi tidak berlaku, ini seterusnya akan mengakibatkan kitaran haid tidak terjejas dan menjadi tidak teratur.
Sejarah telah menunjukkan selepas Perang Dunia Kedua, kadar kehamilan adalah amat rendah walaupun di kalangan pasangan muda. Salah satu faktor adalah disebabkan ramai wanita dan juga lelaki pada waktu darurat mempunyai berat badan yang sangat rendah diakibatkan diet yang tidak sihat dan makanan yang berkurangan.
Apakah yang akan dilakukan oleh doktor jika mempunyai masalah berat badan yang rendah?
Sejarah latar belakang dan pemeriksaan akan dilakukan. Doktor akan mengenalpasti apakah punca masalah berat badan yang rendah termasuklah genetik, masalah diet yang tidak sihat seperti anorexia / bulimia nervosa, pengamalan ‘exercise’ yang berlebihan ataupun masalah hormon thyroid.

Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan berat badan secara sihat?
- Kadang-kala wanita tersebut akan dirujuk kepada pihak nutrisi atau ‘dietician’ agar diet mereka boleh diteliti dan penambahbaikan dapat dilakukan jika perlu
- Makan dengan lebih kerap iaitu 5 atau 6 kali makan berbanding hanya 3 kali sehari. Di samping itu, ini mungkin boleh dilakukan dengan memakan snek sihat antara waktu makan.
- Memakan makanan yang bukan sahaja berkalori tinggi tetapi bernutrisi tinggi. Lebihkan makanan yang mengandungi kandungan tinggi protein, lemak sihat seperti Omega 3 dan berserat
- Melakukan senaman. Ini boleh membina otot di samping membuatkan selera anda bertambah.
- Memakan Suplemen tambahan seperti multivitamin dan folik asid.
Sebenarnya, kajian telah menunjukkan wanita yang mempunyai berat badan yang sangat kurang akan lebih sukar untuk hamil berbanding dengan wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan sedikit. Oleh itu, hendaklah cuba sedaya upaya untuk meningkatkan berat badan sekiranya adalah dalam golongan wanita yang mempunyai berat badan yang sangat rendah
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
‘Rahsia’ Fertiliti yang perlu diketahui oleh setiap wanita
Apakah ‘Rahsia’ mengenai Fertiliti yang perlu diketahui oleh wanita yang pada suatu hari nanti ingin menjadi seorang ibu?
Teknologi Sains Moden masih tidak mampu mengatasi ‘Biological Clock’ wanita
Kerap kali kenyataan ini telah diutarakan atau diketengahkah oleh para doktor kepada masyarakat umum. Akan tetapi, fenomena di mana wanita melengahkan waktu untuk menjadi seorang isteri dan ibu disebabkan faktor-faktor sosial seperti kareer masih berlaku bukan sahaja di Negara Barat tetapi malah di Malaysia juga. Rawatan kesuburan seperti IVF di dalam tangan doktor kesuburan paling pakar dan berpengalaman sekalipun tidak mampu mengatasi ‘Biological Clock’ seorang wanita. Hakikatnya, IVF bukanlah ‘magic bullet’ seperti sangkaan setengah-tengah pihak.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan rawatan IVF masih bergantung kepada umur pasangan wanita tersebut. Ini boleh dilihat apabila kesemua pusat fertiliti akan memberikan kadar kejayaan rawatan IVF mereka mengikut umur pasangan wanita yang menjalani rawatan IVF dan bukanlah kepada faktor / punca ketidaksuburan pasangan tersebut.

Apakah ‘Biological Clock’ seorang wanita?
Wanita secara semula jadi mempunyai ‘biological clock’ atau pusingan biologi. Ini adalah terminologi yang digunakan untuk mengukur jangka hayat reproduktif seseorang wanita. Hakikatnya, semakin meningkat umur seseorang wanita, kadar kesuburannya akan menurun disebabkan penurunan dari segi kualiti dan kuantiti telurnya. Seseorang wanita akan mengalami menopaus apabila kesemua telurnya kehabisan. Hayat reproduktif wanita tersebut akan berakhir apabila ianya kehabisan telur.
Wanita dilahirkan dengan semua telur di dalam ovari kita. Akan tetapi telur-telur atau kadangkala dikenali sebagai folikel itu tidak matang lagi. Terdapat 1 hingga 2 juta telur di dalam ovary yang akan melalui proses ‘atresia’ di mana telur tersebut mengecut dan diserap oleh badan. Apabila baligh, hanya akan tinggal 400,000 telur. Akan tetapi, tidak semua telur tersebut akan menjadi matang. Pada akhirnya, sebanyak 400 biji telur sahaja yang akan matang dan melalui proses ovulasi sepanjang hayat reproduktif seseorang wanita!
Apabila umur seseorang wanita meningkat, bukan sahaja bilangan telurnya berkurangan, tetapi kualiti telur tersebut juga adalah lebih rendah. Oleh itu, tidak hairan sekiranya kadar keguguran adalah lebih tinggi di kalangan wanita yang lebih berumur.
Faktor-faktor wanita Melengahkan Kehamilan
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada wanita Malaysia melengahkan kehamilan. Salah satu faktor utama yang telah dikenal pasti adalah disebabkan wanita Malaysia memilih untuk menangguhkan perkahwinan bagi membina kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Di samping itu, terdapat sebilangan besar wanita yang sudah berkahwin pula tidak mahu hamil dengan segera atas alasan kesibukan karier, ketidakstabilan kewangan serta ingin membeli keperluan lain seperti rumah dan kereta.
Mungkin ramai yang bertanggapan bahawa mereka boleh lari dari ‘biological clock’ mereka demi mencipta kerjaya dahulu dengan menggunakan rawatan teknologi terkini. Mereka merasakan kerjaya adalah penting dan berpendapat rawatan kesuburan seperti IVF adalah menjamin atau insurans untuk mereka membina keluarga pada usia yang lebih matang.
Imej media juga banyak mempamerkan artis-artis wanita Barat yang dikatakan telah memperolehi kejayaan dalam kerjaya tetapi masih mampu hamil pada usia yang matang ie 40an. Ianya seolah-olah memberi gambaran kepada wanita yang mereka mampu mendapatkan segala-galanya dengan mudah, iaitu kerjaya dan keluarga. Akan tetapi, realitinya besar kemungkinan majoriti wanita tersebut terpaksa melalui rawatan kesuburan yang memakan belanja yang mahal disebabkan masalah ketidaksuburan untuk mendapatkan zuriat.
Selain dari itu, ada pula yang tidak sengaja terlengahkan waktu untuk mencari punca ketidaksuburan atau mendapatkan rawatan untuk kesuburan. Bagi yang mempunyai masalah saluran peranakan tersumbat ataupun sperma yang tidak elok, usahlah melengahkan waktu terlalu lama untuk memperbetulkan keadaan tersebut. Saluran peranakan apabila sudah tersumbat ataupun rosak, walaupun apabila ianya telah diperbetulkan semula, kadar keperatusan kehamilan adalah jauh lebih rendah berbanding dengan kejayaan IVF jika umur wanita itu masih kurang dari 35 tahun.
Pada hakikatnya, walaupun rawatan teknologi kesuburan boleh mengatasi kebanyakan masalah kesuburan, salah satu faktor kejayaan IVF itu bergantung kepada umur pasangan wanita. IVF bukanlah 100% berjaya dan bukanlah ‘magic bullet’ yang boleh digunakan untuk mendapatkan zuriat pada usia yang semakin meningkat.
Dr Tasha ada terjumpa pasangan di mana umur pasangan wanita adalah 41 tahun dan bertanya kenapakah mengambil masa yang lama untuk mendapatkan nasihat pakar kesuburan. Rupa-rupanya mereka telahpun cuba mendapatkan nasihat dari doktor pada umur 37 tahun mengenai fertiliti dan diberitahu dia masih muda dan rawatan kesuburan tidak perlu dibuat. Oleh itu, bukan sahaja masyarakat umum malah pakar perubatan juga perlu prihatin dan memberikan nasihat yang lebih tepat apabila menyedari hakikat ‘biological clock’ seseorang wanita.
Kesimpulan
Setiap wanita perlu meneliti dan membuat keputusan mengenai pilihan di dalam kehidupannya. Kita kadangkala tidak mampu menggapai semuanya pada waktu yang sama. Ada kalanya, pengorbanan terpaksa dilakukan dengan memberi perhatian kepada perkara yang dirasakan penting pada waktu itu. Wanita perlu prihatin akan tahap kesuburannya yang akan mula menurun bermula dari umur awal 30-an dan mungkin lebih ketara selepas umur 35 tahun.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
PENGUMUMAN SEMINAR IVFKU KEDUA PADA 18 APRIL 2014
Seminar IVFku yang kedua akan diadakan pada 18 April 2014 di KL Fertility Centre. Bagi yang berminat sila tempah duduk anda secepat mungkin dengan menelefon KL Fertility Centre di 0320933500 kerana tempat duduk adalah terhad. Seminar ini adalah percuma. IVFku adalah program IVF pada kos yang berpatutan. Usahlah menangguhkan rawatan IVF disebabkan bajet yang tidak mencukupi. Bagi wanita yang tidak memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan untuk program IVFku usahlah risau, sila hadiri juga seminar tersebut untuk mengetahui apakah opsyen rawatan IVF yang lebih bersesuaian bagi mereka.
**Pengumuman penting. Seminar IVFku pada 18hb April 2015 telah ditundakan kepada 25hb April 2015 oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maklum.**
Antara Fakta dan Mitos – 1001 Persoalan mengenai kesuburan
Apabila satu pasangan ingin hamil, mungkin pelbagai persoalan akan timbul mengenai isu kesuburan dan cara-cara untuk tingkatkan peluang untuk hamil. Mereka akan menerima bermacam-macam nasihat dari saudara-mara atau rakan yang kadang-kala benar atau sebaliknya. Dalam post blog pada kali ini, Dr Tasha akan menjawab mengenai Fakta atau mitos persoalan kesuburan untuk memberikan pencerahan kepada pembaca-baca blog.
1. Untuk meningkatkan peluang untuk kehamilan, lakukanlah hubungan seks setiap hari pada sepanjang bulan

MITOS. Jika hubungan seks dilakukan pada setiap hari ianya boleh mengurangkan jumlah bilangan sperma dalam tempoh berpanjangan. Sebaliknya sekiranya anda ingin meningkatkan peluang kehamilan pada masa kesuburan, salah satu alternatif bagi pasangan ialah dengan penggunaan Kit peramal ovulasi ie OPK. Lakukanlah hubungan intim, 3 hari berturut-turut sebaik sahaja keputusan OPK itu positif. Ini terutamanya bagi pasangan di mana pihak lelakinya mempunyai bilangan sperma yang normal. Tidak perlu untuk melakukan seks lebih dari 2 kali sehari hanya semata-mata berfikir ianya akan meningkatkan peluang kerana sebaliknya mungkin akan berlaku. Untuk kebanyakan pasangan TTC cukuplah sekadar melakukan seks selang sehari pada waktu subur.
2. Masalah ketidak suburan selalunya berpunca dari pihak wanita.

MITOS. Wanita seringkali dipersalahkan terutamanya dalam masyarakat kita apabila pasangan tersebut mengalami masalah untuk hamil. Masalah ketidaksuburan sebenarnya juga kerap kali berpunca dari pihak lelaki. 35% kes ketidaksuburan berpunca dari wanita, 35% dari lelaki, 20% kedua-kedua belah pihak dan 10% kes puncanya tidak diketahui. Oleh itu, apabila sesuatu pasangan ingin mendapatkan rawatan untuk kesuburan, adalah digalakkan agar kedua-dua suami dan isteri datang bersama untuk menjalani pemeriksaan kesuburan.
3. Sekiranya tidak dapat hamil, pergilah mengambil anak angkat. Anda akan hamil sebaik sahaja selepas berbuat demikian.
MITOS. Dr Tasha percaya ramai pasangan yang sudah lama mengingini zuriat telah menerima nasihat tersebut. Walaupun anda pernah mendengar yang ini telah berlaku kepada sesuatu pasangan, ianya benar-benar berlaku bagi segelintir pasangan iaitu dalam anggaran hanya 5%. Realitinya bagi kebanyakan pasangan ialah mereka masih tidak dapat hamil walaupun selepas mengambil anak angkat.
4. Jangan terlalu stress. ‘Just relax’ barulah dapat hamil.

MITOS. Sebaliknya, masalah ketidaksuburan akan memberikan lebih tekanan perasaan kepada pasangan yang mempunyai masalah tersebut. ‘Stress’ dihadapi oleh semua orang lebih-lebih lagi pada zaman serba moden ini. Adalah lebih baik sekiranya pasangan tersebut pandai menangani sebarang stress yang dialaminya dengan mengambil langkah-langkah yang tertentu. Apa yang seringkali Dr Tasha dengar dari pasangan-pasangan ialah mereka terlalu sibuk bekerja sehingga keletihan dan tidak ada masa untuk berehat, apatah lagi untuk melakukan hubungan intim. Oleh itu, bagi pasangan yang mempunyai jadual bekerja yang sibuk, tidak salah sekiranya mengambil cuti pendek. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai kitaran haid teratur untuk mengatur cuti tersebut semasa ‘waktu suburnya’ untuk meningkatkan lagi peluang kehamilan.
5. Terdapat posisi seks tertentu yang boleh meningkatkan peluang untuk hamil.
MITOS. Kajian saintifik tidak membuktikan yang posisi seks yang tertentu boleh meningkatkan peluang kehamilan. Akan tetapi setengah-tengah posisi seperti ‘missionary position’ mungkin akan lebih membantu sperma. Menukar-nukar posisi seks berlainan juga digalakkan agar pasangan tidak bosan.
6. Penggunaan air liur semasa hubungan seks boleh mengurangkan peluang kehamilan.
FAKTA. Kadang-kala setengah-tengah pasangan mungkin ada menggunakan air liur sebagai ‘pelincir’ sewaktu hubungan seks. Akan tetapi, air liur sebenarnya adalah tidak elok untuk sperma. Sekiranya anda memerlukan ‘pelincir’ semasa seks gunakanlah pelincir yang ‘sperm-friendly’ seperti ‘Preseed’ ataupun ‘Conceive Plus’. KY Jelly juga adalah tidak ‘sperm-friendly’.
7. Telur matang akan hanya hidup selama 12-24 jam selepas dirembes keluar dari kilang ovari. Manakala sperma boleh hidup selama 3-5 hari.
FAKTA. Memang benar telur matang hanya hidup selama 12-24 jam. Oleh itu, jika anda ingin tingkatkan peluang kehamilan ‘timing’ adalah agak penting. Akan tetapi janganlah terlalu taksub sehinggakan penggunaan kaedah-kaedah untuk menentukan waktu kesuburan anda menyebabkan kedua-dua menjadi terlalu ‘stress’. Bagi pasangan yang mempunyai ‘PJJ’, mungkin ini terpaksa dibuat untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Sekiranya terdapat apa kemusykilan mengenai fakta-fakta mengenai kesuburan, bertanyalah kepada doktor yang merawati anda. Dr Tasha doakan agar lebih ramai lagi pasangan akan mencapai impian mereka untuk menjadi ibu dan ayah satu hari nanti!
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Diet untuk pesakit endometriosis

“Doktor adakah pemakanan atau diet yang elok untuk pesakit endometriosis” Persoalan di atas kerap kali telah ditanyakan kepada Dr Tasha oleh ramai pesakit yang menghidapi endometriosis. Adalah diharapkan post blog kali ini serba sedikit dapat menjawab persoalan tersebut. Punca endometriosis
Kita masih tidak dapat mengetahui apakah punca kenapakah endometriosis berlaku terutamanya di setengah-tengah kalangan wanita yang akan mengalami endometriosis yang teruk. Terdapat theori yang menyatakan ianya adalah keturunan / genetik. Apa yang diketahui ialah endometriosis dirangsangkan oleh hormon estrogen (hormon wanita). Oleh itu, masalah endometriosis akan dialami oleh wanita yang mempunyai paras estrogen yang berlebihan di dalam badan mereka. Kerapkali selepas pembedahan untuk membuang cyst endometriosis wanita akan diberikan ubat hormon seperti Zoladex atau Lucrin. Fungsi ubat-ubatan tersebut adalah untuk merendahkan paras hormon estrogen dan haid terhenti buat sementara waktu agar cebis-cebisan endometriosis yang masih berada di dalam rongga pelvis dapat dikurangkan. Ini diharapkan dapat mengurangkan masalah endometriosis tersebut buat sementara waktu. Tidak memeranjatkan jika segelintir pesakit akan hamil sendiri selepas rawatan tersebut.
Immunisasi tubuh badan yang rendah
Ada juga theori yang menyatakan endometriosis adalah lebih kerap di kalangan wanita yang mempunyai immunisasi atau daya ketahanan tubuh badan yang lebih rendah. Ini ialah kerana apabila immunisasi rendah, tubuh badan tersebut tidak dapat menghapuskan, menyerap dan menghalang sisa lapisan endometriosis di dalam badan.
Diet untuk pesakit endometriosis
Oleh itu, diet yang dicadangkan oleh endometriosis kebanyakannya adalah bertujuan:
- Mengelakkan pemakanan yang mempunyai estrogen semulajadi (‘phytoestrogen’) atau xeno-estrogen (estrogen sintetik atau kimia yang juga bertindak seperti estrogen) bagi mengimbangi semula paras hormon di dalam badan.
- Meningkatkan daya ketahanan atau immunisasi tubuh badan
- Mengelakkan pemakanan yang boleh merangsang inflamasi berterusan di dalam tubuh badan
- Memastikan fungsi usus dan hati adalah baik. Ini ialah kerana kedua-dua organ tersebut terlibat di dalam proses penyerapan zat penting dan pembuangan sisa / toksin.
Pemakanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan oleh pesakit endometriosis
- Pemakanan yang mengandungi gandum. Ada kajian yang menyatakan gandum boleh menyebabkan inflamasi dan mengurangkan penyerapan galian penting seperti zink dan zat besi e.g roti putih, kek, pasta dan snek ringan yang mengandungi gandum
- Gula terutamanya gula yang telah diproses (‘refined sugar’) Pemakanan gula yang berlebihan boleh menyebabkan hormon insulin berlebihan yang seterusnya boleh menyebabkan proses ovulasi terganggu.
- Marjerin
- Kafein termasuklah ‘decaf’ kafein kerana ianya mengandungi phyto-estrogen. Di samping itu, ianya boleh menyebabkan paras gula di dalam darah terganggu.
- Produk Tenusu. Ianya juga mempunyai elemen yang boleh meningkatkan inflamasi di dalam badan
- Daging merah. Perbanyakkan pemakanan daging putih (seperti ayam) dan yang organik
- Soya kerana ianya mempunyai kandungan phyto-estrogen yang tinggi terutamanya susu soya dan tofu.
- Makanan berlemak
Pemakanan yang elok bagi pesakit endometriosis:
1. Lebihkan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan segar yang mengandungi zat galian yang penting. Brokoli dan ‘cauliflower’ boleh merendahkan paras hormon estrogen yang berlebihan di dalam badan
2. Kekacang. Contoh kacang badam dan walnut
3. ‘Oatmeal’ yang organik yang kaya dengan zat galian dan mineral
4. Makanan berserat
5. Beras atau pasta perang
6. Beri goji – antioxidant yang bagus dan juga boleh meningkatkan kualiti telur yang dihasilkan
7. Lemak berkhasiat seperti omega 3 fatty asid, avocado, ‘flaxseed’ dan minyak zaitun
8. Minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
REFERENCES:
1. Endometriosis Diet. Heal Naturally with Nutritional Therapy. Author: Barbara Williams
2. How to become pain Free and Naturally pregnant with the diet for Endometriosis. Author: Kathy Mackay
Seminar IVF Journey 24 Jan 2015
Bagi semua pasangan TTC, KL Fertility Centre akan mengadakan Seminar IVF pada 24 Januari 2015. Bagi pasangan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai prosedur IVF ini digalakkan untuk menghadiri seminar percuma ini. Pihak KL Fertility Centre juga akan memberikan diskaun istimewa bagi IVF pakej bagi mereka yang mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan IVF mereka. Seminar ini akan dijalankan di dalam Bahasa Inggeris dan diberikan oleh Dr Tasha dan Dr Helena. Sekiranya ada permintaan tinggi untuk mengadakan seminar tersebut di dalam Bahasa Melayu, ianya boleh dilakukan. Permintaan ini boleh diajukan kepada email Dr Tasha drnatashanor@gmail.com.
Seminar IVF Journey
Tarikh: 24th Januari 2015
Masa: 0930 – 1230pm
Tempat: Conference Room, 3rd Floor, KLSMC, Wisma Perintis, 47, Jln Dungun, Bukit Damansara,50490, KL
Perlu membuat booking untuk mendapatkan tempat dengan menelefon 0320933500 atau email event@klfertility.com
Di ambang 2015

Pejam celik, tanpa disedari kita sudahpun berada di ambang tahun baru – 2015. Sebagai rakyat Malaysia, tahun 2014 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran. Dugaan menimpa kita satu persatu. Mungkin dari segi individu pula, mungkin antara kita telahpun mengharungi ujian dan dugaan yang berbeza-beza dariNya. Adalah diharapkan agar kita semua tetap tabah dan cekal untuk menempuhi segala rintangan.
Bagi pasangan yang sudah berjaya hamil, tahniah Dr Tasha ucapkan. Manakala bagi pasangan yang masih TTC, usahlah bersedih hati dan kecewa. ‘Be strong. Life must go on.’ Diharapkan pasangan TTC sudahpun berbincang baik-baik antara suami dan isteri apakah rancangan mereka untuk tahun ini. Ambillah nasihat dan pandangan dari doktor yang merawati, apakah jalan terbaik bagi mereka untuk hamil. Yang pasti usaha dan ikhtiar itu perlu dibuat agar dapat akhirnya menimang cahaya mata. Akan tetapi, kita hanya merancang tapi hanya Tuhan yang akan menentukannya.
Di sini, Dr Tasha ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih bagi semua pembaca dan penyokong blog ini yang telah sudi untuk memberikan komen/ soalan. Rata-ratanya tahun ini, respons dari para pembaca adalah amat baik. Diharapkan agar blog ini dapat terus memberikan manfaat kepada para pembaca terutamanya bagi pasangan TTC.
Akhir kata, Selamat Tahun Baru!
Ebook
Ebook Percuma yang ditunggu-tunggu untuk para pembaca blog telah pun siap akhirnya. Buku ini merangkumi 7 langkah-langkah berkesan yang boleh diambil oleh pasangan yang ingin hamil. Ianya sebenarnya merupakan kompilasi topik-topik di dalam blog Dr Tasha dan juga termasuk tambahan informasi yang lain. Adalah diharapkan agar pembaca Ebook ini akan mendapatkan manfaat dari tips-tips yang diberikan dan sebagai motivasi untuk menyambung ikhtiar agar satu hari nanti zuriat yang dinanti-nantikan akan hadir dalam kehidupan masing-masing dengan izinNya.
Klik di bawah untuk mendapatkan Ebook tersebut. Email susulan akan dihantar untuk download Ebook tersebut.
Penantian 2 minggu itu satu penyeksaan
Ramai wanita setelah melalui rawatan kesuburan mereka terutamanya rawatan IVF seringkali terpaksa menunggu selama 2 minggu untuk mengetahui sama ada mereka hamil atau pun tidak. Penantian walaupun hanya 2 minggu itu kerapkali dirasakan seolah-olah berkurun-kurun lamanya. Satu penantian yang menyeksakan! Sebarang simptom perlu diinterpretasikan. Rasa loya dan buah dada lebih sensitif… Adakah simptom itu petanda awal kehamilan? Perut sakit.. Adakah rawatan itu tidak berjaya. Pelbagai persoalan bermain-main di minda. Kegelisahan, stres, harapan dan juga perasaan takut bercampur-baur untuk menghadapi kenyataan masa hadapan.

Tips untuk melalui 2 minggu tersebut dengan tenang:
- Teruskan pengambilan ubat yang diberikan selepas rawatan kesuburan. Lazimnya, Ubat-ubatan tersebut adalah penting untuk menguatkan rahim. Akan tetapi, setengah-tengah pesakit mungkin akan mendapati kesan sampingan. Sekiranya teruk hendaklah berbincang dengan doktor yang merawati.
- Mengambil ujian air kencing atau darah pada masa yang telah ditetapkan oleh doktor. Ujian jika dilakukan terlalu awal berkemungkinan besar tidak tepat. Tidak hairan jika ramai antara anda yang mungkin mencuri-curi untuk membuat ujian kehamilan lebih awal dari sepatutnya.
- Sambung senaman ringan seperti berjalan, berenang dan yoga yang tidak melibatkan senaman berimpak tinggi seperti aerobik
- Bersamalah sahabat / keluarga anda yang boleh menghibur dan menggembirakan anda.
- Buatlah aktiviti yang boleh menenangkan fikiran anda
- Mula menulis journal agar dapat meluahkan perasaan anda
- Janganlah membaca blog-blog yang boleh menakut-nakutkan anda dengan pengalaman negatif. Teruskan membaca hanya blog/ pengalaman yang positif buat masa ini.
- Bagi yang menganut agama Islam / agama lain hendaklah sentiasa mendoakan yang terbaik. Mudah-mudahan zuriat yang diidam-idamkan selama ini akan menjadi kenyataan.
- Hendaklah sentiasa berfikiran positif dan cekalkan hati untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Pada masa ini hendaklah tawakal dan bersedia untuk ‘let go’.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.


















