Blog Archives
Day 3 atau Day 5 Embrio Transfer?
“Doktor, bilakah patut saya membuat Embrio Transfer. Adakah pada hari Day 3 atau Day 5? “
Selepas prosedur penyedutan telur (‘Egg pick up’ / OPU), prosedur pemindahan embrio (ET) lazimnya akan dibuat 3 hari selepas itu iaitu tiga hari selepas persenyawaan dilakukan.
Jika dilihat pada awal sejarah rawatan IVF, ET selalunya dilakukan 1 atau 2 hari selepas OPU. Ini disebabkan oleh teknologi makmal IVF yang masih berada pada peringkat awal tidak mampu untuk memelihara embrio dalam keadaan yang baik. Oleh itu, ET akan dilakukan secepat mungkin kerana rahim mempunyai keadaan persekitaran yang lebih baik untuk ketumbesaran embrio.
Untuk membaca perbezaan antara hari 3 dan hari 5 embrio. Sila baca post blog tersebut:
https://drnatashanorfertility.com/2015/06/09/rawatan-ivf-apa-yang-berlaku-di-dalam-makmal-ivf/
Innovasi makmal IVF
Lazimnya ET akan dilakukan tiga hari selepas persenyawaan atau hari OPU iaitu Day 3 Embrio. Day 3 Embrio adalah pada peringkat ‘cleavage stage’ dan mengandungi 4 – 8 cells. Akan tetapi dengan perkembangan teknologi dan innovasi baru di dalam kultur media yang digunakan dalam makmal IVF diturut serta dengan peningkatan kemahiran para embriologis telah membenarkan embrio dipantau dan dikultur di dalam inkubator makmal IVF sehingga 5-6 hari. Embrio yang terbentuk 5 hari selepas persenyawaan dikenali sebagai ‘blastocyst’.
Adalah dipercayai embrio yang berjaya sampai dari hari ke 3 kepada hari 5 embrio atau blastocyst selalunya merupakan embrio yang kuat dan mempunyai potensi ketumbesaran serta implantasi yang lebih baik. Oleh itu, sekiranya embrio tersebut dipilih untuk dipindahkan ke dalam rahim akan memberikan kadar kehamilan yang lebih tinggi. Perlu diingati, hanya 35-50% day 3 embrio akan berjaya sampai kepada day 5 atau ‘blastocyst’ stage. Lebih kurang 5-10% kes di mana kesemua day 3 embrio telah berhenti membesar dan tidak berjaya sampai ke blastocyst stage. Oleh itu, prosedur pemindahan embrio tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan embrio.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kebarangkalian embrio berjaya sampai kepada ‘Blastocyst’
1. Potensi ‘Development’ atau Ketumbesaran Embrio
Pada hari ketiga, semua embrio yang telah dipersenyawakan akan dipantau dalam makmal IVF oleh pakar embriologis. Embrio tersebut akan diberikan gred berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Tanggapan asas ialah embrio yang bergred baik akan memberikan kadar kejayaan yang lebih baik. Akan tetapi, kajian telah menunjukkan bahawa tidak semua embrio yang kelihatan ‘cantik’ dan telah diberikan gred baik sebenarnya akan memberikan kehamilan kerana mereka mungkin sebenarnya tidak mempunyai potensi ‘development’ untuk berbuat demikian. Salah satu sebab ialah berkemungkinan embrio tersebut sebenarnya mempunyai kandungan genetik yang abnormal.
2. Kultur Makmal IVF

Tidak semua Makmal IVF dan embriologis berupaya untuk mengendalikan dan memelihara embrio sehingga ke peringkat ‘blastocyst’. Media kultur yang bersesuaian dan kemahiran teknikal pakar embriologis juga akan memberikan impak. Di samping itu, kaedah stimulasi bersesuaian yang diberikan adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang sama ada embrio yang berkualiti baik dapat dihasilkan.
Kajian Day 3 vs Day 5 Embrio Transfer. Manakah mempunyai kadar kehamilan yang lebih tinggi?
Kajian-kajian telah menunjukkan yang Day 5 Embrio mempunyai kadar kejayaan kehamilan yang lebih tinggi berbanding dengan Day 3 Embrio. Akan tetapi, bukan semua makmal IVF mendapati keputusan yang sama. Malah, ada pula yang mendapati kehamilan mereka menurun dengan Day 5 Embrio Transfer. Pembesaran dan pemantauan Embrio Day 3 kepada Day 5 memerlukan kultur media yang elok untuk membekalkan persekitaran stabil dan nutrien yang penting bagi pembesaran optimum embrio. Di samping itu, ianya memerlukan kemahiran teknikal yang lebih tinggi dan adalah lebih rumit bagi pakar embriologis.
Adakah Day 3 Embrio akan menjadi lebih baik jika dikultur seterusnya sehingga ke peringkat blastocyst?
Ramai bertanggapan salah yang Day 3 Embrio sekiranya disimpan dengan lebih lama di dalam kultur media makmal akan menjadi bertambah baik apabila nutrien elok dibekalkan kepadanya. Tanggapan ini adalah tidak benar, embrio tersebut tidak akan berubah sama sekali. Potensi embrio tersebut untuk implantasi adalah sama, perkembangan teknologi moden makmal IVF tidak mampu untuk menambahbaik atau mengubah potensi ‘development’ atau ketumbesaran embrio tersebut.
Kesimpulan
Keputusan sama ada Day 3 atau day 5 bergantung kepada individu masing-masing.
Jika embrio yang terhasil adalah bergred baik dan banyak ie lebih dari 4 embrio, Day 5 ET mungkin adalah opsyen yang bagus kerana embrio Day 5 mempunyai potensi untuk memberikan mereka kehamilan yang tinggi jika ianya dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi bagi wanita yang mempunyai embrio yang tidak banyak dan kurang elok pula, adalah lebih baik sekiranya Day 3 sahaja dilakukan.
Ini juga bergantung kepada makmal IVF di mana rawatan IVF tersebut dilakukan dan juga faktor wanita tersebut, seperti sejarah IVF yang gagal atau umur wanita tersebut.
Kajian-kajian giat sedang dijalankan, adalah diharapkan jawapan yang lebih jitu dapat diberikan dalam masa yang hadapan agar ianya dapat memberikan lebih maklumat kepada para doktor agar the ‘best treatment’ dapat diberikan kepada para pesakit.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Kuiz rawatan kesuburan: Adakah saya calon untuk IUI ataupun IVF?
Ramai antara pasangan TTC mungkin akan mempunyai dilemma sama ada patut membuat rawatan IUI ataupun IVF. Bagi yang mungkin menghadapi masalah tersebut, ambillah kuiz di bawah untuk menentukan sama ada anda lebih sesuai untuk rawatan IUI ataupun IVF.
Kuiz rawatan IUI ataupun IVF
1. Berapakah umur anda?
a. < 30 tahun
b. 30 – 32 tahun
c. 33 – 34 tahun
d. 35-39 tahun
d. 40 tahun ke atas
2. Berapa lamakah anda telah cuba untuk hamil?
a. < 1 tahun
b. 2 – 3 tahun
c. 4 – 5 tahun
d. Lebih dari 5 tahun
3. Adakah anda telah melakukan ujian kesuburan untuk mengenalpasti punca ketidaksuburan?
a. Ya
b. Tidak
Sekiranya Ya. Apakah ujian kesuburan yang telah dilakukan ______________________________
4. Adakah anda/ pasangan anda telah melakukan ujian sperma.
a. Ya dan keputusannya adalah normal
b. Ya dan keputusannya adalah abnormal. Sila email keputusan sperma jika ada_________________________________
c. Tidak
5. Adakah anda pernah memeriksa ‘ovarian reserve’ anda?
a. i. Ya. Keputusannya adalah memuaskan
a.ii. Ya. Keputusannya adalah rendah
b. Tidak
6. Adakah anda mempunyai masalah seperti di bawah?
a. PCOS
b. Endometriosis.
c. Saluran peranakan / tiub tersumbat
d. Sejarah kehamilan ektopik
e. Keguguran berulang-kali
g. Pembedahan di bahagian pelvis. _____________________________
h. Tiada apa-apa masalah.
7. Berapakah budget anda untuk rawatan kesuburan?
a. <RM1000
b. RM1000 – 5000
c. RM5000 – 10000
d.RM10000 – 15000
e. Tidak kisah kos asalkan mendapatkan rawatan terbaik
8. Berapakah BMI anda?
a. <18.5
b. 18.5 – 24.9
c. 25 – 29
d. >30 e. Tidak pasti.
Sila kira BMI anda di sini.
9. Adakah kitaran haid anda teratur?
a. Ya
b. tidak
c. Tidak pasti. Sila KLIK di sini.
10. Faktor di bawah yang manakah anda lebih pentingkan?
a. Tidak kisah mencuba rawatan ringkas yang mungkin lebih murah tetapi mempunyai kadar kejayaan yang lebih rendah
b. Ingin hamil secepat mungkin jadi tidak kisah sekiranya perlu rawatan yang lebih mahal tetapi kejayaan yang lebih tinggi c. Tiada faktor di atas
d. Faktor lain. _____________________________________________
11. Adakah anda/ pasangan anda bekerja sebagai tentera/ staff hospital kerajaan/ bekerja dengan kerajaan?
a. Ya i. kerajaan ii. Tentera
b. Tidak
Hantarlah jawapan anda kepada drnatashanor@gmail.com. Sila berikan beberapa hari untuk mendapatkan jawapan dari Dr Tasha ya. Selamat mencuba kuiz!
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Ebook
Ebook Percuma yang ditunggu-tunggu untuk para pembaca blog telah pun siap akhirnya. Buku ini merangkumi 7 langkah-langkah berkesan yang boleh diambil oleh pasangan yang ingin hamil. Ianya sebenarnya merupakan kompilasi topik-topik di dalam blog Dr Tasha dan juga termasuk tambahan informasi yang lain. Adalah diharapkan agar pembaca Ebook ini akan mendapatkan manfaat dari tips-tips yang diberikan dan sebagai motivasi untuk menyambung ikhtiar agar satu hari nanti zuriat yang dinanti-nantikan akan hadir dalam kehidupan masing-masing dengan izinNya.
Klik di bawah untuk mendapatkan Ebook tersebut. Email susulan akan dihantar untuk download Ebook tersebut.
Seminar IVF Journey pada 8 Nov 2014
Bagi semua pasangan TTC, KL Fertility Centre akan mengadakan Seminar IVF pada 8 November 2014. Bagi pasangan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai prosedur IVF ini digalakkan untuk menghadiri seminar percuma ini. Pihak KL Fertility Centre juga akan memberikan diskaun istimewa bagi IVF package bagi mereka yang mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan IVF dengan Dr Tasha. Seminar ini akan dijalankan di dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya ada permintaan tinggi untuk mengadakan seminar tersebut di dalam Bahasa Melayu, ianya boleh dilakukan. Permintaan ini boleh diajukan kepada email Dr Tasha drnatashanor@gmail.com.
Berapa lamakah perlu saya tunggu untuk hamil?
“Doktor berapa lamakah perlu saya tunggu untuk hamil. Kami sudahpun berkahwin 3 bulan dan saya masih lagi tidak mengandung”

Statistik telah menunjukkan yang peluang untuk hamil bagi satu pasangan banyak bergantung kepada umur pasangan wanitanya. Fertiliti seseorang wanita menurun semakin melangkau menaik umur wanita tersebut. ‘Biological clock’ wanita tidak dapat diundur kembali.
Apakah peluang untuk hamil?
Berdasarkan kajian saintifik, sekiranya seseorang wanita melakukan hubungan seksual pada waktu hari suburnya dengan pasangan lelaki yang mempunyai umur yang hampir sama, kebarangkalian untuknya hamil adalah seperti berikut:
Umur pasangan wanita Peluang untuk hamil
19 – 26 tahun 50%
27 – 34 tahun 40%
35 – 39 tahun 30%

Oleh itu, kesuburan seseorang wanita akan perlahan-lahan menurun dari umur lewat 20an dan ketara selepas umur 35 tahun. Manakala bagi lelaki pula kesuburan mereka hanya akan menurun dengan ketara pada umur lewat 40an. Kesimpulannya, janganlah berlengah-lengah untuk hamil dan menjadi seorang ibu. Dapatkanlah rawatan seawal yang mungkin agar peluang anda untuk hamil adalah tinggi. Bagi yang sudah lebih berumur pula, usahlah terlalu runsing dan berlengah-lengah kerana walaupun peluang menurun, ‘the possibility of pregnancy is not impossible’! Oleh itu, sekiranya anda ingin hamil ataupun sudah mencuba hamil tetapi gagal, jumpalah doktor anda.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Diet untuk pesakit PCOS
“Doktor apakah diet terbaik untuk pesakit PCOS?”
Insulin resistan di kalangan pesakit PCOS
Insulin adalah sejenis hormon di dalam badan kita. Ianya berfungsi untuk membolehkan sel-sel di dalam badan menyerap gula dari darah untuk kegunaan sel tersebut. Pesakit PCOS mempunyai masalah ‘Insulin Resistan’ di mana sel-sel di dalam badannya tidak respon dengan baik kepada hormon insulin. Ini mengakibatkan hormon insulin menjadi tinggi di dalam darah dan menyebabkan hormon lelaki testosteron turut meningkat.
Ketidakseimbangan hormon-hormon tersebut seperti insulin dan testosteron akan memberi kesan buruk kepada ovulasi di mana folikel-folikel di dalam ovari wanita tidak membesar dan mematang. Oleh itu, pesakit PCOS sukar untuk jatuh hamil. Di samping itu, hormon insulin yang tinggi boleh meninggikan risiko untuk keguguran berlaku di kalangan pesakit PCOS. Oleh itu, diet untuk PCOS bertujuan untuk menurunkan paras hormon insulin dan juga mengembalikan keseimbangan hormon-hormon di dalam badan.
Diet untuk Pesakit PCOS
Kebanyakan pesakit PCOS mempunyai berat badan yang berlebihan. Diet secara umumnya bertujuan untuk membolehkan seseorang individu untuk menghilangkan berat badan yang berlebihan tanpa mengkompromi tahap kesihatan mereka. Tidak dinafikan, setengah-tengah diet mampu menurunkan berat badan seseorang pada peringkat awalnya tetapi untuk jangka masa yang panjang, ia tidak berjaya menstabilkan berat badan wanita di tahap yang ideal. Ini menyebabkan wanita tersebut kembali menaikkan semula berat badan yang telah diturunkan. Oleh itu, diet ideal adalah diet yang mampu menghilangkan berat badan wanita pada waktu jangka pendek dan dapat mengekalkan berat badan yang ideal tersebut dalam jangka masa panjang.
1. Low GI diet
GI (Glycaemic Index) ialah tahap pengukuran nilai karbohidrat untuk sesuatu makanan berupaya menaikkan paras glukos di dalam darah. Nilai rujukan GI ialah 0 – 100. Oleh itu, apabila seseorang individu memakan makanan yang mempunyai GI tinggi, makanan tersebut akan dihadam dan diserap dengan cepat menyebabkan paras gula dan hormon insulin mendadak naik dan turun. Ini boleh mengakibatkan paras hormon gula yang tidak stabil di dalam badan.
Pesakit PCOS disarankan untuk mengambil low GI diet. Ini ialah kerana makanan yang mempunyai low GI akan dihadam dan diserap pada kadar yang perlahan. Oleh itu, paras gula dan hormon insulin akan menaik dengan perlahan-lahan. Paras gula yang lebih stabil ini mempunyai kesan kesihatan yang baik. Kajian telah membuktikan yang low GI diet berupaya mengawal paras gula dan kolesterol di kalangan pesakit yang menghidapi kencing manis. Low GI diet juga berjaya menurunkan berat badan dengan mengawal nafsu makan dan pesakit merasa kenyang lebih lama. Di samping itu, ia boleh menurunkan paras hormon insulin dan merawati insulin resistan.
Salah satu cara ialah melebihkan pemakanan GI yang rendah dan sederhana ataupun mengkombinasikan pemakanan high GI dan low GI.
Kategori GI:
GI rendah: Kurang dari 55
GI sederhana: 56 – 69
GI tinggi ≥70
Contoh makanan yang mempunyai GI rendah:
Muesli yang tidak bergula, Roti pitta, epal, pear, plum, oren, makaroni, pasta, bake bean, brokoli, karot, kekacang walnut, cashew, cauliflower, capsicum
Contoh makanan yang mempunyai GI sederhana:
Beras basmathi, Beras perang, Roti wholegrain, cereal wholegrain, papaya, madu, pisang, mangga.
Contoh makanan yang mempunyai GI tinggi:
Nasi putih, Cornflakes, Roti putih, donut, biskut, kuih-muih, ice-cream, baked potato, pretzels, tembikai, roti canai, labu.
2. Memakan 5 kali sehari ie memakan dalam kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap
Ini ialah untuk memastikan paras gula di dalam darah tidak naik dan turun seperti ‘yo-yo’ tetapi stabil sepanjang hari. Ianya juga adalah untuk mengelakkan dari ‘binge eating’ apabila anda kelaparan.
Contohnya:
Sarapan pagi
Snek pagi
Tengahari
Snek petang
Supper ( 1 jam sebelum tidur)
Satu kajian juga telah menunjukkan pesakit PCOS yang memakan sarapan pagi yang besar diikuti dengan kuantiti yang semakin berkurangan untuk waktu makan yang seterusnya terutamanya waktu makan malam dapat mengawal paras insulin dalam darah mereka dengan lebih berkesan. Di samping itu, pesakit PCOS digalakkan mengambil pemakanan berserat tinggi, makanan organik dan pengambil Supplemen Omega 3 Fish Oil dan multivitamin.

Pesakit PCOS juga perlulah juga melakukan senaman untuk mengurangkan berat badan berlebihan. Majoriti kes akan memerlukan gabungan senaman dan juga diet untuk mendapatkan keputusan yang optimal akhirnya. Anda hanya perlu menurunkan berat badan sebanyak 5-10% untuk melihat perubahan kepada badan anda.


Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en
Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor
References:
Ubat untuk menguatkan rahim
Ubat untuk menguatkan rahim kadang-kala diberikan untuk wanita tertentu semasa waktu awal kehamilan seperti wanita yang sudah menjalani rawatan kesuburan seperti IUI dan IVF, sering mengalami keguguran awal kehamilan, pendarahan ketika peringkat awal kehamilan disebabkan ‘threatened miscarriage’. Di samping ia kadangkala diberikan untuk wanita yang tidak hamil dan mengalami masalah pendarahan tidak teratur atau berpanjangan. Duphaston juga diberikan untuk menurunkan haid bagi wanita yang menghadapi masalah haid tidak datang.
Ramuan ubat Duphaston
Dydrogesterone. Ianya mengandungi hormon progesteron sintetik. Ianya diberikan dalam bentuk tablet untuk ditelan.
Fungsi Hormon Progesteron
- Menebalkan lapisan dalam dinding rahim semasa fasa luteal kitaran haid sebagai persediaan untuk menerima embrio yang terhasil selepas persenyawaan ovum dan sperma
- Sekiranya kehamilan berlaku, hormon progesteron akan bertindak untuk mengekalkan dan menyuburkan dinding rahim yang tebal pada peringkat awal kehamilan
- Progesteron juga meransangkan kelenjar susu di dalam buah dada untuk membesar semasa hamil
- Menolong mengawal kitaran haid wanita
Dos Duphaston yang diperlukan
Ini bergantung kepada keadaan wanita tersebut. Lazimnya selepas rawatan IUI ianya adalah 1 biji (10mg) dua kali sehari ataupun 1 biji tiga kali sehari. Selepas rawatan IVF ianya adalah 1 biji 3 kali sehari. Bagi wanita yang mengalami masalah ‘threatened miscarriage’ pula dos yang akan diberikan adalah 2 biji 2 kali sehari semasa pendarahan dan turunkan kembali kepada 1 biji 3 kali sehari sekiranya pendarahan sudah berhenti.
Kesan sampingan Duphaston
Kadang-kala ianya mempunyai kesan sampingan seperti sakit kepala, angin dalam perut, sakit buah dada atau loya.
Selamat untuk bayi
Bukti saintifik telah menunjukkan tiada kesan sampingan buruk terhadap bayi yang dikandungi oleh wanita yang diberikan Duphaston. Seandainya anda mengalami kitaran haid yang tidak teratur dan tidak perasan yang anda sebenarnya mengandung serta doktor anda telah memberikan anda ubat Duphaston untuk menurunkan haid anda, ianya tidak akan menyebabkan anda keguguran.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Ketahui waktu subur anda dengan kaedah ‘cervical mucus’
Terdapat beberapa cara untuk seseorang wanita mengetahui waktu suburnya dengan menggunakan perubahan-perubahan badannya yang semulajadi. Selain dari kaedah BBT, menggunakan pertukaran lendiran yang keluar dari pangkal rahim (‘cervix’) juga boleh digunakan untuk menentukan waktu subur anda. Ini dikenali sebagai kaedah ‘cervical mucus’ ataupun Billing’s ovulation method
Perubahan semulajadi yang berlaku
Berbanding dengan kaedah BBT, penggunaan kaedah ‘cervical mucus’ ini anda boleh mengetahui waktu ovulasi anda sebelum ianya berlaku dan merancang waktu untuk bersama dengan pasangan anda waktu paling subur bagi meningkatkan peluang anda untuk hamil!
Ramai mungkin tertanya bagaimana untuk mengetahui sama ada lendiran tersebut adalah normal ataupun tidak. Secara umumnya, ‘cervical mucus’ yang normal berwarna jernih, tidak berbau dan tidak gatal. Manakala sekiranya terdapat jangkitan pada faraj lendiran yang keluar adalah berwarna kuning atau hijau, berbau dan kadang-kala gatal. Sekiranya tidak pasti, berjumpalah dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. Dr Tasha juga tidak galakkan penggunaan pembersihan faraj dalaman untuk wanita untuk membersihkan lendiran faraj ini kerana menyangkakan ianya ‘kotor’. Perbuatan ini kadang-kala dikenali sebagai ‘douching’ kerana ianya mungkin boleh menukarkan persekitaran faraj terutamanya pH faraj dan membuang bakteria-bakteria baik di dalam faraj kita.
Fungsi ‘cervical mucus’
Pengeluaran lendir dari faraj anda adalah satu perkara yang normal dan semulajadi. Apabila seseorang wanita akan ovulasi, terdapat perubahan hormon di dalam badannya. Hormon estrogen akan merangsangkan pangkal rahimnya (cervix) untuk mengeluarkan lendir (cervical mucus)

Apabila hubungan seks dilakukan, sperma akan dilepaskan di dalam faraj wanita tersebut. Sperma tersebut perlu berenang dari faraj, memasuki pangkal rahim (‘cervix’), melalui rahim dan seterusnya ke arah saluran peranakan wanita untuk mempersenyawakan telur. Perjalanan yang akan dilalui oleh sperma itu adalah rumit dan hanya sperma yang paling kuat serta sihat akan sampai ke destinasi akhirnya. Oleh itu, sperma itu memerlukan persekitaran yang elok untuk membantunya sampai kepada telur. ‘Cervical mucus’ yang dirembeskan semasa waktu subur pasangan wanitanya dapat membekalkan persekitaran baik ini dengan melancarkan perjalanan sperma, melindunginya dari persekitaran dan memberikan nutrisi kepadanya. Cervical mucus ini akan dirembeskan lebih kurang 5 hari sebelum hari ovulasi / subur anda.
Pertukaran ‘Cervical mucus’ yang akan berlaku sepanjang kitaran haid anda:
Cervical mucus Kitaran Haid Tahap Kesuburan
Kering atau melekit Selepas haid Sangat Rendah
Berkrim seperti lotion Beberapa hari selepas haid habis Rendah
Licin dan berair Ovulasi hampir Tinggi
Telur putih Ovulasi sangat-sangat hampir Sangat Tinggi
Kering Selepas Ovulasi Rendah
Hari puncak adalah hari TERAKHIR ‘cervical mucus’ yang sangat berair, byk dan ‘stretchy’. Hari ini boleh berlaku pada hari ovulasi tetapi untuk kebanyakan wanita ovulasi akan berlaku dalam masa 1 hari (85% wanita) atau 2 hari (10% wanita)
Cara untuk memeriksa ‘cervical mucus’ anda
Anda boleh mula melakukan pemeriksaan ‘cervical mucus’ sejurus selepas haid anda kering. Langkah-langkah:
1. Basuh tangan anda
2. Masukkan jari telunjuk anda perlahan-lahan ke dalam faraj. Kalau boleh masukkan sampai ke pangkal rahim. Sekiranya takut, masukkan sedalam yang mungkin. Anda boleh melakukan ini sama ada dalam posisi duduk di atas tempat duduk tandas ataupun berdiri dan meletakkan salah satu kaki anda di atas tempat letak duduk tandas.
3. Pusingkan jari telunjuk anda di dalam faraj untuk mendapat ‘cervical mucus’.
4. Keluarkan jari telunjuk anda dari faraj dan perhatikan konsistensi ‘cervical mucus’ anda dengan menggosokkan lendiran tersebut dengan ibu jari anda.
5. Sekiranya lendiran ‘cervical mucus’ anda banyak, anda boleh melakukan ‘finger test’ iaitu cuba untuk melihat sama ada lendiran tersebut boleh diregangkan (‘stretchable’) seperti yang dilihat di dalam gambar di atas.
6. Anda boleh melakukan pemeriksaan ini setiap kali sewaktu anda pergi ke tandas / ataupun selepas mandi. Jangan lakukan ujian ini selepas melakukan hubungan seks kerana air mani di dalam faraj akan mengelirukan pemeriksaan anda.
Anda boleh menggabungkan kaedah ini dengan kaedah calendar dan juga BBT.
Untuk melihat dengan lebih lanjut bagaimana cervical mucus ini kelihatan:
http://www.babycentre.co.uk/l1047500/what-cervical-mucus-looks-like#/0
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Tips pemakanan untuk meningkatkan fertiliti anda
Ramai pasangan yang menghadapi masalah kesuburan bertanyakan apakah pemakanan yang elok untuk meningkatkan fertiliti mereka. Dalam post blog kali ini, Dr Tasha akan membincangkan antara makanan-makanan yang elok untuk diambil untuk menambah baik fertiliti anda.

Pasti ramai yang terkejut melihat gambar tersebut di atas. Kalau diet macam ini, bolehlah makan hari-hari. Memang tiada masalah! 🙂 Akan tetapi, cuba perhatikan betul-betul gambar tersebut di atas dan lihat makanan apakah yang terselit antara ice-cream tersebut:
1. Berries terutamanya blueberry dan raspberry. Ini adalah sumber anti-oxidant yang penting untuk kualiti sperma dan telur.
2. Pisang. Ini adalah sumber vitamin B6. Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan haid tidak teratur dan perkembangan telur serta sperma yang tidak elok.
3. Walnut adalah kaya dengan omega 3 yang penting untuk pembentukan sperma yang berkualiti. Ianya juga boleh mengurangkan inflamasi di dalam badan.
4. Hazelnut mempunyai kandungan Vitamin E yang tinggi yang diperlukan untuk telur dan sperma yang elok. Ianya membantu menstabilkan paras gula dalam darah dan juga mengurangkan hormon insulin tinggi yang kerap dilihat di dalam wanita yang menghidapi PCOS.
5. Buah citrus seperti oren dan kiwi mengandungi Vitamin C yang tinggi. Setiap hari kita memerlukan sekurang-kurangnya 1000mg Vitamin C untuk kesihatan sperma dan juga memastikan hormon seimbang di dalam wanita.
6. Calcium. Ini boleh didapati dari ice-cream atau ‘full cream’ milk. Hendaklah mendapatkan sekurang-kurangnya 1000mg sehari zat calcium. Tidak perlulah terlalu taksub dengan ‘skim’ milk. Kadang-kala badan kita perlukan sedikit lemak. Tetapi janganlah makan ice-cream pulak hari-hari ya. Cukuplah meminum segelas susu berkrim penuh setiap hari untuk memberikan khasiat yang diperlukan.
7. Karbohidrat kompleks. Ini adalah penting untuk memastikan paras gula di dalam darah adalah stabil. Ianya juga penting bagi wanita yang mengalami masalah PCOS yang mengalami masalah ovulasi disebabkan hormon yang mengawal paras gula di dalam darah yang tidak stabil. Makanlah nasi, roti, pasta dan cereal yang ‘wholegrain’. Elakkan memakan roti putih, nasi putih atau snek yang bergula.
8. Telur. Telur terutama bahagian telur kuning (‘egg yolk’) membekalkan vitamin D yang diperlukan untuk rahim berfungsi dengan baik dan ‘implantasi’ boleh berlaku dengan baik. Ia juga penting untuk menghasilkan telur yang matang. Di samping itu, kekurangan vitamin D juga telah dikaitkan dengan peningkatan risiko sebanyak 30-50% untuk mendapat kanser usus, prostat dan payudara. Jangan pula mengambil telur yang berlebihan kerana ini boleh meningkatkan kolesterol anda.
9. Teh Hijau. Cuba elakkan minuman berkafein yang lain seperti kopi dan teh biasa. Teh hijau mengandungi anti-oxidant yang diperlukan oleh badan.
10. Salmon. Ikan salmon dan ikan kod mengandungi khasiat omega 3 yang tinggi. Zat ini bertindak sebagai anti-oxidant, mengurangkan inflamasi di dalam badan dan juga membantu mengimbangkan fungsi organ dan sistem reproduktif. Hendaklah makan ikan berminyak (‘Oily fish) sekurang-kurangnya 2 – 3 kali seminggu.
11. Asparagus. Selain dari rasanya yang enak dan rangup, ianya mengandungi zat folik asid yang tinggi.
12. Brokoli. Sayuran brokoli kaya dengan zat magnesium dan ‘chlorophyll’ yang boleh bertindak sebagai agen detoksifikasi dan mengimbangkan semula kestabilan hormon di dalam badan.
13. Avocado mengandungi vitamin E yang tinggi. Vitamin E berfungsi untuk meningkatkan pergerakan sperm. Ini penting untuk membolehkan persenyawaan telur berlaku. Di samping itu ianya kaya dengan folik asid yang penting untuk meningkatkan kesuburan wanita dan lelaki. Folik asid juga boleh mengurangkan risiko kecacatan tulang belakang bayi anda. Avocado juga mempunyai kandungan lemak baik yang dikenali sebagai ‘monosaturated fat’ yang penting untuk mengawal sistem hormon di dalam badan dan boleh membantu merendahkan kolesterol.
14. Daging (‘lean meat’) juga masih penting untuk diambil sekiranya ingin hamil. Zat besi yang terkandung di dalam daging adalah penting untuk badan kita. Tetapi pastikan tidak mengambil daging dalam kuantiti yang berlebihan.
Kesimpulannya:
1) Hendaklah memakan yang seimbang
2) Banyakkan memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang
3) Pastikan minum air suam sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
4) Hendaklah makan sarapan pagi
5) Elakkan makanan ‘junk food’ ataupun ‘take away food’ seperti McDonalds’
6) Kurangkan makanan berminyak dan bergula
7)Memakan makanan tersebut di atas secara sederhana.
8) Ambil vitamin supplement untuk pastikan tidak kekurangan vitamin atau mineral yang diperlukan oleh badan kita untuk hamil.
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.
Ketahui waktu subur anda dengan menggunakan kalendar
Pada post blog kali ini, Dr Tasha ingin mengajar para pembaca cara untuk mengetahui waktu subur anda dengan menggunakan kaedah kalendar pula. Kaedah ini hanyalah sesuai bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur.

Kitaran Haid yang teratur
Hari pertama kitaran haid bermula dengan hari pertama haid berlaku. Hari pertama haid hendaklah diambil pada hari pertama di mana darah merah mengalir. Ini ialah kerana setengah-tengah wanita mengalami tompokan-tompokan coklat pada mulanya. Bagi yang tidak tahu mengira kitaran haid mereka, sila KLIK di sini.
Bilakah ovulasi akan berlaku
Ovulasi akan berlaku lebih kurang 14 hari sebelum haid datang. Oleh itu, bagi wanita yang mempunyai kitaran haid 28 hari yang teratur, hari ovulasinya akan berlaku pada hari 14 haidnya. Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang lain kiraannya adalah seperti berikut:
Kitaran haid Hari ovulasi
25 hari Hari ke 11 haid
28 hari Hari ke 14 haid
31 hari Hari ke 17 haid
33 hari Hari ke 19 haid
35 hari Hari ke 21 haid
Bilakah hari subur anda?
Hari subur adalah 2 hari sebelum, pada hari ovulasi dan sehari selepas ovulasi berlaku. Ini ialah kerana sperma berupaya untuk hidup di dalam rahim 12-48 jam (Setengah-tengah sperma 3-5 hari!), manakala telur hanya akan hidup selama 12-24 jam sahaja.
Kitaran Haid Hari subur anda
25 hari Hari ke 9, 10, 11 dan 12 haid
28 hari Hari ke 12,13, 14 dan 15 haid
31 hari Hari ke 15, 16, 17 dan 18 haid
33 hari Hari ke 17,18,19 dan 20 haid
35 hari Hari ke 18, 19, 20 dan 21 haid
Bagi mereka yang masih sukar untuk mengira hari kesuburan mereka. Bolehlah memuat turun aplikasi mobil yang mengira terus hari kesuburan tersebut.
Selamat mencuba!
Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.






