Blog Archives

Seminar I LOVE Me Women’s Day pada 5 March 2016

As salam buat pembaca blog tersayang, pada hari Sabtu ini, Seminar I LOVE Me akan diadakan Cititel Hotel Midvalley. Terdapat pelbagai topik yang menarik yang akan dibincangkan pada hari tersebut. Dr Tasha sebagai salah satu dari penceramah jemputan akan memberikan ceramah menarik bertajuk “Fertility Fact and Myth”.

Seminar: I Love Me Women’s Day 2016

Tempat & Tarikh : CitiTel Hotel Midvalley pada 5 March 2016

Tajuk Ceramah: Fertility Fact and Myth

Masa: 1120 – 1140 am di Matahari 3&4 BallRoom

Penyertaan adalah percuma.

Sekiranya ada pembaca blog yang mungkin ingin berjumpa dengan Dr Tasha mungkin selepas talk tersebut In Sha Allah kita dapat bersua muka dan berbincang.

Jumpa Di sana!

Ilovemeseminar

 

 

ILM2

 

Dato Siti Nurhaliza hamil? Adakah 2016 tahun anda untuk menjadi seorang ibu?

“Betul ker Dato Siti Nurhaliza hamil doktor?”

Baru-baru ini kedengaran desas-desus yang penyanyi kesayangan Malaysia, Dato Siti Nurhaliza mungkin sudah hamil 8 minggu. Para peminat turut tumpang gembira mendengar berita kehamilan tersebut. Siti kini sudah berkahwin hampir 10 tahun. Memang tidak dinafikan agak susah untuk menjadi artis popular di mana semua berita yang mungkin agak ‘private’ dan ‘personal’ heboh diperbincangkan dan bertebaran walaupun berita tersebut belum tentu betul. Sahih atau tidak berita tersebut, Dr Tasha dan pasti para peminat  mendoakan agar Siti dan pasangannya agar mendapat berita gembira tidak lama lagi.

Ramai wanita dan pasangan mereka yang masih di perjalanan fertiliti mereka agak teruja apabila mendengar berita tersebut dan juga berlumba-lumba ingin menjadi ibu pada masa terdekat ini.

Rahsia fertiliti yang perlu diketahui

fertilitiandage

Isu ini telahpun dikupas dengan lebih mendalam seperti yang ditunjukkan di muka pertama majalah di atas. Walaupun dengan teknologi moden dan rawatan IVF sekalipun, wanita masih lagi tidak mampu mengalahkan ‘Biological Clock’ mereka. Dr Tasha ingin menekankan sekali lagi agar wanita sentiasa mengingati hakikat yang tidak boleh diubah ini. Oleh itu cubalah hamil pada umur yang muda.

Bagi wanita yang telahpun berkahwin, usahlah berlengah-lengah untuk membina keluarga anda. Kajian telah pun membuktikan kadar kehamilan adalah lebih tinggi dan lebih mudah di kalangan golongan wanita yang masih muda. Tahap fertiliti wanita akan mula menurun apabila pada akhir 20an. 25% wanita berumur 36 tahun ke atas akan memerlukan rawatan kesuburan untuk hamil.  Bagi wanita yang masih dalam dilemma sama ada mereka boleh melengahkan hanya sedikit sahaja masa untuk memulakan keluarga mereka, mungkin mereka perlu mendapatkan lebih maklumat sama ada ini adalah langkah yang bijak. Berjumpalah dengan doktor kesuburan dan berbincang serta membuat pemeriksaan untuk mengetahui umur ovari anda.

Apakah ‘road map of success’ Fertiliti anda?

Tidak tahu di manakah anda perlu mula? Bergantung kepada di manakah anda dan pasangan berada di perjalanan fertiliti anda. Adakah anda baharu sahaja TTC? Sudahpun beberapa tahun mencuba dan ingin membuat rawatan kesuburan? Sudahpun membuat rawatan IUI ataupun mungkin IVF tetapi gagal?

Bagi yang masih tidak pasti atau keliru, cubalah kuiz di bawah tersebut agar mendapat lebih pencerahan:

https://drnatashanorfertility.com/info-asas/kuiz-uji-tahap-kesuburan-anda/

https://drnatashanorfertility.com/info-asas/kuiz-rawatan-kesuburan-adakah-saya-calon-untuk-iui-ataupun-ivf/

Perbincangan untuk menjalani rawatan Fertiliti hendaklah dibuat oleh setiap pasangan TTC dengan doktor yang merawati mereka untuk memastikan mereka mempunyai hala tuju dan pelan untuk bagus agar kadar kejayaan adalah tinggi.

Gagal hamil walaupun telah mencuba rawatan fertiliti

Hendaklah terus mencuba berusaha dan ikhtiar untuk hamil walaupun pada mulanya rawatan tersebut gagal. Kadar kejayaan IUI hanyalah 10-15%. Sekiranya gagal kali pertama, cubalah kali kedua atau ketiga. Mana tahu akan berjaya kelak? Walaupun gagal rawatan IVF terutamanya selepas kali pertama embrio transfer, kebanyakan wanita mempunyai embrio lebihan yang telah dibekukan. Teruskanlah untuk membuat frozen embrio transfer (FET) tersebut. Kadar kejayaan frozen embrio transfer adalah lebih tinggi berbanding dengan fresh transfer.

Kajian telah menunjukkan ‘Cumulative live IVF births’ akan meningkat sehingga ke 70-80%. Oleh itu, hendaklah kuatkan semangat, bersabar dan meneruskan perjalanan fertiliti anda demi mencapai impian untuk menjadi seorang ibu dan ayah. Kekuatan mental dan emosi yang tinggi memang diperlukan dan penting. Di samping itu, hendaklah berbincang dengan doktor yang merawati apakah faktor-faktor yang telah menyebabkan IVF tersebut gagal serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan IVF yang seterusnya akan berjaya.

https://drnatashanorfertility.com/2014/02/08/rawatan-ivf-gagal-di-manakah-silapnya/

Perlu menabung untuk menampung kos rawatan fertiliti

Tidak dinafikan ramai pasangan TTC sebenarnya memerlukan rawatan IVF. Akan tetapi tidak mampu membayar kos IVF yang agak mahal. Ini menyebabkan mereka terpaksa menangguh rawatan tersebut untuk menabung yang diperlukan. Tanpa disedari tahun bersilih ganti, umur wanita tersebut juga meningkat. Terdapat segelintir pasangan hanya akan datang pada umur akhir 30an atau 40an. Secara tidak langsung ini akan menurunkan juga kadar kejayaan IVF mereka kerana kualiti dan kuantiti telur yang menurun.

Dr Tasha kini telah menubuhkan program IVFku untuk menggalakkan lebih ramai pasangan yang memang memerlukan rawatan IVF untuk hamil agar tampil kehadapan lebih awal dengan memberikan kos rawatan IVF yang lebih berpatutan. Bagi pasangan yang telah melakukan rawatan di bawah program IVFku tersebut, kadar kejayaan kehamilan adalah bagus.

logo-ivfku

https://drnatashanorfertility.com/info-asas/kuiz-adakah-saya-sesuai-untuk-program-ivfku/

Di samping itu, perhatikanlah bajet keluarga dan uruskanlah kewangan dengan elok. Tambahan pula wang berlebihan yang diperuntukkan untuk kos rawatan fertiliti boleh nanti digunakan untuk menampung perbelanjaan anak yang bakal dilahir.

Sayangilah diri anda dan kekalkanlah hubungan dengan suami tersayang

freephotodigital.com

Setiap insan akan didatangi dugaan yang berlainan olehNya. Hendaklah sentiasa tabah dan cekal menghadapi perjalanan berliku-liku kehidupan ini. Tidak siapa yang tahu apa yang telah tersurat ataupun yang telah ditakdirkan untuk kita. Dapatkan bantuan sokongan moral dan sosial dari keluarga, kawan dan terutamanya suami. Jalinkan komunikasi yang terbuka dan berbincang dengannya. Apabila terlalu lama didalam perjalanan fertiliti, kadang-kala tekanan yang dihadapi boleh menguraikan jalinan kasih sayang. Oleh itu, usahlah berada di dalam perjalanan TTC anda terlalu lama. Biarlah anak-anak menjadi ikatan  dan penyambung kasih sayang yang lebih erat bersama pasangan anda.

Di samping itu, usahlah menjadi terlalu taksub dan emosi dengan TTC sehingga mengenepikan perkara-perkara lain, pastikan anda juga menumpukan perhatian kepada aspek-aspek lain kehidupan. Ini adalah lebih elok dan boleh mengurangkan stress yang berlebihan. Kadang-kala semasa Dr Tasha di perjalanan TTC dahulu, doktor akan ‘baby-sit’ anak-anak saudara kecil sebagai ‘practice’ dan juga penghibur hati.

“We rob ourselves – and those around us – if we let our infertility struggles define us and dictate our lives. As huge as this is, chances are that there are still a lot of other things in our lives that are good and going right – and we should fully embrace those as well.” –Katie

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Tingkatkan kualiti telur anda

“Doktor bagaimanakah saya boleh tingkatkan kualiti dan mutu kualiti telur saya? Saya sedang membuat persediaan untuk rawatan kesuburan saya.”

Kenapa perlu ada kualiti telur yang baik?

Kualiti dan mutu telur yang baik adalah penting agar memastikan embrio yang terhasil dari persenyawaan dengan sperma berkualiti elok. Embrio yang sihat akan meningkatkan peratus kejayaan implantasi di dalam rahim. Pembentukan dan ketumbesaran bayi yang terbentuk seterusnya diharapkan kelak adalah sihat dan normal.

Oleh itu, bagi pasangan yang ingin hamil terutamanya jika ingin melalui rawatan kesuburan, hendaklah mengambil langkah-langkah persediaan untuk memastikan kualiti telur yang terhasil adalah berkualiti tinggi untuk meningkatkan peratus kehamilan dan mengurangkan keguguran dari berlaku.

Faktor yang boleh memberikan impak kepada kualiti telur

Faktor umur dan genetik seseorang wanita bukan sahaja merupakan faktor penting yang memberikan impak kepada kualiti telur. Malah gaya hidup dan pemakanan wanita tersebut juga memainkan peranan penting untuk memastikan mutu telur yang dihasilkan oleh kilang ovarinya. Memandangkan umur dan genetik tidak boleh diubah, kita perlu memastikan memakan nutrisi yang berkhasiat dan pengamalan gaya hidup sihat untuk meningkatkan kualiti telur.

Tips untuk meningkatkan kualiti telur

Diet yang sihat

Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai anti-oxidan dan zat mineral penting yang diperlukan. Di samping itu, hendaklah mengambil makanan yang berserat atau ‘whole meal’. Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak, berminyak, karbohidrat yang sudah diproses (seperti roti putih), berkafein, beralkohol, gula,  dan ‘fast food’ atau ‘junk food’

Terdapat Kajian yang menyatakan ‘Mediterranean diet’ boleh meningkatkan peluang kehamilan di kalangan pasangan TTC. Diet tersebut dikatakan terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, kekacang, minyak zaitun dan makanan berserat yang kaya dengan omega 3 ‘fish oil’ serta vitamin D.

Ambil suplemen Folik asid

Ambillah Folik asid (Vitamin B9) 400-800 microgram setiap hari untuk meningkatkan kualiti telur anda. Di samping itu, folik asid adalah penting untuk menghindari kecacatan otak dan tulang belakang bayi anda yang dinamakan ‘neural tube defect’. Vitamin ini perlu diambil sekurang-kurang 1 -3 bulan sebelum hamil. Oleh itu, bagi wanita yang ingin hamil hendaklah mula mengambil folik asid dari hari ini.

Supplemen Vitamin D – Vitamin Matahari

Vitamin D adalah penting untuk kualiti telur dan juga proses implantasi embrio ke dalam rahim. Sebelum mengambil supplem Vitamin mungkin adalah lebih baik jika memeriksa dahulu paras Vitamin D di dalam darah anda dengan membuat ujian darah 25(OH) Vitamin D.

Supplemen CoQ10 (Coenzyme Q10) – Pencetus Tenaga Sel

Coenzyme adalah bahan yang penting agar enzyme penting di dalam badan dapat berfungsi dengan elok. Coenzyme Q10 digunakan untuk membekalkan atau membuang oksigen dari molekul yang aktif. Ia penting dalam proses salah satu sumber tenaga badan yang dikenali sebagai ATP yang berlaku di dalam mitochondria, satu bahagian di dalam sel-sel badan. Oleh itu, Coenzyme Q10 sangat penting dalam kesihatan sel, tisu dan organ badan kita.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya CoQ10 adalah penting untuk kualiti telur dan proses persenyawaan telur, implantasi embrio dan perkembangan bayi pada peringkat awal.

Suplemen ini penting terutamanya bagi wanita berumur 35 tahun ke atas. Terdapat 2 jenis CoQ10 ubiquinol dan ubiquinone. Kebanyakan supplemen mengandungi ubiquinone. Jenis Ubiquinol adalah lebih 8 kali lebih poten daripada ubiquinone dan mungkin lebih elok diambil bagi wanita yang lebih berumur.

Pengurangan Stres Dalam Kehidupan Harian

Stres yang berlebihan dan kronik boleh menjejaskan tahap kesihatan dan sekaligus tahap kesuburan seseorang wanita di mana:

  1. Ia menjejaskan kualiti telur anda
  2. Melambatkan proses ovulasi
  3. Menghindari proses implantasi
  4. Menyebabkan kesetidakimbangan hormon di dalam badan

Dalam kehidupan moden ini, stress tidak dapat dielakkan sama sekali tetapi ianya dapat dikawal atau dikurang. Ambillah langkah-langkah untuk mengurangkan stress di dalam hidup anda.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Dilema wanita moden kini: Antara membina kerjaya atau keluarga.

Menjadi seorang wanita di dalam kehidupan zaman serba moden ini bukanlah mudah. Pelbagai cabaran dan rintangan perlu ditangani. Ini termasuklah dilema yang wanita moden yang dihadapi iaitu memilih antara membina kerjaya ataupun keluarga. Agak sukar untuk mengimbangi tanggungjawab sewaktu mula-mula memulakan karier masing-masing dan diwaktu sama memainkan peranan sebagai seorang wanita yang bergelar isteri atau ibu. Disebabkan ini, ramai wanita telah memilih karier dahulu.

Impak negatif ketidaksuburan disebabkan penangguhan bergelar seorang ibu

Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia dari tahun 1963 sehingga 2014 jumlah kadar kesuburan di kalangan pasangan Malaysia telah semakin menurun daripada 6.1 kepada 2.1. Walaupun ianya masih belum ke paras drastik seperti negara Hong Kong, Korea dan Singapura, namun penurunan ini sudah tentunya akan memberikan impak yang mendalam pada masa hadapan dari segi sosial dan ekonomi. Salah satu faktor utama yang telah dikenalpasti kenapakah situasi ini berlaku adalah disebabkan wanita memilih untuk menangguhkan perkahwinan untuk membina kerjaya masing-masing terlebih dahulu. Di samping itu, terdapat sejumlah besar wanita yang sudah berkahwin pula tidak mahu hamil dengan segera atas alasan kesibukan karier, ketidakstabilan kewangan serta ingin membeli keperluan lain seperti rumah dan kereta.

Wanita tidak boleh lari dari ‘biological clock’ mereka

Wanita secara semulajadinya mempunyai ‘biological clock’. Kita tidak boleh lari dari hakikat ini. Wanita telah dilahirkan dengan semua telur di dalam ovari kita. Sewaktu lahir terdapat 1-2 juta telur di dalam ovarinya yang akan melalui proses ‘atresia’ di mana telur tersebut mengecut dan diserap oleh badan. Apabila baligh, hanya akan tinggal 400,000 telur. Akan tetapi tidak kesemua telur tersebut akan menjadi matang. Pada akhirnya, sebanyak 400 biji telur sahaja yang akan mematang dan melalui proses ovulasi sepanjang hayat reproduktif seseorang wanita!

Apakah Peluang untuk hamil secara ‘natural’ mengikut umur wanita untuk setiap bulan?

Umur       20an           20-25%

                 30an             15%

                  ≥35              10%

                  ≥40                5%

                  ≥45                 1%

Oleh itu, masalah kesuburan akan meningkat semakin meningkatkan umur seseorang wanita tersebut. Ini disebabkan oleh penurunan kualiti dan kuantiti telur di dalam kilang ovarinya. Ketidaksuburan akan mengakibatkan lebih ramai wanita memerlukan rawatan kesuburan yang memakan perbelanjaan yang mahal.

Temuramah dengan Elaine Daly di Bella NTV7 pada 19 Oktober 2015 yang lalu

Membuat perancangan teliti untuk masa hadapan

Setiap wanita perlu meneliti dan membuat keputusan mengenai pilihan di dalam kehidupannya. Kita kadang-kala tidak mampu menggapai semuanya pada waktu yang sama. Ada kalanya, pengorbanan terpaksa dilakukan terlebih dahulu untuk apa yang dirasakan penting. Wanita perlu prihatin akan tahap kesuburannya yang akan mula menurun bermula dari umur awal 30an dan mungkin ketara selepas umur 35 tahun. Menjadi seorang ibu dan juga wanita bekerjaya tidaklah mudah. Setiap wanita mempunyai kehendak dan ekpektasi yang berlainan. Mungkin bukan semua wanita mempunyai naluri kuat yang inginkan anak dan menjadi seorang ibu. Akan tetapi, wanita perlu membuat perancangan teliti pada waktu muda untuk masa hadapan dan tidak menyesal kelak di kemudian hari disebabkan oleh kejahilan mengenai ‘biological clock’ mereka.

Ikuti post blog seterusnya:

Bolehkah wanita memberhentikan ‘biological clock’ mereka?

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Salam dari Ho Chi Minh! Pengajaran yang dipelajari…

ho chi minh city

Dr Tasha berpeluang untuk mengembara ke Ho Chi Minh pada bulan lepas. Lawatan ini sebenarnya adalah untuk mengetahui dan mempelajari dengan lebih lanjut mengenai rawatan IVF yang dilakukan di sana. Adalah agak mengejutkan apabila diberitahu sebenarnya pusat IVF tersebut melakukan sebanyak 2000 kes IVF cycle pada tahun lepas dan kebanyakan pesakitnya adalah pasangan tempatan. Jika dibandingkan dengan Malaysia yang jauh lebih maju dan rata-ratanya mempunyai penduduk yang berpendapatan lebih tinggi, jumlah kes IVF untuk seluruh negara mungkin hanya mencecah 5000 kes sahaja setahun.

Kos rawatan IVF adalah di dalam anggaran USD2000-3000. Bukanlah murah juga jika mengambil kira apakah pendapatan yang diperolehi oleh warga tempatan.  Timbul persoalan di dalam kepala, “Bagaimanakah pasangan tempatan yang rata-ratanya mempunyai pendapatan yang agak rendah boleh mampu membiayai kos rawatan IVF tersebut?”

Persoalan terjawab apabila diberitahu, sebenarnya mentaliti penduduk tempatan di sana adalah lain. Pasangan yang berkahwin mempunyai prioriti untuk membina keluarga mereka dengan mempunyai zuriat. Kebanyakan pasangan apabila sudah TTC satu tahun, sudahpun sibuk-sibuk berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang masalah yang menghindari mereka dari hamil. Segala ikhtiar akan dilakukan jika mereka memerlukan rawatan kesuburan. Ini termasuklah terutamanya jika melibatkan pembayaran kos tinggi untuk rawatan tersebut. Kadang-kala ahli keluarga lain juga turut membantu mengumpulkan dana yang diperlukan bagi membiayai kos rawatan IVF.

Pengajaran dari bandar Ho Chi Minh

Pasangan TTC perlu menetapkan prioriti mereka. Adakah mempunyai anak adalah penting bagi mereka? Sekiranya jawapannya adalah ya, apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan peluang untuk hamil? Apakah kos perbelanjaan rawatan kesuburan? Ini mungkin juga memerlukan mereka meneliti semula belanjawan keluarga mereka termasuklah perbelanjaan hari dan simpanan mereka. Agak kerap kali juga berjumpa dengan pasangan yang sebenarnya memerlukan rawatan IVF tetapi berkira-kira mengenai kos perbelanjaan rawatan kesuburan serta berkata tidak ‘mampu’ tetapi masih mampu pergi bercuti-cuti ke sana ke mari pula atau ‘bershopping’ barang-barang yang sebenarnya tidak diperlukan. Kalau mengharapkan subsidi dari kerajaan mungkin terpaksa menunggu agak lama. Tanpa disedari hari demi hari, umur wanita tersebut akan meningkat. Ini sekaligus boleh menurunkan peluang untuk kehamilan.

Terdetik di hati Dr Tasha, kalau ini tak mampu, mampukah mereka membiayai kos perubatan untuk bersalin ataupun penjagaan anak-anak mereka kelak. Bayar untuk lampin , susu dan perbelanjaan sekolah untuk anak-anak? Ini semuanya bukan murah.

Sebagai contohnya, susu tin di bawah mungkin hanya bertahan untuk beberapa hari sahaja. Cuba tengok, kadang-kala tin-tin susu ini dikunci di dalam kabinet di kedai-kedai atau diletakkan tag kerana takut dicuri.

susutin

Oleh itu, bagi pasangan yang sedang TTC perlulah membuat persiapan untuk menerima kehadiran ‘ahli baru’ di dalam keluarga. In Sha Allah, dengan ikhtiar dan berbekalkan doa, impian untuk mendapatkan zuriat akan tercapai. Bagi kaum wanita pula, usahlah berlengah-lengah kerana takut faktor usia yang matang menyebabkan tahap kesuburan menjadi lebih menurun. Andai sang suami kata tiada duit, usahlah berdiam diri dan berpeluk tubuh, berusahalah untuk mencari rezeki sendiri. Akhir sekali, perlu beringat, menjadi seorang ibu atau ayah sebenarnya adalah tanggungjawab yang besar dan memerlukan pengorbanan.

“Yes, money is not everything but it is still very important to make some things happen”.

quote priority

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Fibroid – Adakah ia boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil?

“Doktor adakah saya perlu buang fibroid dalam rahim saya untuk hamil?”

Fibroid sering kali dikaitkan dengan masalah kesuburan. Sekiranya fibroid dijumpai ianya perlu dibuang untuk hamil. Adakah fakta ini benar ataupun tidak masih menjadi perbincangan hangat di kalangan para doktor. Kajian telah dan masih terus dijalankan untuk memberikan panduan kepada para doktor mengenai apakah rawatan yang terbaik untuk para pesakit terutamanya bagi yang ingin hamil.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat fibroid?

Kita masih tidak mengetahui apakah yang menyebabkan setengah-setengah wanita lebih cenderung untuk mengalami fibroid. Akan tetapi kajian menunjukkan yang fibroid disebabkan oleh hormon estrogen yang berlebihan. Fibroid mungkin disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, hormon dan persekitaran.

Kajian menunjukkan yang golongan wanita tersebut di bawah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat fibroid:

  • Keturunan African -American. Mereka lebih cenderung untuk mendapat fibroid pada usia yang muda dan bersaiz besar.
  • Obesiti
  • Darah Tinggi
  • Fibroid dalam sejarah keluarga. Sekiranya anda mempunyai ibu dan adik-beradik yang mempunyai fibroid, anda mungkin mempunyai risiko untuk mendapat fibroid juga.
  • Haid pada usia awal
  • Pengambilan diet yang mengandungi daging merah yang tinggi dan kurang sayur-sayuran serta buah-buahan.

Bagaimanakah fibroid boleh menyebabkan masalah kesuburan di kalangan wanita?

  • Mengubah bentuk pangkal rahim menyebabkan sperma sukar untuk melepasinya
  • Mengubah bentuk rahim mengakibatkan gangguan dalam pergerakan sperma ataupun embrio
  • Menyebabkan saluran peranakan tersumbat
  • Mengubah bentuk lapisan dinding rahim dan mengurangkan aliran darah melaluinya menyebabkan masalah semasa implantasi embrio
  • Mengakibatkan kontraksi otot rahim yang abnormal menyebabkan kesan tidak baik kepada pergerakan sperma, fungsi fallopian tiub serta implantasi embrio yang terhasil

Adakah fibroid perlu dibuang sekiranya anda ingin hamil?

Kajian telah menunjukkan fibroid perlu dibuang sekiranya:

  • Intramural Fibroid bersaiz 5cm dan ke atas ataupun saiz rahim adalah lebih besar dari 12 minggu kehamilan. Terutamanya jika fibroid tersebut menyebabkan pengherotan rongga atau kaviti rahim.
  • Submucosal Fibroid kerana ianya boleh mengganggu proses implantasi dan boleh meninggikan risiko untuk mendapatkan keguguran jika hamil. Kebanyakan submucosal fibroid boleh dibuang dengan menggunakan pembedahan melalui ‘Hysteroscopy’.

Apakah rawatan untuk fibroid?

Terdapat beberapa rawatan yang boleh diberikan untuk masalah fibroid. Setengah-tengah rawatan adalah masih baru dan pada peringkat penyelidikan intensif dan buat masa kini mungkin masih tidak sesuai lagi untuk wanita yang ingin hamil seperti ‘Uterine artery embolisation’ dan ‘High Intensity Focused Ultrasound’ kerana kita tidak mengetahui sama adanya ianya adalah selamat untuk dilalui oleh wanita yang masih ingin hamil.

a)Konservatif

Kaedah ini boleh digunakan sekiranya fibroid tersebut adalah bersaiz kecil dan tidak memberikan simptom.

b)Ubat hormon ‘GnRH Agonist’ seperti Zoladex atau Lucrin.

Ubat hormon ini akan digunakan untuk memberhentikan haid untuk sementara waktu. Akan tetapi, ia hanyalah bersifat sementara dan fibroid selalunya akan membesar semula selepas ubat diberhentikan. Di samping ianya mempunyai beberapa kesan sampingan yang tidak diingini seperti simptom-simptom yang dialami oleh wanita yang putus haid ie menopaus seperti rasa panas dan tidak selesa (‘hot flushes’), kurang nafsu seksual atau libdo serta kekeringan pada faraj.

c)Pembedahan untuk membuang fibroid iaitu Miomektomi (‘Myomectomy)

Sekiranya saiz fibroid adalah besar, pembedahan mungkin akan disarankan oleh doktor. Pembedahan boleh dilakukan sama ada melalui pembedahan laparotomi ataupun laparoskopi. Pembedahan laparotomi memerlukan torehan besar di atas perut sama seperti pembedahan Caesarean manakala pembedahan laparoskopi hanya memerlukan beberapa tebukan kecil. Akan tetapi pembedahan laparoskopi memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi agar pembedahan miomektomi itu dapat dilakukan dengan baik.

d)Uterine Artery Embolisation (UAE)

Ini adalah kaedah Radiologi yang akan dilakukan oleh pakar radiologis di mana partikel-partikel halus akan disuntik melalui tiub halus (‘catheter’) yang dimasukkan melalui saluran arteri femoral. Partikel tersebut akan menyebabkan saluran darah ‘uterine’ yang memberikan bekalan darah kepada fibroid menjadi tersumbat. Ini sekaligus akan mengurangkan aliran darah tersebut kepada fibroid tersebut yang kemudiannya menyebabkan sel-selnya mati dan fibroid itu mengecil serta mengecut.

e) ‘High Intensity Focused Ultrasound’ (HIFU)

Ini juga adalah kaedah radiologi yang menggunakan haba yang terhasil dari gelombang ultrasound yang memecahkan dan memusnahkan tisu-tisu fibroid.

Rawatan untuk wanita yang mempunyai fibroid memerlukan rawatan individu. Ini bergantung kepada latar belakangnya seperti faktor umur, simptom, saiz dan lokasi fibroid serta sejarah fertiliti pesakit tersebut.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Fibroid dan Fertiliti Anda

“Doktor, minggu lepas doktor telah mengesahkan saya mempunyai fibroid. Adakah ini punca masalah fertiliti saya?”

Terdapat wanita yang mengalami masalah fibroid dan kesuburan. Mereka mungkin ingin mengetahui serba-sedikit bagaimana untuk menangani masalah tersebut. Akan tetapi, terlebih dahulu, adalah penting untuk mengetahui info asas mengenai rahim dan fibroid anda.

Info Asas mengenai Rahim anda

Anatomi Rahim

Dinding Rahim terdiri daripada 3 lapisan:

  1. Endometrium: Lapisan paling dalam sekali. Di mana telur yang sudah dipersenyawakan akan ‘implan’ ke dalam lapisan ini. Lapisan ini jugalah yang akan terlerai dan jatuh sebagai haid bersama telur yang tidak dipersenyawakan sekiranya tiada kehamilan berlaku
  2. Myometrium: Lapisan tengah rahim. Ianya terdiri dari otot-otot yang mengembang dan mengecut.
  3. Perimetrium: Lapisan paling luar rahim. Ianya berfungsi sebagai pelindung luar rahim wanita.

Info Asas Mengenai Fibroid

  • Ianya juga dikenali dengan nama leiomyoma
  • Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang berlaku pada lapisan otot dinding rahim wanita.
  • Adalah dianggarkan 20-30% wanita yang berada dalam linkungan umur reproduktif mempunyai fibroid di dalam rahim mereka.
  • 5-10% wanita yang mempunyai masalah fertiliti mempunyai fibroid

Simptom-simptom wanita yang mempunyai fibroid

Ini bergantung kepada saiz fibroid, bilangan dan kedudukan fibroid tersebut

  • Tiada simptom langsung. Fibroid dikesan melalui imbasan scan pelvis
  • Penurunan darah haid yang banyak dan panjang
  • Sengugut
  • Simptom tekanan disebabkan fibroid menekan kepada pundi kencing, lapisan dinding kulit abdomen atau usus.
  • Masalah kesuburan
  • Masalah semasa kehamilan: Keguguran, kedudukan bayi abnormal, pendarahan semasa kelahiran

Di manakah Fibroid boleh berlaku?

  • 55% kedudukan fibroid adalah subserosal iaitu lapisan luar dinding rahim
  • 45% kedudukan fibroid adalah intramural iaitu lapisan tengah dinding rahim
  • 5% kedudukan fibroid adalah submucosal iaitu lapisan paling dalam dinding rahim
kedudukan fibroid di dalam rahim

Fibroid intramural jika adalah besar >5cm dan menyebabkan bentuk rahim berubah dan fibroid submucosal boleh memberikan lebih masalah kesihatan kepada wanita tersebut berbanding dengan fibroid subserosal.

Ikuti post blog seterusnya, adakah fibroid boleh menjejaskan fertiliti anda?

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Seminar IVF Journey pada 5 September 2015

Rasanya masih tidak lambat lagi untuk Dr Tasha mengucapkan Selamat Hari Raya pada para pembaca. Diharapkan Raya Tahun ini telah disambut dengan meriah. Akan tetapi bagi pasangan yang masih TTC diharapkan agar Raya tahun depan akan lebih manis dan indah lagi jika ditemani bayi dipangkuan.

Ramai pasangan yang masih dalam TTC journey mereka mungkin tertanya-tertanya apakah yang perlu mereka lakukan agar cepat hamil. Ada yang mungkin telah tahu yang mereka perlu menjalani rawatan IVF / bayi tabung uji disebabkan masalah kesuburan yang dihadapi. Akan tetapi tidak mempunyai informasi yang lebih mendalam mengenai rawatan tersebut.

Bagi pasangan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kaedah kesuburan Rawatan IVF, pihak KL Fertility Centre akan mengadakan Seminar IVF Journey pada 5 September 2015. Seminar tersebut adalah percuma. Pasangan yang ingin menghadiri seminar tersebut perlu register / book tempat duduk mereka kerana ianya adalah terhad kepada 30 pasangan sahaja.

Bagi peserta yang menghadiri seminar tersebut pihak KL Fertility Centre juga akan memberikan diskaun istimewa bagi IVF pakej bagi mereka yang mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan IVF mereka. Seminar ini akan dijalankan di dalam Bahasa Melayu dan diberikan oleh Dr Tasha. Diharapkan Dr Tasha akan menemui pasangan TTC tidak lama lagi yang sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan fertiliti mereka.

Seminar IVF Journey

Tarikh: 5 September 2015

Masa: 0930 – 1230pm

Tempat: Conference Room, 3rd Floor, KLSMC, Wisma Perintis, 47, Jln Dungun, Bukit Damansara,50490, KL

Perlu membuat booking untuk mendapatkan tempat dengan menelefon 0320933500 atau email event@klfertility.com

IVFJourneyFlyerFront

IVFJourneyFlyerBack

Day 3 atau Day 5 Embrio Transfer?

“Doktor, bilakah patut saya membuat Embrio Transfer. Adakah pada hari Day 3 atau  Day 5? “

Selepas prosedur penyedutan telur (‘Egg pick up’ / OPU), prosedur pemindahan embrio  (ET) lazimnya akan dibuat 3 hari selepas itu iaitu tiga hari selepas persenyawaan dilakukan.

Jika dilihat pada awal sejarah rawatan IVF, ET selalunya dilakukan 1 atau 2 hari selepas OPU. Ini disebabkan oleh teknologi makmal IVF yang masih berada pada peringkat awal tidak mampu untuk memelihara embrio dalam keadaan yang baik. Oleh itu, ET akan dilakukan secepat mungkin kerana rahim mempunyai keadaan persekitaran yang lebih baik untuk ketumbesaran embrio.

Untuk membaca perbezaan antara hari 3 dan hari 5 embrio. Sila baca post blog tersebut:

https://drnatashanorfertility.com/2015/06/09/rawatan-ivf-apa-yang-berlaku-di-dalam-makmal-ivf/

Innovasi makmal IVF

Lazimnya ET akan dilakukan tiga hari selepas persenyawaan atau hari OPU iaitu Day 3 Embrio. Day 3 Embrio adalah pada peringkat ‘cleavage stage’ dan mengandungi 4 – 8 cells. Akan tetapi dengan perkembangan teknologi dan innovasi baru di dalam kultur media yang digunakan dalam makmal IVF diturut serta dengan peningkatan kemahiran para embriologis telah membenarkan embrio dipantau dan dikultur di dalam inkubator makmal IVF sehingga 5-6 hari. Embrio yang terbentuk 5 hari selepas persenyawaan dikenali sebagai ‘blastocyst’.

Day 3 Embrio

Adalah dipercayai embrio yang berjaya sampai dari hari ke 3 kepada hari 5 embrio atau blastocyst selalunya merupakan embrio yang kuat dan mempunyai potensi ketumbesaran serta implantasi yang lebih baik. Oleh itu, sekiranya embrio tersebut dipilih untuk dipindahkan ke dalam rahim akan memberikan kadar kehamilan yang lebih tinggi. Perlu diingati, hanya 35-50% day 3 embrio akan berjaya sampai kepada day 5 atau ‘blastocyst’ stage. Lebih kurang 5-10% kes di mana kesemua day 3 embrio telah berhenti membesar dan tidak berjaya sampai ke blastocyst stage. Oleh itu, prosedur pemindahan embrio tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan embrio.

Day 5 Embrio atau Blastocyst

Faktor-faktor yang mempengaruhi kebarangkalian embrio berjaya sampai kepada ‘Blastocyst’

1. Potensi ‘Development’ atau Ketumbesaran Embrio

Pada hari ketiga, semua embrio yang telah dipersenyawakan akan dipantau dalam makmal IVF oleh pakar embriologis. Embrio tersebut akan diberikan gred berdasarkan beberapa kriteria tertentu. Tanggapan asas ialah embrio yang bergred baik akan memberikan kadar kejayaan yang lebih baik. Akan tetapi, kajian telah menunjukkan bahawa tidak semua embrio yang kelihatan ‘cantik’ dan telah diberikan gred baik sebenarnya akan memberikan kehamilan kerana mereka mungkin sebenarnya tidak mempunyai potensi ‘development’ untuk berbuat demikian. Salah satu sebab ialah berkemungkinan embrio tersebut sebenarnya mempunyai kandungan genetik yang abnormal.

2. Kultur Makmal IVF

Tidak semua Makmal IVF dan embriologis berupaya untuk mengendalikan dan memelihara embrio sehingga ke peringkat ‘blastocyst’. Media kultur yang bersesuaian dan kemahiran teknikal pakar embriologis juga akan memberikan impak. Di samping itu, kaedah stimulasi bersesuaian yang diberikan adalah salah satu faktor yang boleh menyumbang  sama ada embrio yang berkualiti baik dapat dihasilkan.

Kajian Day 3 vs Day 5 Embrio Transfer. Manakah mempunyai kadar kehamilan yang lebih tinggi?

Implantasi Embrio ke dalam dinding rahim

Kajian-kajian telah menunjukkan yang Day 5 Embrio mempunyai kadar kejayaan kehamilan yang lebih tinggi berbanding dengan Day 3 Embrio. Akan tetapi, bukan semua makmal IVF mendapati keputusan yang sama. Malah, ada pula yang mendapati kehamilan mereka menurun dengan Day 5 Embrio Transfer. Pembesaran dan pemantauan Embrio Day 3 kepada Day 5 memerlukan kultur media yang elok untuk membekalkan persekitaran stabil dan nutrien yang penting bagi pembesaran optimum embrio. Di samping itu, ianya memerlukan kemahiran teknikal yang lebih tinggi  dan adalah lebih rumit bagi pakar embriologis.

Adakah Day 3 Embrio akan menjadi lebih baik jika dikultur seterusnya sehingga ke peringkat blastocyst?

Ramai bertanggapan salah yang Day 3 Embrio sekiranya disimpan dengan lebih lama di dalam kultur media makmal akan menjadi bertambah baik apabila nutrien elok dibekalkan kepadanya. Tanggapan ini adalah tidak benar, embrio tersebut tidak akan berubah sama sekali. Potensi embrio tersebut untuk implantasi adalah sama, perkembangan teknologi moden makmal IVF tidak mampu untuk menambahbaik atau mengubah potensi ‘development’ atau ketumbesaran embrio tersebut.

Kesimpulan

Keputusan sama ada Day 3 atau day 5 bergantung kepada individu masing-masing.

Jika embrio yang terhasil adalah bergred baik dan banyak ie lebih dari 4 embrio, Day 5 ET mungkin adalah opsyen yang bagus kerana embrio Day 5 mempunyai potensi untuk memberikan mereka kehamilan yang tinggi jika ianya dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi bagi wanita yang mempunyai embrio yang tidak banyak dan kurang elok pula, adalah lebih baik sekiranya Day 3 sahaja dilakukan.

Ini juga bergantung kepada makmal IVF di mana rawatan IVF tersebut dilakukan dan juga faktor wanita tersebut, seperti sejarah IVF yang gagal atau umur wanita tersebut.

Kajian-kajian giat sedang dijalankan, adalah diharapkan jawapan yang lebih jitu dapat diberikan dalam masa yang hadapan agar ianya dapat memberikan lebih maklumat kepada para doktor agar the ‘best treatment’ dapat diberikan kepada para pesakit.

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor

Rawatan IVF. Apa yang berlaku di dalam makmal IVF?

Disunting oleh: Cik Nur Ilanah, Ketua Makmal Embryologis  KL Fertility Centre

Bagi memastikan kejayaan tinggi untuk rawatan IVF, pakar embriologis dan makmal IVF memainkan peranan yang amat penting selain dari pakar IVF yang memberikan rawatan.

Prosedur penyedutan telur

Prosedur penyedutan telur atau kadang-kala juga dikenali sebagai ‘Egg pick up’ / OPU. Telur yang telah disedut akan diletakkan ke dalam piring petri.

Telur yang telah disedut di dalam piring petri
Telur (Oocyte)

Apa yang berlaku selepas prosedur penyedutan telur?

Proses persenyawaan dilakukan di makmal IVF sekitar 4-6 jam selepas prosedur penyedutan telur. Persenyawaan secara IVF konvensional dilakukan dengan mecampurkan 100, 000 sperma bagi setiap telur. Campuran sperma dan telur ini dibiarkan selama sejam untuk memberi peluang kepada sperma yang terpilih untuk mensenyawakan telur. Sekiranya kualiti sperma tidak memuaskan untuk kaedah IVF konvensional, kaedah persenyawaan secara  (Intracytoplasmic Sperm Injection) ICSI akan dijalankan. ICSI dilakukan dengan menyuntik satu sperma ke dalam setiap satu telur yang matang.

Prosedur ICSI
ICSI micromanipulator
Peralatan yang digunakan untuk prosedur ICSI

Persenyawaan – Day 1 post OPU (16-18 jam selepas OPU)

Sekiranya persenyawaan berjaya, dua pronuclei dapat dilihat.  Satu pronuclei akan mengandungi bahan genetik dari ibu manakala pronuclei yang satu lagi adalah dari si ayah. Genetik ini akan bergabung untuk membentuk embrio yang lengkap.

Telur yang telah dipersenyawakan

Perkembangan embrio seterusnya di dalam inkubator

Embrio akan dikultur seterusnya di dalam mesin inkubator. Mesin tersebut mengandungi persekitaran menyerupai keadaan di dalam saluran peranakan di mana kandungan karbon dioxida, oksigen dan nutrien yang diperlukan pada kandungan pH bersesuaian. Persekitaran ni adalah sangat penting agar embrio dapat membesar dengan sihat dan sempurna.

incubator
Mesin inkubator
incubator1
Mesin inkubator

Perkembangan Embrio dari Day 1 kepada Day 5

0 hour
Day 0 (0 hour)
day1
Day 1 (16-18 Hour)
day2
Day 1(24-26 Hour)
day2a
Day 2 (48 Hour)
day3
Day 3 (72 Hour)
day5
Day 5 (120 Hour)

Pakar Embriologis selalunya akan membuat pemantauan embrio pada hari pertama dan hari ketiga. Embrio akan diberikan gred 1 – 4 bergantung kepada kriteria-kriteria tertentu. Gred 1 dan 2 selalunya adalah bagus dan ini akan meningkatkan kebarangkalian kejayaan IVF apabila embrio berkualiti elok dipindahkan semula ke dalam rahim. Akan tetapi pemberian Gred embrio kadang-kala berbeza mengikut pusat IVF di mana Gred 4 adalah baik dan Gred 1 kurang baik pula. Oleh itu, hendaklah bertanya kepada doktor / embriologis yang merawati.

  Ikuti  post Blog seterusnya untuk topik Day 3 vs Day 5 embryo transfer. Apakah perbezaannya?

Ikuti media sosial Dr Natasha untuk dapatkan lebih banyak info.

Instagram
https://www.instagram.com/drnatashanor/?hl=en

Facebook
https://www.facebook.com/drnatashanor